Harga Sewa Naik : Kerajaan Selangor Tindas Penduduk PPR...Undilah Lagi PR
KOTA DAMANSARA 5 Mei - Kenaikan harga sewa rumah mendadak yang dikenakan kepada penduduk di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seksyen 8 di Kota Damansara daripada RM124 kepada RM250 menimbulkan persoalan rumit apabila dilihat seolah-olah cuba menindas penghuni penempatan asal daripada kawasan setinggan.
Salah seorang penduduk awal, Mat Rosli Ismail menyifatkan janji parti politik untuk membela dan bersifat berkebajikan semasa pilihanraya hanya tinggal janji apabila rakyat terus ditimpa kesempitan dalam menjalani kehidupan seharian.
"Amat mengecewakan adalah saya merupakan daripada pemindahan daripada Kampung Baru Hicom Shah Alam. Kami dijanjikan menetap disini secara percuma selama 2-3tahun sehingga rumah (sendiri) siap namun rumah saya terbengkalai di Kota Kemuning. Saya kemudiannya dijanjikan supaya membayar RM124 sehingga rumah tersebut siap sepenuhnya. Namun saya kena bayar RM250 dan juga perlu membayar rumah yang tidak siap itu,"
"Perkara biasa janji semasa pilihanraya, biasalah politik. Namun semua pemimpin kena fikir apa yang dicakap dan dijanjikan, mereka perlu bertimbang rasa," katanya ketika ditemui Rakyat News di sini hari ini.
Mat Rosli merupakan salah seorang penghuni awal daripada kawasan setinggan yang menetap di PPR tersebut sekitar 12 tahun lepas. Beliau kini tidak lagi bekerja berikutan masalah kesihatan dan ditanggung sepenuhnya oleh anak kandungnya.Dalam masa sama abang kandung beliau yang juga merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) menetap dirumah sama.
Sebelum ini penduduk telah membuat bantahan secara aman berhubung kenaikan kadar sewa rumah yang berlaku sejak Mei tahun lalu. Sebanyak 1,154 unit rumah terlibat dengan kenaikan kadar sewa daripada RM124 kepada RM250 yang melibatkan lebih 3,000 penduduk.


Comments