Polis tiada kuasa eksekutif langsung dalam PCA - KPN

KUALA LUMPUR 8 Okt. - Polis tidak mempunyai kuasa eksekutif langsung dalam Akta Pencegahan Jenayah (PCA) yang diluluskan Dewan Rakyat baru-baru ini, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Beliau berkata, ia menjadikan akta itu berbeza daripada Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), yang disifatkan sesetengah pihak sebagai zalim.

"Perbezaan paling ketara ialah dari segi kuasa...sebenarnya ISA sepenuhnya kuasa eksekutif manakala PCA sepenuhnya kuasa 'judiciary' (badan kehakiman) dan lembaga.

"Daripada tangkapan awal lagi, tangkapan 24 jam kepada polis, kemudian reman 21 hari di hadapan Majistret, kemudian reman 38 hari di hadapan Presiden Mahkamah Sesyen, kemudian ke lembaga dan bila ada apa juga perkara atau ada pihak yang tidak berpuas hati, dia pergi ke mahkamah," katanya selepas majlis penyampaian cek daripada Persatuan Orang Kota Bharu (POKB) di sini hari ini.

Pada majlis yang berlangsung di Bukit Aman itu, Khalid menerima cek bernilai RM10,500 daripada Penasihat POKB, Datuk Mohamad Fatmi Che Salleh untuk diserah kepada Atiqah Mohd Rosdi, balu Sarjan Zal Azri Abd Somad yang terkorban ketika menjalankan tugas di Melaka pada 23 September lepas.

Beliau sekali lagi menekankan bahawa yang paling penting ialah PCA menyasarkan penjenayah terancang.

Khalid berkata, sesi penerangan kepada orang ramai atau pihak berkaitan mungkin akan dilakukan bagi memberi gambaran yang jelas berkaitan kedua-dua akta itu.

Rang Undang-undang Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) 2013 yang membenarkan penahanan tanpa perbicaraan bagi tujuan ketenteraman awam, keselamatan awam atau pencegahan jenayah, diluluskan di Dewan Rakyat, Khamis lepas.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sebuah blog dilapor sebagai mendakwa kononnya PCA adalah zalim, melanggar Perlembagaan dan tidak berperikemanusiaan.

Ditanya mengenai persediaan polis pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau di Kedah, Khalid berkata, pasukan pemantau telah dihantar ke kawasan itu untuk melakukan tinjauan dan menilai keadaan di sana.

"Kami dah bersiap sedia sebenarnya. Tarikh pun kita dah tahu, penamaan calon, hari mengundi...jadi persiapan akan diatur," katanya.

Kerusi DUN Sungai Limau, yang terletak dalam kawasan Parlimen Jerai, kosong susulan kematian penyandangnya, Tan Sri Azizan Abdul Razak bekas Menteri Besar Kedah pada 26 September lepas.

Sementara itu, Khalid dalam ucapannya pada majlis itu berkata, sumbangan yang diberikan POKB itu merupakan satu sokongan moral yang sangat tinggi, bukan sahaja kepada waris Sarjan Zal Azri, tetapi menjadi suntikan semangat kepada seluruh warga Polis Diraja Malaysia yang bertugas demi memelihara keamanan negara ini.

Presiden POKB, Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohamad berkata, jumlah sumbangan itu dikumpul hanya selama tiga jam daripada kira-kira 2,000 anggotanya di seluruh Lembah Klang sebagai menghargai pengorbanan pasukan keselamatan selain prihatin dengan hal kebajikan mereka. - BERNAMA

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana