AHLI PERNIAGAAN DIPERDAYA 'JIN' AFRIKA

Hairan bagaimana orang bijak pandai, ahli perniagaan malah ada yang bergelar 'dato' boleh tertipu dengan 'jin' afrika...

Satu perkara harus ingat, jika mereka boleh kaya raya dengan kertas kosong menjadi RM, pasti mereka tidak datang negara kita untuk menipu..

Lebih ramai yang bodoh dari si bodoh....

KUALA LUMPUR 11 Nov. – Boleh gandakan wang sehingga AS$500 juta dengan bantuan alam jin.

Itulah tawaran ‘dongeng’ seorang lelaki warga Afrika kepada seorang ahli perniagaan di Ampang di sini hingga menyebabkan dia kerugian RM393,500.

Setelah menyedari dirinya terpedaya, mangsa berusia 40-an yang telah pun melakukan beberapa pembayaran kepada suspek sejak September lalu ak­hirnya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairuldin Saad berkata, bertindak atas maklumat laporan itu, pihaknya berjaya menahan suspek berkenaan di sebuah taman rekreasi di Pandan Indah di sini Jumaat lalu.

Beliau berkata, penipuan itu bermula apabila mangsa perlu menyerahkan RM2,000 bagi mendapatkan sebentuk cincin yang didakwa sebagai kunci permulaan mendapatkan wang daripada alam jin.

“Mangsa dikehendaki menunaikan segala permintaan bagi menjalankan upacara berdoa kepada jin selain diarahkan mencari rumah atau pun hotel bagi menjalankan upacara tersebut dan menyediakan tiga buah beg untuk penjelmaan wang berkenaan.

“Mangsa juga perlu menyediakan AS$25,000 (RM81,500) untuk digaulkan bersama wang dalam beg tersebut sebelum duit itu menjadi berganda-ganda sehingga mencukupi nilai yang dikehendaki,” katanya ketika ditemui di IPD Ampang Jaya di sini hari ini.

Menurut Khairuldin, ekoran penahanan itu, pihaknya juga melakukan serbuan di sebuah rumah di Taman Cahaya Indah, Pandan Jaya dan merampas tiga beg pakaian berisi 519 ikat kertas kosong bersaiz wang kertas, ma­sing-masing sehelai kain putih dan merah serta empat batang lilin.

Sementara itu, dalam kes kedua, beliau memberitahu, seorang bekas tukang kimpal kapal me­ngalami kerugian RM10,000 akibat ditipu oleh seorang wanita warga Afrika yang mendakwa melakukan perniagaan pelaburan emas.

“Pada mulanya suspek dan mangsa bertemu di sebuah kedai minum dan berkenalan. Di situ suspek menawarkan mangsa untuk menyertai satu skim pelaburan emas yang boleh memperoleh keuntungan berlipat ganda dalam tempoh dua minggu.

“Setelah menyerahkan wang berjumlah RM10,000 yang kebetulan diperoleh oleh mangsa daripada pampasan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) beberapa hari kemudian, suspek terus menghilangkan diri serta gagal dihubungi,” ujarnya.

Tambah Khairuldin, polis berjaya menahan suspek di sebuah rumah di Taman Kosas, Ampang kira-kira pukul 8.30 malam tadi setelah menerima laporan daripada mangsa.

Ujar beliau, kedua-dua suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana