Surcaj pemuliharaan air Pulau Pinang naik sekali ganda

GEORGETOWN: Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) akan menaikkan surcaj pemuliharaan air (WCS) daripada 24 sen kepada 48 sen setiap 1,000 liter bagi penggunaan melebihi 35,000 liter sebulan berkuatkuasa 1 September ini.
             
Pengurus Besarnya Jaseni Maidinsa berkata kenaikan WSC itu bertujuan menggalakkan penggunaan air yang lebih bijak memandangkan orang ramai terus menggunakan air secara berlebihan.
             
"Oleh kerana bekalan air domestik disubsidi di negeri ini dan perkhidmatan bekalan air adalah baik, orang ramai terus menggunakan air secara berlebihan, bagaimanapun Pulau Pinang sebuah negeri yang kekurangan air dan kita perlu fikirkan masa hadapan.
             
"Kedah juga telah memberi amaran untuk mengenakan bayaran air mentah dan kerajaan persekutuan belum memulakan kerja Projek Bekalan Air (Mentah) Sungai Perak, oleh itu kita perlu memulihara air dari sekarang untuk memastikan kita mempunyai bekalan mencukupi menjelang 2020," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
             
Beliau berkata, PBAPP sudah tidak mampu memberi subsidi sebanyak RM65.4 juta setahun untuk bekalan air kepada pengguna domestik yang telah mencapai tahap tertinggi per kapita iaitu 302 l/k/h sehingga 30 Jun 2013 berbanding hanya 294 l/k/h pada 2012.

Katanya berdasarkan Malaysia Water Industry Guide 2012, purata penggunaan kebangsaan di Malaysia adalah 210 l/k/h.
             
Jaseni berkata unjuran perbelanjaan modal bagi projek bekalan air penting di Pulau Pinang tahun ini adalah sebanyak RM99.9 juta.
             
Menurut beliau, peningkatan WCS tidak memberi kesan kepada 72 peratus pengguna air domestik kerana penggunaan mereka kurang daripada 35,000 liter sebulan.
             
"Majoriti pengguna air di Pulau Pinang tidak akan dikenakan WCS jika bil air setiap bulan adalah kurang daripada RM21.40, WCS hanya memberi kesan kepada pengguna domestik yang menggunakan air secara berlebihan.
             
"Oleh itu kita memerlukan kerjasama dan membabitkan setiap orang untuk menjimatkan air di rumah, kita mahu rakyat negeri ini sedar bahawa air adalah sumber ternilai dan perlu digunakan dengan lebih bijak, objektif utama adalah untuk memulihara air," katanya.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana