Awie Dan Erra Bercinta Kembali?

Lelaki bernama Awie pernah singgah di hati wanita cantik Erra Fazira kira-kira 20 tahun lalu. Mereka mula menyulam cinta gara-gara berlakon bersama dalam filem Sembilu pada tahun 1994.

Pada waktu itu Erra berusia 20 tahun dan Awie pula berusia 26 tahun. Dua tahun kemudian, ikatan pertunangan dimeterai sebagai tanda hubungan yang lebih rasmi sebelum melangkah ke alam perkahwinan.

Menempuh alam pertunangan yang penuh dugaan, akhirnya Awie dan Erra terpaksa akur kepada ketentuan Allah SWT apabila berpisah secara baik pada tahun 1998.

Sejak itu, kedua-duanya membawa haluan hidup masing-masing dan mereka tidak pernah menyanyi bersama di atas pentas atau pun berlakon di set penggambaran sehingga ke hari ini.

Bagaimanapun perjalanan hidup mereka ibarat melalui jalan cerita yang sama apabila masing-masing pernah gagal dalam perkahwinan pertama sebelum kembali bertemu bahagia dengan perkahwinan kedua.

Cuma dua tahun kebelakangan ini, Erra dan dan suaminya, Engku Emran digossipkan berdepan krisis rumahtangga apabila dikatakan tidak tinggal sebumbung lagi.

Namun apabila Awie berhasrat mementaskan Konsert Teaterikal Suara Kita di Istana Budaya pada 3 hingga 9 Mac depan untuk mengimbau kenangan era kegemilangan filem-filem lakonannya bersama Erra dan Ziana seperti Sembilu, Sembilu 2, Tragedi Oktober, Maria Mariana 2 dan Merah, timbul banyak persoalan yang bermain di minda.

Pasti peminat ingin mengetahui bagaimana Awie dan Erra kembali bercinta selain kesan-kesan di luar jangka yang bakal muncul di kemudian hari.

Bagi Erra, dia mengakui tidak ada masalah untuk 'kembali' bermadu kasih dengan bekas tunangnya, Awie. Sebagai pelakon, dia yakin kepada Awie yang memiliki cara kerja yang profesional.

"Saya tiada masalah kerana sebagai seorang pelakon yang profesional, apa yang dilakonkan tidak perlu terkesan di mana-mana," kata Erra Fazira.

Ibu kepada seorang anak itu ditemui ketika sidang media Konsert Teaterikal Suara Kita di Istana Budaya, semalam.

Sementara itu, Awie pula memberitahu sebelum idea pementasan itu dilontarkan kepada Erra dan Ziana, dia telah terlebih dahulu meminta persetujuan isterinya, Rozana Misbun.

"Secara profesional, niat buat teater ini adalah untuk bekerja. Lakonan kena adil sama ada mungkin lebih baik daripada realiti atau sekadar lakonan sahaja.

"Saya juga doa banyak-banyak agar Erra setuju. Apa pun saya ucap terima kasih kepada isteri saya yang memberi kebenaran untuk buat konsert ini.

"Saya sebenarnya perlu jaga hati isteri, ibu bapa, ipar duai dan anak,” katanya yang memberitahu Rozana agak terperanjat pada mulanya.

Sementara itu, Konsert Teaterikal Suara Kita akan menampilkan Awie, Erra Fazira dan Ziana Zain.

Pementasan konsert itu akan berkonsepkan gabungan lakonan dan nyanyian bagi mengimbau episod kegemilangan filem Melayu 'pecah panggung' sekitar tahun 1990an yang dibintangi mereka seperti Sembilu, Sembilu 2, Tragedi Oktober, Maria-Mariana dan Merah.

Konsert tersebut akan berlangsung bermula 3 hingga 9 Mac depan.

Pementasan selama 2 jam 30 minit itu akan mengimbas semula sedutan babak-babak daripada filem-filem tersebut sebagai teras dan latar penceritaan.

Ia juga akan diwarnai dengan persembahan nyanyian lagu-lagu malar segar daripada Awie, Ziana dan Erra.

Tiket Konsert Teaterikal Suara Kami berharga RM79, RM149, RM199, RM249,RM299, RM349, RM399 dan RM499 boleh dibeli dengan melayari www.ticket2u.biz dan di kaunter tiket Istana Budaya.

Selain itu, bagi pembeli tiket-tiket bernilai RM399 dan RM499, mereka layak untuk mendapatkan jemputan ke majlis jamuan dan beramah mesra bersama artis-artis yang terlibat pada 9 Mac 2014 pukul 9 malam dengan bayaran tambahan sebanyak RM 150.00.

Peluang ini hanya terhad kepada 500 orang penonton sahaja.

Konsert Teaterikal Suara Kita merupakan anjuran Awie Entertainment Sendirian Berhad dengan kerjasama Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan bakal menampilkan Erma Fatima sebagai Pengarah Konsert, Azmi Zainal Abidin sebagai Pengarah Produksi dan Edrie Hashim bertindak selaku Pengarah Muzik.

Comments

Popular posts from this blog

Tiba Masanya UMNO Sendiri, Lupakan BN

MPM : Apa Masalah MCA Sepakat dengan DAP?