NGO Buddha bayar RM100 sehari kepada mangsa banjir yang cuci kawasan kediamannya

KUALA KRAI: Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) bukan Islam menerapkan kaedah yang sungguh menarik untuk memotivasikan mangsa banjir di Kelantan, agar membersihkan sendiri kawasan kediamannya dan juga kemudahan asas di persekitaran mereka.

Caranya dengan membayar RM100 sehari kepada setiap daripada mereka, kata Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Penganut Buddha Tzu-Chi Merit Malaysia, Koay Chew Poh.

"Kami gerakkan kesemua mangsa-mangsa banjir untuk membersihkan kawasan sekeliling mereka dan bayar setiap seorang sebanyak RM100.

"Misalnya, terdapat lima anggota keluarga dalam sebuah rumah, dan mereka bekerja selama lima hari, jadi sekurang-kurangnya mereka akan mendapat upah sebanyak RM2,500. Dengan konsep ini, mereka tidak hanya menunggu mana-mana pihak beri sumbangan duit. Sebaliknya mereka juga bekerja dan tidak mengharapkan bantuan sahaja. Dan ini seperti apa yang diajar oleh 'sifu' kami," ujarnya kepada Antarapos.

Persatuan yang berasal dari Taiwan ini berkampung di beberapa daerah di Kelantan selepas negeri itu dilanda banjir paling buruk pada penghujung tahun lalu.

"Jika kita beri bantuan kewangan berjumlah RM500, RM1,000 pun masih tidak mencukupi bagi mereka membeli peralatan rumah. Tetapi jika mereka mendapat RM3,000 dengan konsep kerja ini, pada saya mereka pasti akan rasa lega," katanya.

Bukan hanya memperuntukkan jumlah dana yang banyak, NGO itu juga turut menggerakkan hampir 2,000 sukarelawan dari seluruh negara bagi membantu membersihkan beberapa kawasan, selain membawa khidmat lebih 20 doktor bagi hal kesihatan dan keselamatan penduduk yang terjejas.

Koay turut menceritakan salah satu pengalaman bersama mangsa banjir yang amat menyentuh perasaannya.

"Ada seorang budak perempuan beri alasan tidak boleh turun bekerja kerana perlu menjaga adik lelaki yang kecil memandangkan neneknya menyertai konsep kerja kami. Dan ini amat menyentuh hati saya kerana pada saya, budak perempuan ini turut melakukan satu pekerjaan yang baik untuk keluarganya. Dan kami juga beri wang RM100 sebagai upah," demikian menurut Koay.

Koay memaklumkan rata-rata sukarelawan yang berada di negeri itu amat sedih melihat kepada kemusnahan alam dan keperitan yang ditanggung oleh mangsa-mangsa banjir.

Untuk rekod, pada minggu terawal selepas banjir, lebih 70 sukarelawan persatuan itu dari cawangan Pulau Pinang menggunakan khidmat penerbangan udara untuk ke Kelantan setiap hari.

Kesemua mereka menggunakan perbelanjaan sendiri untuk membeli tiket penerbangan dan keperluan seperti makanan sepanjang di negeri itu.

Malah perbelanjaan terhadap pengangkutan darat dan petrol untuk membawa barangan bantuan dalam jumlah yang besar turut ditanggung oleh para sukarelawan.

Walaupun berbeza agama dan bangsa, Koay menegaskan isu itu tidak pernah menjadi halangan kepada kesemua sukarelawan Persatuan Penganut Buddha Tzu-Chi Merit Malaysia untuk berkhidmat kepada mangsa-mangsa banjir, yang rata-ratanya terdiri daripada masyarakat Melayu-Islam.

Lebih menarik, sebagai simbol menghormati perbezaan ini, persatuan ini turut meminta seorang imam masjid di kampung-kampung yang berkenaan membacakan doa sebelum memulakan kerja-kerja pembersihan.

"Sifu kami menerapkan prinsip untuk membantu mereka yang di dalam kesusahan tanpa mengira kaum dan agama. Kita perlu utamakan nilai kemanusiaan.

"Bencana seperti ini mengajar kita mengenai nilai kemanusiaan. Apabila wujud aktiviti sukarelawan, ada ibu bapa yang turut membawa anak-anak mereka untuk melihat apa yang berlaku di sebalik sesuatu bencana," ujar Koay.

Mengulas konsep bantuan yang dibawa oleh pelbagai persatuan bukan kerajaan untuk mangsa-mangsa banjir di Kelantan, penganalisis politik, Profesor Datuk Dr Abdul Latif Abu Bakar bagaimanapun mengingatkan agar ia seimbang dengan usaha-usaha yang digerakkan oleh pihak kerajaan.

"Mana-mana konsep yang dibawa perlu ada pemantauan. Pada saya mana-mana konsep pun dibolehkan. Selain mungkin perlu perhebatkan lagi kaedah bergotong-royong dan pakej membaiki rumah. Yang penting ada niat untuk membantu.

"Apa sahaja bantuan dari NGO mesti ada penyelarasan oleh pihak kerajaan. Jangan pula ada terlebih dan terkurang," tegasnya.

Comments

Unknown said…
Macamana nk berhubung dan NGO Bhuda yg bagi sumbangan dan Kuala krai

Popular posts from this blog

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL