Taklimat Presiden: Melayu akan dibangsatkan jika UMNO kecundang

Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat sudah sampai ke kemuncak kekecewaan berhubung prestasi yang ditonjolkan parti dalam tempoh lebih setahun selepas berakhirnya pilihan raya umum yang lalu.
Beliau memberi amaran keras kepada pemimpin UMNO di semua peringkat supaya bekerja keras jika mahu melihat parti itu terus berkuasa selepas Pilihan Raya Umum ke-14.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menyifatkan kekecewaan Najib itu sudah mencapai tahap 'siling' dan ia ditujukan khusus kepada pemimpin parti yang masih mengambil sikap tidak peduli.

"Presiden ada menyebut bahawa bangsa Melayu akan dibangsatkan jika UMNO kecundang. Saya rasa, tidak pernah mendengar presiden parti berkata sedemikian.

"(Kemarahan) presiden seolah-olah sudah sampai ke 'siling'. Kita dapat lihat kekecewaan beliau terhadap pimpinan yang lambat untuk bertindak kepada perubahan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis Taklimat Presiden yang diadakan secara tertutup di Dewan Merdeka, PWTC, Selasa.

Menurut Mohd Puad, Najib yang juga Perdana Menteri turut menegur secara mendalam mengenai kelemahan jentera UMNO untuk terus bekerja bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap parti itu.

"Presiden ada menegur bahawa jentera UMNO masih dingin dan tidak ada usaha untuk wujudkan 'fear factor' bagi membangkitkan semangat luar biasa di kalangan ahli UMNO," katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata dalam era teknologi serba moden ini, setiap peringkat diseru melakukan perubahan radikal bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang supaya rakyat daripada semua kaum terutamanya generasi muda terus memberi sokongan padu buat UMNO dan BN.

"Presiden berkali-kali ingatkan supaya kita buat perubahan besar... jika tidak parti ini akan berkubur. Apa yang penting kini, kita tahu apa masalah... bagaimana nak selesaikan. Ini adalah peringatan kepada semua ketua bahagian untuk buat sesuatu yang radikal menjelang PRU-14 nanti supaya kita masih mampu berkuasa," katanya.

Mustapa juga mengingatkan kepada semua pemimpin dari akar umbi supaya tidak syok sendiri dan hanya pandai menabur janji kosong.

"Kita berpolitik ni nak berkuasa... kita bukan nak main-main atau syok sendiri. Jadi nak berkuasa kena pastikan kita dapat undi... rakyat sokong kita, suka kita.

"Jika tindakan kita ini menyebabkan rakyat marah kita atau lari daripada UMNO, maka rugilah kita berpolitik. Hilang kuasa, hilang segala-galanya," katanya.

Bagi Ketua UMNO bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee turut menyuarakan pandangan mengenai taklimat presiden parti supaya mengutamakan bangsa lain memandangkan Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum.

Beliau berkata, BN juga perlu mendapatkan undi daripada bangsa-bangsa lain sekiranya mahu memperoleh kemenangan dalam PRU akan datang.

Sehubungan itu katanya, setiap perkara perlu dilakukan secara berhati-hati supaya ia tidak menyentuh sensitiviti kaum lain.

"Kita perlu berhati-hati dalam apa jua perkara yang kita buat. Ini kerana kita juga mahu meraih kepercayaan bangsa yang lain dalam memberi sokongan kepada kita," katanya.

Syed Ali yang merujuk tentang isu sekolah vernakular berkata, perkara tersebut tidak sepatutnya dibangkitkan untuk dipersoalkan pada masa ini memandangkan ia sudah menjadi sebahagian daripada sistem pendidikan di negara ini.

"Sekolah vernakular dah lama berjalan, biarkanlah jalan. Kenapa nak halang lagi? Apa yang kita dah buat hari ini adalah untuk kita semua rakyat Malaysia.

"Undi pun kita perlu raih daripada semua. Sokongan padu semua kaum ini yang kita perlukan (untuk BN menang dalam pilihan raya umum akan datang)," katanya.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana