Kalimah Allah: Strategi pembangkang tarik sokongan bukan Islam

Seperti dijangka, pembangkang terus menerus menggunakan sentimen agama untuk menarik sokongan bukan Islam terutamanya bumiputera Sabah, Serawak kepada mereka.

Keputusan Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung penggunaan kalimah Allah dalam majalah Kristian The Herald dijadikan senjata utama mereka.

Pada Khamis, pemimpin utama Pakatan Rakyat sepakat bahawa bukan Islam boleh menggunakan kalimah allah.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengatakan pihaknya kekal dengan pendirian bukan Islam boleh menggunakan kalimah "Allah" seperti yang diputuskan Majlis Pimpinan PR pada Januari lalu.

Anwar menegaskan pendirian PR konsisten dalam isu kalimah "Allah", selagi ia tidak disalahgunakan oleh penganut agama lain.

"Pakatan Rakyat kekal konsisten dengan pendirian kami dahulu,"ujarnya.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustapha Ali dan penasihat DAP, Lim Kit Siang yang turut hadir dalam sidang media sama juga senada dengan pendirian tersebut.

Mereka langsung tidak menghormati keputusan Mahkamah Rayuan bahkan ada beberapa peguam yang pro pembangkang dengan jelas membuat kenyataan mempertikaikan keputusan badan kehakiman tersebut.

Hakim Datuk Mohamed Apandi Ali dalam penghakimannya menyatakan penyelidikan yang dilakukan terhadap penggunaan bahasa dalam kitab penganut Kristian menunjukkan kalimah Allah (yang merujuk kepada Tuhan) tidak pernah muncul walau sekalipun dalam naskhah berbahasa Ibrani.

Penyelidikannya mendapati kalimah itu tidak pernah digunakan walau sekali dalam kitab Taurat dan Zabur atau Injil, malah tiada terkandung dalam Bible berbahasa Greek. Dalam Bible, Tuhan dikenali sebagai Yahweh atau Yah.

Allah bukannya suatu kalimah atau istilah yang boleh digunakan sesuka hati dalam mana-mana sistem kepercayaan. Ia memberi konotasi makna dan hakikat.

Makna dan hakikat Tuhan dalam Kristian membawa konotasi Trinity - Bapa Tuhan, Anak Tuhan dan Ruhhul Kuddus sedangkan makna dan hakikat Tuhan dalam Islam ialah Allah Yang Esa (tauhidik).

Menggunakan kalimah Allah dalam konteks Islam tidak sama dengan Allah dalam Trinity dan dari sudut makna dan hakikat ia bercanggah.

Sebab itulah KDN membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 2009 yang membenarkan The Herald menggunakan kalimah 'Allah' dalam versi bahasa Malaysia penerbitan itu.

Bagi Menteri KDN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ianya demi menjaga keharmonian rakyat pelbagai kaum dan agama di negara ini.

Beliau menjelaskan sebagai pihak yang terbabit dalam proses rayuan itu, kementerian tidak melihat kepada aspek undang-undang semata-mata sebaliknya memberi penekanan kepada sensitiviti umat Islam di Malaysia.

Sehubungan itu, katanya, semua pihak perlu menghormati keputusan Mahkamah Rayuan yang melarang penerbitan mingguan Katolik, The Herald, menggunakan kalimah Allah untuk merujuk kepada Tuhan.

"Kita harus menghormati antara satu sama lain dalam soal pegangan agama," ujarnya.

Ahmad Zahid juga berharap keputusan Mahkamah Rayuan itu tidak mewujudkan perpecahan antara umat Islam dan masyarakat bukan Islam.

"Jika ada ketidakpuasan hati di pihak berkenaan untuk bawa ke Mahkamah Persekutuan, itu adalah hak mereka. Bagi saya itu adalah proses undang-undang tetapi daripada segi keselamatan, kita tak mahu ada perpecahan antara orang Islam dan bukan Islam," katanya.

Sebab itu, harus diakui keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Rayuan itu adalah tepat dan benar. Dikatakan tepat kerana ia menjaga maslahah hubungan antara agama dan benar kerana hasil kajian mahkamah mendapati kalimah Allah tidak pernah digunakan dalam kitab-kitab Kristian pada masa yang lalu.

Umat Islam yang celik, memahami benar strategi gerakan evangelis Kristian terhadap umat Islam. Sejak berabad-abad dulu kalimah itu tidak pernah digunakan, mengapa kini tiba-tiba timbul ghairah untuk menggunakannya. Pepatah Melayu menyebutkan, "Kalau tidak berada-ada masakan tempua bersarang rendah".

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana