Jangan langgar sempadan perpaduan...Insyallah Bumi Malaysia Bertuah

Sejak mutakhir ini negara diselubungi pelbagai masalah yang membabitkan bencana alam, kemalangan jalan raya, isu ekonomi dan keselamatan serta gejala sosial namun yang agak meruncing adalah isu perhubungan antara agama dan perpaduan.

Perpaduan dan keharmonian antara kaum adalah begitu penting dalam masyarakat majmuk seperti kita. Malaysia telah dibentuk daripada kepelbagaian melalui semangat bertolak ansur, berkompromi dan konsensus.

Sejak kemerdekaan lagi, seluruh rakyat Malaysia menerima Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak semua kumpulan etnik dan Rukunegara sebagai panduan dalam pembinaan negara.

Kita telah mencapai kemerdekaan selama 56 tahun. Kini, walaupun Malaysia ada kekurangannya, segala dugaan yang dilalui dan ditempuhi telah membina tapak kukuh, yang menjadi asas keharmonian kaum, perpaduan, kepaduan sosial dan kestabilan politik. Keharmonian, perpaduan dan kestabilan inilah yang menjadi idaman negara lain, termasuklah negara yang maju.

Oleh sebab itu, janganlah menghancurkan apa yang telah kita capai selama ini melalui semangat muhibbah dan persefahaman antara kaum di negara berbilang bangsa ini. Janganlah kita membiarkan fahaman ekstremis memecahbelahkan negara yang kita cintai ini kerana inilah tanah tempat kita dilahirkan, tempat membina kehidupan, tempat mencari rezeki dan akhirnya, di sinilah tempat kita akan bersemadi.

Rakyat Malaysia daripada pelbagai kumpulan etnik perlu membantu menjalin dan memperkukuhkan keharmonian, perasaan muhibah, keamanan dan perpaduan di Malaysia. Hanya keharmonian dan persefahaman antara kaum yang mampu menggalakkan kepercayaan dan perpaduan antara rakyat.

Sedang kita melangkah ke tahun yang baru, sama-samalah kita berazam supaya dalam apa jua keadaan, tiada kumpulan etnik yang akan menguji sempadan-sempadan perpaduan dan keharmonian dengan melibatkan diri dalam tuntutan atau aktiviti yang bersifat ekstremis dan tidak produktif.

Rakyat Malaysia harus sedar bahawa mengejar agenda bersifat perkauman dalam masyarakat berbilang kaum hanya akan menanamkan benih perbalahan yang hanya akan memudaratkan keharmonian dan perpaduan yang wujud.

Pembinaan negara-bangsa bukanlah suatu proses yang mudah. Ia dipenuhi cabaran berliku dan yang memerlukan persefahaman, toleransi dan yang paling utama, komitmen serta pengorbanan yang tinggi.

Jika menyisip sejarah negara sejak beberapa dekad ini, tidak dinafikan kita telah mencapai kejayaan dari segi pembangunan ekonomi, pemodenan dan teknologi maklumat.

Dan walaupun ekonomi dan teknologi maklumat merupakan daya penggerak dan kekuatan pada era ini dan masa hadapan, kita tidak boleh alpa dengan kepentingan keharmonian antara kaum dan perpaduan yang harus dijaga dan dilindungi jika kita ingin mengekal dan mengukuhkan kejayaan sedia ada.

Rakyat Malaysia tidak kira bangsa atau agama, seharusnya lebih peka terhadap peranan dan sumbangan mereka kepada perpaduan negara. Pembangunan ekonomi tidak akan bermakna tanpa persefahaman, keharmonian, kesejahteraan dan kepercayaan antara rakyat.

Kita sepatutnya meneruskan usaha dengan lebih gigih untuk membina negara Malaysia yang bersatu-padu dan mengimpikan masa depan dan hala tuju yang sama.

Program-program bertindak bagi rakyat Malaysia hendaklah merupakan usaha yang berterusan bertujuan menyemai dan memperkukuhkan perasaan cinta dan kesetiaan kepada negara serta kebanggaan menjadi rakyat Malaysia.

Di samping itu, semangat patriotisme mestilah sentiasa disemai dan dibajai dalam usaha memperkukuhkan keharmonian dan perpaduan sosial.

Penyelesaian kepada kemelut yang melanda mana-mana negara adalah melalui pendekatan kesederhanaan dalam apa jua isu berbangkit. Dalam negara bermasyarakat majmuk seperti Malaysia, tindakan atau tutur kata bersifat ekstrem tidak boleh diterima kerana ia boleh menjejaskan keharmonian kaum dan perpaduan.

Kita perlu mempunyai ketabahan dalam mengharungi masalah dan cabaran yang mendatang dengan mengutamakan kepentingan negara kerana inilah sahaja negara tumpah darah kita .

Kita perlu bijaksana di dalam cara berhadapan dengan masalah terkini dengan penuh berhemah dan teliti ibarat menarik benang di dalam tepung agar tidak menyinggung hati dan perasaan mana-mana pihak yang lain.

Comments

Popular posts from this blog

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL