AKTA HASUTAN UNTUK JAGA KEAMANAN NEGARA BERBILANG KAUM, KATA WISMA PUTRA

KUALA LUMPUR: Kerajaan mengekal dan mengukuhkan Akta Hasutan 1948 demi menjaga keamanan dan kestabilan negara yang berbilang kaum dan budaya, kata Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman.

Katanya, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk melindungi kemajuan dan kemakmuran negara serta kesejahteraan warganya.

"Oleh itu, undang-undang yang sewajarnya perlu ada untuk menangani isu-isu yang boleh menyebabkan keterangan kaum dan agama serta mengekang tingkah laku yang mencabul keharmonian yang dinikmati oleh seluruh rakyat Malaysia," kata Anifah dalam satu kenyataan yang dikeluarkan lewat petang ini.

Tambah beliau, kerajaan yakin Akta Hasutan akan melindungi kepentingan setiap warga Malaysia. Kerajaan juga yakin ia perlu untuk menghalang ekstremisme kaum dan agama.

Anifah mengulas kenyataan Naib Presiden Amerika Syarikat, Joseph Biden awal hari ini yang menyatakan rasa bimbang dengan keputusan kerajaan mengekalkan Akta Hasutan.

Beliau bagaimanapun berpendapat keputusan rayuan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan diumumkan oleh Mahkamah Persekutuan nanti satu peluang baik untuk Malaysia menonjolkan keyakinan kepada demokrasi dan kehakiman.

Sebelum ini, Mahkamah Persekutuan menangguhkan ke satu tarikh lain keputusan rayuan akhir Anwar terhadap sabitan dan hukuman penjara atas kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, enam tahun lalu.

Pada Perhimpunan Agung UMNO minggu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan untuk mengekalkan Akta Hasutan dengan beberapa penambahbaikan.

Kata Najib, langkah itu dibuat bagi melindungi sensitiviti semua rakyat serta bukan sahaja melindungi hak-hak orang Islam dan Melayu tetapi juga bagi orang bukan Islam dan masyarakat bukan Melayu.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana