PAS Buat Pendirian Mengelirukan, Sokong Wan Azizah, Kekalkan 4 EXCO Bersama Khalid

PAS hari ini membuat pendirian yang mengelirukan apabila mengumumkan tidak menyokong lagi kepimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor tetapi dalam masa yang sama mengarahkan empat anggota Exco daripada partinya untuk kekal dalam pentadbiran kerajaan negeri pimpinan Abdul Khalid.

Parti itu mencalonkan dua nama iaitu Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalannya Mohamad Azmin Ali sebagai calon Menteri Besar yang baharu bagi menggantikan Abdul Khalid.

Keputusan sebulat suara oleh pimpinan tertinggi parti itu dibuat selepas mesyuarat khas jawatankuasa kerja pusat, sekali gus mengugurkan sokongan parti itu sebelum ini terhadap Abdul Khalid.

Timbalan Presiden Pas Mohamad Sabu memberitahu pemberita selepas mesyuarat itu, PAS tidak akan menuntut jawatan Menteri Besar Selangor daripada PKR dan terus komited dengan Pakatan Rakyat dalam melaksanakan kerjasama politik Tahaluf Siyasi.

“PAS juga menghormati semangat yang ada dalam Pakatan Rakyat dalam mencadangkan nama calon Menteri Besar,” katanya.

Mohamad berkata, alasan PAS tidak lagi menyokong Abdul Khalid walaupun telah mendapat perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah sebagai Menteri Besar, adalah kerana Anggota Dewan Undangan Negeri Selangor kawasan Pelabuhan Klang itu bukan lagi anggota PKR.

Beliau berkata, PAS mengamalkan kerjasama politik Tahaluf Siyasi dengan parti lain dalam Pakatan Rakyat dan bukannya dengan individu.

“Ini keputusan parti (PAS), bukan pakatan pembangkang (secara keseluruhan) dan keputusan ini juga diambil tanpa tekanan daripada mana-mana pihak,” katanya.

Katanya, kedua-dua nama calon bakal Menteri Besar baharu itu akan dibincang dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat di Subang Jaya petang ini.

Ditanya mengapa PAS mencadangkan dua nama tersebut, Mohamad bagaimana pun gagal memberi jawapan tepat dan hanya berkata: “Dua nama sebab tidak 10 (nama).

Mohamad berkata, keputusan itu telah dibuat dan dipersetujui bersama oleh semua pucuk pimpinan PAS pada mesyuarat hari ini.

“Kita cadangkan dua nama dan dua nama ini kita akan tentukan pada mesyuarat petang ini (bersama PKR dan DAP),” katanya.

Ditanya mengenai jawatan anggota Exco PAS yang masih berkhidmat dengan kerajaan negeri Selangor di bawah pentadbiran Abdul Khalid, Mohamad berkata mereka akan meneruskan tugas sehingga tempoh peralihan.

“Ia untuk memastikan khidmat kepada rakyat tidak terjejas,” katanya.

Katanya, parti itu juga akan menjalankan siasatan terhadap dua Adun mereka yang bertindak menyatakan sokongan terhadap Wan Azizah sebagai Menteri Besar Selangor sebelum ini tanpa persetujuan parti terlebih dahulu.

Dua Adun terbabit adalah Adun Hulu Klang, Saari Sungib dan Adun Morib, Hasnul Baharuddin.

Sementara itu, Anggota Jawatankuasa Kerja PAS Pusat Suhaizan Kaiat berkata keputusan Majlis Syura Ulama yang menyokong Abdul Khalid sebegai menteri besar sebelum ini, terbatal susulan keputusan mesyuarat khas hari ini.

“Keputusan (awal) Majlis Syura Ulama dibuat semasa Abdul Khalid masih lagi anggota Pakatan Rakyat, namun sekarang beliau bukan lagi anggota,” katanya.

Mengulas pandangan sesetengah pihak bahawa Wan Azizah akan menjadi menteri besar ‘boneka’ kepada Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sekiranya terpilih sebagai menteri besar, Suhaizan yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS berkata itu hanyalah andaian semata-mata.

“Kedua-duanya (Wan Azizah dan Azmin) ada kekuatan masing-masing yang (memenuhi) syarat-syarat yang melayakkan mereka menjadi menteri besar,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha PAS Selangor Mohd Khairuddin Othman berkata pihaknya akan terus bekerjasama dengan mana-mana menteri besar yang dilantik atas perkenan Sultan Selangor kelak.

“Kami tegas meminta semua Adun PAS serta pimpinan parti di semua peringkat akur kepada keputusan berkenaan termasuk mentaati tatacara parti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Adun Seri Andalas daripada PKR, Dr Xavier Jayakumar ketika dihubungi berkata susulan keputusan terbaharu pimpinan PAS pusat itu, Abdul Khalid perlu meletakkan jawatan.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar pula berkata pihaknya akan menunggu keputusan pimpinan parti itu sebelum membuat apa-apa kenyataan berhubung isu jawatan menteri besar. – BERNAMA

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana