Ambiga Niat Jahat Tuduh Putrajaya Pecah Belah Kaum

KUALA LUMPUR, 2 Okt –  Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali AlHabshee membidas Ambiga Sreenevasan yang mempunyai niat jahat mendakwa terdapat usaha bersepadu dilakukan Putrajaya untuk memecah belah rakyat pelbagai kaum terutamanya dalam dasar pendidikan negara.

Ambiga yang juga bekas Pengerusi Bersama Bersih 2.0 dalam satu forum yang diadakan di Petaling Jaya, turut mendakwa kerajaan mempunyai agenda di sebalik usaha meluaskan jurang kaum melalui pendidikan di sekolah, iaitu untuk meningkatkan polisi ‘pecah dan perintah’.

Kata Syed Ali, kerajaan atau Putrajaya sekalipun tidak pernah mempunyai sikap seperti sesetengah pemimpin pembangkang DAP terutamanya suka memainkan isu perkauman dan agama dalam apa perkara sekalipun di negara ini.

Kerajaan Barisan Nasional (BN) sejak dulu dan kini sentiasa menjadi pelindung dan mempertahankan hak semua kaum di negara ini tanpa perasaan beza membeza atau memencilkan mana-mana pihak sekalipun.

“Saya berasa kesal bila terdapat sesetengah pihak seperti Ambiga yang terus menerus menuduh kerajaan atau Putrajaya mempromosi sikap perkauman melalui dasar pendidikan negara dan kononnya terdapat usaha bersepadu untuk memecah belah rakyat pelbagai kaum di negara ini.

“Bagi saya tuduhan Ambiga tidak berasas dan secara realitinya dia sendiri yang cuba mempromosi atau membesar-besarkan isu perkauman ini dilakukan untuk mendapat simpati daripada rakyat melalui forum yang diadakan di Petaling Jaya malam tadi bertajuk’Punca Arus Perkauman Dalam Negara kita’.

“Saya cukup berasa hairan tokoh seperti Ambiga sepatutnya berusaha membawa perkara–perkara yang baik ke arah perpaduan rakyat dan bukannya menggunakan pelbagai pentas politik dan NGO terutamanya untuk membantai kerajaan kononnya memecah belah kaum atau bersikap tidak adil,” katanya dalam entri terbaru di umnobahagiancheras.blogspot.com.

Tegas Syed Ali, tiada mana-mana kerajaan di dunia termasuk Malaysia yang mempunyai rakyat pelbagai kaum dan agama menjadi penaja kepada perpecahan rakyat.

Kerajaan sentiasa berusaha untuk menambah baikkan perpaduan dan hubungan rakyat  pelbagai kaum di negara ini melalui pelbagai pendekatan termasuk melalui sistem pendidikan rendah, menengah dan pusat pengajian tinggi.

Sejak merdeka lagi, kerajaan tidak pernah menggalak, membawa dan menaja rakyat ke jalanan bagi memenuhi sesetengah tuntutan atau memprotes segala keputusan yang baik dibuat untuk rakyat.

Dan jelas apa yang dilakukan kerajaan  sentiasa mengikut prosedur dan undang-undang. Keputusan yang dibuat oleh kerajaan tidak hanya menguntungkan satu kaum malah mengambil kira kepentingan kaum-kaum lain di negara ini.

“Saya cukup berasa hairan bagaimana Ambiga dalam forum berkenaan boleh membuat dakwaan sistem pendidikan Malaysia telah memainkan peranan besar dalam mewujudkan warganegara kelas pertama dan kedua di negara ini,” katanya.

Melalui forum itu juga, Ambiga juga berkata, sistem pendidikan Malaysia telah memainkan peranan besar dalam mewujudkan mentaliti orang Melayu sentiasa difahamkan mereka adalah lebih baik dan yang lain semata-mata adalah ‘pendatang’.

“Saya tidak nampak sistem pendidikan di Malaysia ini cuba menghasut pelajar-pelajarnya ke arah permusuhan kaum atau meletakkan orang bukan Melayu sebagai warganegara kedua dan ketiga kerana melalui acuan dan sistem pendidikan yang sama.

“Malah di negara ini kita mempunyai tiga aliran Sekolah Jenis Kebangsaan iaitu Melayu, Cina dan India sebagai bukti kerajaan sentiasa bersikap adil dan saksama kepada semua kaum di negara ini.

“Ini termasuklah bidang perniagaan, orang Melayu tidak pernah berasa cemburu atau dengki bila kaum lain berjaya dan menguasai bidang perniagaan di negara ini,” katanya.

Menurut Syed Ali, rakyat semua kaum di negara ini seharusnya merasa bersyukur kerana mempunyai kerajaan yang sentiasa peka dan sentiasa melindungi hak semua bangsa di sini.

Ini katanya dapat dilihat dalam pelbagai program yang dianjurkan oleh kerajaan melalui kementerian dan agensinya sentiasa menggalakkan rakyatnya bersatu padu dan mengambil ikhtibar perpecahan berlaku di sesetengah negara yang hanya melibatkan satu kaum.

“Kita di Malaysia bertuah kerana mempunyai kerajaan yang sentiasa meletakkan perpaduan rakyatnya di tempat yang pertama. Walaupun kerajaan sentiasa dituduh dengan pelbagai tohmahan dan fitnah oleh sesetengah pihak tidak bertanggungjawab namun tidak mematahkan usaha atau program-program boleh menyatukan rakyat di negara ini,” katanya.

Comments

Popular posts from this blog

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL