Haji Hadi halau PASMA, pilih DAP, PKR atau lagi cepat UMNO

Sebagai Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang nampaknya sudah sampai ke ‘limit’ dipermainkan dan dibuat endah tak endah oleh sebahagian pemimpin partinya sendiri.
Ada tangan-tangan halus yang dok cucuk mereka untuk melawan Haji Hadi dan mengambil alih kepimpinan PAS.

Sedia maklum tangan-tangan halus ini adalah yang hendak menunggang PAS supaya ikut cakap mereka.

Dalam satu ucapan di Markas PAS Air Kuning, Taiping Perak Ahad lalu, Haji Hadi sudah keluar semua yang difikirkan beliau.

NGO yang juba bermain api… Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PASMA) ‘dipersilakan’ untuk meninggalkan PAS sekiranya pendirian pertubuhan itu tidak lagi sehaluan dengan parti.

Menurutnya ‘bahtera’ yang dikemudikan setiap parti dalam pakatan pembangkang adalah berbeza.

Beliau secara berkias meminta semua pihak di dalam PAS agar jangan membocor dan merosakkan ‘bahtera’ parti sekiranya mereka merasakan ‘bahtera’ itu bergerak perlahan serta mempunyai kekurangan.

“PASMA ini ibarat mereka yang menebuk kapal. Kalau rasa payah sangat pergilah ke bahtera lain yang kamu suka, yang kamu rasakan lebih cepat sampai ke destinasi.

“Pergilah ke kapal DAP, kapal PKR , kalau nak cepat lagi ke Putrajaya pergilah ke bahtera UMNO,” katanya dalam ceramah tersebut yang kemudiannya disiarkan sebagai kenyataan rasmi melalui laman Facebook milik beliau pada Isnin.

Pada 26 Oktober lalu, Abdul Hadi membidas PASMA kerana mempertikaikan keputusan Majlis Syura Ulama PAS yang melarang ahli-ahli parti menyertai pertubuhan tersebut.

BERIKUT DISIARKAN SEPENUHNYA KENYATAAN HAJI HADI

Inilah bahtera PAS. Kita dalam Pakatan Rakyat bukanlah dalam bahtera yg sama. PKR bahtera lain, DAP bahtera lain, kena faham. Jika ada yang merasakan bahtera ini bergerak perlahan, ada kekurangan, jangan bocor dan rosakkan bahtera ini.

PasMa ni ibarat mereka yg menebok kapal. Kalau rasa payah sangat pergilah ke bahtera lain yang kamu suka yang kamu rasakan lebih cepat sampai ke destinasi. Pergilah ke kapal DAP, kapal PKR, kalau nak cepat lagi ke Putra Jaya pergilah ke bahtera UMNO.

Dalam bahtera PAS, ia menggabungkan pelbagai kepakaran, ada yang bahagian kejuruteraannya, ada bahagian enjinnya, ada bahagian kemudinya dan sebagainya. Inilah PAS yang tidak membezakan kepelbagaian penggerak penggeraknya.

Justeru tidak timbul pertembungan antara ulamak dan professional kerana PAS terbuka menerima sesiapa sahaja, asalkan memperjuangkan Islam.

PAS meraikan kepelbagaian pandangan yang dibatasi dengan syarak. Di dalam perlembagaan PAS, meletakkan al Quran, Hadis, Ijmak dan Qias sebagai undang undang tertinggi dalam menentukan sesuatu pendirian.

Para ulamak yang pakar dan berkebolehan dalam merujuk kitab kitab ulamak terdahulu, serta kepakaran mereka dalam bidang syariat, dihimpunkan di dalam Majlis Syura Ulamak bagi memandu PAS agar tidak terbabas daripada sempadan syarak.

Kita bukanlah Rasulullah SAW yang mendapat wahyu secara langsung daripada Allah. Kita juga bukanlah Imam Syafie RA, yang pakar dalam segenap ilmu dan kefahaman yang mampu berijtihad. Akan tetapi, kita menggabungkan para ulamak yang menguasai kepelbagaian bidang dalam memutuskan sesuatu ijtihad mengikut kesesuaian zaman.

Contohnya PAS pernah bersidang bersama para ulamak sedunia, manakala wakil PAS yang hadir ketika itu ialah Tuan Guru Presiden, Almarhum Ustaz Harun Taib, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Dato Mustafa Ali.

Iaitu berbincang tentang hubungan dengan Non Muslim, yang mana telah digariskan oleh Islam sebanyak 8 bentuk, antaranya tahaluf, hudnah dan sebagainya, selari dengan keperluan semasa dan penerimaan masyarakat.

Begitu juga pada 1960 dan 1961, ketika itu Dr Zulkifli Mohamad pernah mencadangkan agar mewujudkan keahlian bersekutu kepada non-muslim. Ketika itu masyarakat belum dapat menerima lantas beliau menerima ugutan, kenderaannya ditahan dan sebagainya kerana cetusan beliau ketika itu tidak dipersetujui oleh Tok tok Guru Pondok.

Beliau mengambil pendekatan berundur daripada cetusan tersebut bagi meraikan penerimaan masyarakat semasa.

Begitu juga perbezaan antara Imam Haramain al Juwaini RA dan Imam Mawardi dalam beberapa permasalahan berkaitan non muslim.

Imam Haramain menetapkan ijtihadnya berdasarkan realiti setempatnya ialah sekitar Mekah dan Madinah yang mana hampir kesemua penduduknya beragama Islam. Manakala Imam Mawardi yang tinggal di Iraq berhadapan dengan masyarakat majmuk.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana