Tiga asas kemenangan BN di Kuala Besut

Menepati ramalan awal pemerhati politik sebelum ini Barisan Nasional (BN) ternyata tidak menghadapi banyak masalah untuk mempertahankan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut pada pilihan raya kecil (PRK), Rabu.

Kemenangan dengan majoriti 2,592 undi jelas menggambarkan Kuala Besut dalam Parlimen Besut masih lagi kubu kuat BN sebagaimana pencapaian cemerlang yang dicatatkan BN sejak 2004 dalam mempertahankan DUN Kuala Besut.

Kempen 12 hari sejak 12 Julai lalu yang berlangsung pada bulan Ramadan tidak sedikitpun melemahkan jentera pilihan raya BN, bukan sahaja dari Terengganu malah juga seluruh negara.

Bernama melaporkan penganalisis politik dari Pusat Pembangunan Sosial Ekonomi Universiti Malaysia Terengganu, Prof Dr Ibrahim Mamat berkata kemenangan BN memang sudah dijangka awal-awal lagi iaitu sejak BN mengumumkan secara rasmi nama calonnya pada 9 Julai lalu -- seorang jurutera muda Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman, 37, untuk menggalas tanggungjawab itu.

Katanya, walaupun sebagai calon muda dan tidak mempunyai banyak sumbangan kepada parti sebelum ini, namun ia tidak menghalang Tengku Zaihan meraih sokongan pengundi di Kuala Besut sama ada pengundi golongan tua, pertengahan mahupun muda.

"Dia calon muda, mungkin jasanya belum banyak kepada parti, namun Tengku Zaihan dilihat sebagai pemimpin pelapis kepada BN di Terengganu pada masa hadapan," katanya yang berada di Kuala Besut untuk melihat dengan lebih dekat kempen PRK Kuala Besut kali ini.

Turut menyumbang kepada kemenangan BN adalah kekuatan jentera BN yang diakui lebih kemas dan teratur selain bantuan kempen daripada pemimpin-pemimpin BN peringkat pusat.

Katanya, pada PRK ini, yang diketuai Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengarah PRK Kuala Besut, BN berjaya menggunakan strategi mendekati pengundi secara peribadi sesuai dengan suasana kempen pada bulan Ramadan.

"BN berjaya dengan strategi mendekatkan BN di hati pengundi dan tidak dinafikan sentuhan BN pada kempen bulan Ramadan ini lebih berkesan," katanya.

Pada PRK Kuala Besut kali ini BN menggunakan slogan 'Kuala Besut Bertambah Biru' yang diketuai Muhyiddin dan Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh selaku timbalan pengarah PRK untuk kempen selama 12 hari.

Ibrahim berkata BN jelas lebih memahami keperluan penduduk di Kuala Besut berbanding PAS apabila menggunakan PRK ini untuk mengumumkan beberapa projek pembangunan yang selari dengan kehendak semasa penduduk Kuala Besut.

Katanya, projek mendalamkan muara Sungai Besut dan pembinaan benteng pemecah ombak bernilai RM250 juta serta rancangan menjadikan Kuala Besut sebagai Gerbang Pelancongan Antarabangsa berjaya menarik perhatian pengundi bukan sahaja daripada kalangan nelayan malah juga pengundi muda yang dahagakan peluang pekerjaan.

"Janji BN kali ini memang besar dan politik pembangunan memang masih lagi sesuai dengan Kuala Besut yang memerlukan kemajuan khasnya dari segi ekonomi," katanya.

Sementara itu, katanya, PAS dengan moto '16-16 Terengganu Baru' yang diketuai Pengarah Jawatankuasa Induk Pilihan Raya Kecil (PRK) Datuk Husam Musa gagal meyakinkan pengundi di Kuala Besut untuk memberi sokongan kepada parti itu.

Katanya, walaupun PAS juga menggunakan cara mendekati pengundi namun pada beberapa ceramah perdananya PAS langsung tidak menjelaskan apa rancangan mereka untuk Kuala Besut dan Terengganu.

"PAS lebih banyak mengupas isu-isu seperti isu tanah, royalti dan pimpinan kerajaan BN di Terengganu dan tidakpun membuat sebarang janji atau rancangan pembangunan," katanya.

Ibrahim menjelaskan faktor Idris turut memain peranan yang besar kepada kemenangan BN di Kuala Besut.

Katanya, tidak dapat dinafikan orang di Kuala Besut yang banyak terhutang budi kepada BN memang masih lagi sayangkan "Tok Yeh" (Idris Jusoh) dan ia turut menyumbang kepada kemenangan BN di kesemua lapan Pusat Daerah Mengundi (PDM).

Dengan kemenangan Tengku Zaihan semalam BN mengukuhkan kembali kedudukannya di Terengganu dengan majoriti mudah 17-15 sebagaimana yang dimenangi pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) 5 Mei lalu sekaligus menafikan hasrat PAS untuk mencipta sejarah kedudukan 16-16 kerusi DUN di negeri ini.

Kerusi DUN Kuala Besut kosong apabila penyandangnya Dr A. Rahman Mokhtar, 55, meninggal dunia 26 Jun lepas akibat kanser paru-paru.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) 5 Mei lepas, Dr A.Rahman mempertahankan kerusi yang disandangnya sejak 2008 apabila mengalahkan calon muslimah PAS Napisah Ismail dengan majoriti 2,434 undi.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana