Dewan Ulama PAS desak Selangor dedah dalang anjur pesta arak Oktoberfest

Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) menuntut kepada kerajaan Selangor melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menyiasat penganjuran pesta arak Oktoberfest dan mencari dalang siapa yang sebenarnya terlibat dalam perkara ini sehingga boleh tersebar sebagai festival arak.
Pemangku Ketua DUPP, Ustaz Datuk Ahmad Yakob berkata, arak boleh diminum oleh mereka bahkan Islam tidak pernah menyekat untuk mereka menikmati arak sebagaimana makanan yang lain.

Namun, jelasnya Islam amat bertegas dalam prinsip dan tidak membiarkan penularan gejala-gejala keruntuhan sosial berlaku.

"Pesta arak ini banyak aspek buruknya iaitu ia akan menjadikan arak ini bahan promosi dan kita bimbang ada dalam kalangan umat Islam yang terlibat sama," tulis beliau menerusi facebook.

Tegasnya, umat Islam diharamkan sama sekali untuk terlibat dengan pesta itu, bukan setakat menghadiri dan meminum arak akan tetapi dengan menjadi orang tengah yang mempromosi Oktoberfest pun sudah haram.

Justeru, katanya DUPP amat kesal di atas penganjuran yang beliau difahamkan pihak kerajaan Selangor sendiri tidak pernah meluluskan penganjuran Oktoberfest.

"Syarikat Carlsberg mesti memohon maaf secara terbuka jika tidak pihak kerajaan Selangor mesti mengambil tindakan tegas di atas sikap mencemarkan sensitiviti umat Islam yang pada ketika ini umat Islam sedang meraikan sambutan hari raya Aidiladha," ujarnya yang juga Menteri Besar Kelantan.

Kecaman dan tekanan yang diberikan oleh pelbagai pihak menyebabkan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) semalam akhirnya bertindak menolak permohonan permit penganjuran pesta mabuk arak Oktoberfest yang dijadualkan berlangsung Jumaat hingga Ahad ini di ruang letak kereta pusat beli-belah 1 Utama, Bandar Utama di sini.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Datin Paduka Alinah Ahmad berkata, MBPJ memang ada menerima permohonan daripada pihak penganjur untuk mengadakan pesta tersebut, tetapi ia ditolak kerana tidak menepati syarat-syarat yang ditetapkan.

“Pihak kami tidak pernah mengeluarkan sebarang permit kepada mana-mana pihak untuk menganjurkan pesta arak Oktoberfest.

“Walaupun pihak penganjur ada menghantar permohonan kepada kami, tetapi ia tidak diluluskan atas beberapa alasan seperti tidak mendapat kebenaran pihak polis dan dibuat di kawasan terbuka.

“Kami tidak akan sesekali mengeluarkan permit kepada penganjur sekiranya syarat-syarat yang ditetapkan tidak dipatuhi,” ujar beliau ketika menerima memorandum bantahan daripada tiga Ahli Parlimen yang mewakili Dewan Ulama PAS Pusat Rabu.

Semalam juga, DAP mengingatkan semua parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO) yang menghentam pesta arak Oktoberfest supaya menghentikan tohmahan terhadap penganjuran acara itu.

Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua berkata pesta mabuk-mabuk itu tidak sepatutnya dijadikan titik pergeseran antara agama kerana Oktoberfest merupakan acara swasta yang diraikan oleh penganut bukan beragama Islam, dan tidak sepatutnya melibatkan penganut beragama Islam.

“DAP Selangor ingin menetapkan bahawa asal program “Oktoberfest” tidak melibatkan peserta beragama Islam, ia tidak sepatutnya membangkitkan sebarang perasaan sensitif daripada rakyat beragama Islam.

“Oktoberfest sebenarnya tidak patut diserang dengan pelbagai tohmahan yang buruk dan melampau kerana ianya hanya merupakan satu acara kecil yang digunakan oleh syarikat-syarikat arak untuk mempromosikan minuman mereka. Acara ini telah berlangsung selama lima tahun berturut-turut tanpa sebarang kesan negatif kepada masyarakat Malaysia di mana-mana tempat,” jelas Tony.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana