Mahu tahu jumlah polis Cawangan Khas, MP DAP kena bidas

SHAH ALAM: Bekas Peguam Negara Tan Sri Abu Talib Othman menyokong tindakan kerajaan yang tidak mendedahkan isu keselamatan negara walaupun maklumat berkenaan dipohon semasa sidang Dewan rakyat.

Katanya, kerajaan merahsiakan perkara yang berhubung dengan teknik dan cara mempertahanankan keamanan adalah untuk memastikan keselamatan negara tidak digugat oleh mana-mana pihak yang berkepentingan.

"Apa-apa perkara yang melibatkan keselamatan negara itu tidak wajar disebarkan kepada umum, kalau tidak semua tindakan pertahanan akan dapat dikesan pihak tertentu.

"Tujuan utama adalah untuk keselamatan negara, itu sebab soalan di Parlimen yang ada kaitan dengan keselamatan tidak dibenarkan.

"Bukan sahaja di Malaysia di lain-lain negara juga melakukan perkara yang sama tidak menghebahkan apa jugak aspek yang melibatkan pertahanan untuk kepentingan keselamatan," katanya ketika dihubungi Antarapos hari ini.

Jawapan timbalan menteri tepat

Semalam, Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching membidas Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wan Junaidi Wan kerana enggan mendedahkan jumlah anggota polis Cawangan Khas yang berkhidmat di dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Teo mengadakan sidang media mengkritik kerajaan kerana tidak berpuas hati kerana soalannya yang ingin mengetahui jumlah polis Cawangan Khas tidak dijawab.

Mengulas lanjut, Abdul Talib yang juga adalah bekas Pengerusi Suhakam berkata, jawapan yang diberikan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri itu, tepat dan wajar.

Beliau dalam pada masa turut menempelak wakil rakyat DAP-Kulai, Teo yang seolah-olah tidak tahu peraturan perbahasan dalam Parlimen kerana mengajukan soalan berkaitan dengan rahsia keselamatan negara.

"Memang ada dalam peraturan di Parlimen dikatakan perkara-perkara yang ada kaitan keselamatan negara tidak dibenarkan ditanya. Itu peraturan standard," katanya.

Sementara itu penganalisis politik, Profesor Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata fakta yang berkaitan dengan Jabatan Cawangan Khas di bawah PDRM adalah sensitif dan sepatutnya menjadi rahsia negara.

Fakta perkara sensitif

Katanya, ini penting bagi mengelakkan identiti anggota yang berkhidmat di bawah jabatan itu terdedah sekaligus berisiko mengancam keselamatan mereka.

"Fakta yang berkaitan keanggotaan dalam cawangan khas itu saya kira perkara yang agak sensitif, jadi maklumat sebegini tidak perlulah didedahkan kepada umum.

"Kita dapati maklumat sebegini jika disebarkan mampu untuk mengancam keselamatan negara, kerana kita tahu cawangan khas adalah satu unit dalam PDRM.

"Yang dipertanggungjawabkan untuk menjalankan kes-kes ataupun menjalankan siasatan berkaitan isu keselamatan dalam negara, seperti ancaman pengganas yang boleh mengganggu gugat keselamatan negara.

"Jika identiti mereka didedahkan ini akan membahayakan mereka dan memberi kesan kepada keselamatan negara," katanya.

Berjumpa sendiri

Unit Cawangan Khas adalah sayap perisikan yang dipertanggungjawabkan untuk mengumpul risikan bagi keselamatan negara.

Sehubungan itu kata pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) itu lagi, wakil-wakil rakyat secara umumnya perlu arif dan maklum tentang isu keselamatan negara yang perlu dirahsiakan.

Tambahnya, jika wakil-wakil rakyat di kalangan pembangkang ingin mengetahui jumlah keanggotaan Cawangan Khas, tindakan yang harus dibuat adalah berjumpa sendiri dengan menteri yang berkenaan. Tindakan itu mampu mengelakkan butiran pertahanan negara daripada terdedah.

"Ini satu perkara yang sepatutnya diterima oleh wakil-wakil rakyat bukan sahaja pihak kerajaan namun pembangkang kerana ini perkara yang normal bukan sahaja dalam negara bahkan luar negara," katanya.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana