Mat Sabu, Mustafa berbelah pendirian jika Sultan pilih ADUN PAS sebagai MB Selangor

BATU PAHAT: Setiausaha Agong PAS Datuk Mustafa Ali menggesa PKR dan DAP menerima sebarang keputusan Sultan Selangor dalam melantik Menteri Besar Baru Selangor, termasuk jika yang dipilih baginda adalah ADUN PAS.

Mustafa akur bahawa kerusi MB itu "kerusi PKR" namun menegaskan Sultan mempunyai "kuasa mutlak" dalam menentukan siapa harus menyandang jawatan itu.

"Saya tidak mahu membuat apa-apa andaian. Jika Sultan sudah membuat keputusan, semua pihak kena terima, bukan sahaja PAS," kata beliau kepada pemberita.

Bagaimanapun timbalan presiden parti Mohamad Sabu berkata PAS tetap akan menolak perlantikan ADUN PAS sebagai MB kerana tidak memenuhi syarat mendapatkan sokongan majoriti dalam DUN Selangor.

"Bagi saya, kita tetap dengan keputusan kerusi MB itu milik PKR. Kalau kita ambil (dan) kalau PKR dan DAP tidak setuju, ia akan jadi kerajaan (pimpinan PAS) yang singkat," kata beliau.

Mat Sabu berkata PAS harus berpegang kepada keputusan Jawatankuasa Pusatnya 7 September lalu  yang menetapkan kerusi MB itu terus disandang oleh calon PKR.

Petang tadi, Istana Selangor mengesahkan Sultan Sharafuddin Idris Shah sudah berkenan melantik MB baru dan upacara angkat sumpah akan berlangsung Selasa depan.

Bagaimanapun setakat ini nama ADUN Pakatan Rakyat yang dipilih menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim masih belum diumumkan.

PKR dan DAP mencalonkan presiden PKR yang juga ADUN Kajang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk jawatan itu berasaskan sokongan 29 daripada 56 ADUN Selangor yng diperolehi oleh beliau termasuk dua ADUN PAS.

Bagaimanapun pencalonan tunggal Wan Azizah untuk mengisi jawatan itu tidak dipersetujui oleh presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang kemudian mencalonkan seorang wakil PAS iaitu Pesuruhjaya PAS Selangor Iskandar Samad.

Dua nama lain yang dikemukakan Hadi kepada pihak Istana adalah ADUN Ijok Dr Idris Ahmad  dan ADUN Kota Anggerik  Dr Yakub Sapari, kedua-duanya dari PKR.

Keputusan Hadi itu didokong oleh Majlis Syura tetap disanggah oleh beberapa pemimpin kanan Jawatankuasa PAS Pusat termasuk Mohamad Sabu.

Sebelum itu Sultan Sharafuddin menegur PKR-DAP kerana hanya mencalonkan nama Wan Azizah sungguhpun pihak Istana meminta ketiga-tiga parti komponen Pakatan Rakyat untuk mencalonkan lebih daripada dua nama.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana