Sabah, Sarawak juga termasuk dalam larangan penggunaan kalimah Allah - ISMA

BANGI: Kalimah Allah sewajarnya tidak boleh digunakan langsung oleh orang bukan Islam dalam penerbitan mereka, kata Naib Presiden II Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Muhammad Fauzi Asmuni.

Menurut beliau, larangan penggunaan kalimah Allah juga meliputi kitab Bible yang diterjemah ke dalam bahasa Melayu di Sabah dan Sarawak, agar penggunaan kalimah tersebut terpelihara daripada sebarang bentuk salah guna yang mungkin berlaku.

"Pada pandangan saya keputusan mahkamah itu mesti terkena kepada semua termasuk Sabah dan Sarawak. Dan tidak sepatutnya terhad kepada majalah The Herald, sebab kalau kita kata hanya terhad kepada majalah The Herald, maknanya selepas daripada ini kalau ada majalah lain, kena masuk mahkamah pula untuk halang.

"Mahkamah kalau dia buat keputusan, sepatutnya dia menjadi rujukan kepada semua kes yang seumpamanya, dan sepatutnya terkena kepada Sabah dan Sarawak. Kalau terkena Semenanjung saja, memang akan jadi kelakar," ujarnya dalam satu temu bual eksklusif bersama Antarapos.

Menjelaskan dengan lebih lanjut, Fauzi mempersoalkan kewajaran penggunaan kalimah Allah sebagai ganti kepada 'God' dalam Bible, di mana tiada sesiapa pun daripada kalangan penganut Kristian akan membaca kitab tersebut dalam bahasa Melayu.

"Jadi kepada siapa yang nak ditujukan Bible dan The Herald bahasa Melayu itu? sudah tentu kepada orang Melayu. Kenapa nak disebarkan kepada orang Melayu dan kenapa penyebaran kepada orang Melayu saja digunakan perkataan Allah? Kerana nak mengelirukan orang Melayu.

"Jadi sebab itu dikata misi ini ialah misi kristianisasi dan itu adalah penyalahgunaan kalimah Allah oleh mereka,"katanya.

Terang Fauzi lagi, isu yang utama ialah masyarakat perlu jelas di antara penggunaan kalimah Allah dalam percakapan atau amalan biasa orang bukan Islam, dengan penggunaan kalimah Allah dalam sebarang bentuk penerbitan.

"Kalau dia kata orang bukan Islam boleh kalimah Allah, kalau dia merujuk kepada sebutan harian atau dalam nyanyian negeri (Kedah), itu tak ada masalah. Itu merupakan persoalan khilaf.

"Jadi sepatutnya dia terus merujuk kepada persoalan bolehkah Herald atau majalah lain atau Bible bagi orang kristian yang diterbitkan dalam penerbitan bahasa melayu menggunakan perkataan Allah menggantikan God. Itu satu isu yang lebih spesifik,"jelas beliau.

Mahkamah Rayuan 14 Oktober lalu memutuskan bahawa penerbitan Katolik, The Herald, tidak boleh menggunakan kalimah 'Allah' untuk merujuk kepada 'Tuhan' kerana mendapati kalimah tersebut bukan merupakan sebahagian daripada kepercayaan dan amalan agama Kristian.

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak sebelum ini berkata keputusan Mahkamah Rayuan berhubung penggunaan kalimah Allah tidak melibatkan amalan penganut Kristian di kedua-dua negeri tersebut.

Bagaimanapun, Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 25 Oktober lalu menahan kemasukan 53 naskhah tabloid The Herald ke Sabah bertujuan untuk memastikan tiada penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan itu,  selaras dengan keputusan Mahkamah Rayuan melarang penerbitan The Herald menggunakan kalimah itu.

Namun setelah kajian dilakukan didapati tiada penggunaan kalimah Allah di dalam penerbitan tersebut dan ia kemudiannya dilepaskan untuk edaran, dua hari lalu.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana