Himpunan: Jangan heret rakyat kancah politik murah

SHAH ALAM - Pemimpin pembangkang dinasihatkan supaya tidak lagi mengheret rakyat dalam kancah politik murahan mereka berikutan tidak berpuas hati dengan keputusan pilihan raya dengan mengadakan siri himpunan tanpa arah tujuan.

Timbalan Pengerusi Tetap Umno, Datuk Mohamed Aziz berkata, sekalipun pembangkang tidak berpuas hati, namun tindakan mereka memboikot Parlimen hanya memburukkan lagi keadaan.

“Hentikan politik murahan, rakyat jelek. Mereka sudah tahu siapa sebenarnya pembangkang. Kalau pun tidak berpuas hati, jangan pergunakan mereka, rakyat sudah letih,” katanya kepada Sinar Harian.

Himpunan Blackout 505 anjuran pembangkang yang menjelajah ke seluruh negara bermula tiga hari selepas pilihan raya pada 5 Mei lalu menjadi acara jelajah ke setiap negeri bagi menyatakan bantahan mereka terhadap keputusan pilihan raya.

Rentetan himpunan itu, akhirnya timbul pula rancangan pembangkang untuk memboikot sidang Parlimen bermula dengan ketidakhadiran semasa sesi taklimat Parlimen pada 11 Jun lalu sebelum dinafikan oleh Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali.

Katanya, jika pembangkang menafikan tindakan untuk memboikot Parlimen, bermakna mereka harus menerima keputusan pilihan raya dan menghentikan himpunan tersebut.

“Kalau sudah tidak jadi boikot angkat sumpah dan mahu boikot Parlimen, bermakna tidak perlu lagi mengadakan himpunan.“Saya rasa mereka (pembangkang) hilang akal apabila masih terus menerus mengadakan himpunan, entah apa faedahnya,” katanya.Sehubungan itu katanya, beliau menyarankan kepada rakyat supaya tidak diperalatkan pembangkang dengan menyertai himpunan tersebut.

“Rakyat perlu berfikir tujuan dan agenda pembangkang. Jangan jadi alat, gunakan akal,” katanya.
Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, jika Ahli Parlimen pembangkang memboikot majlis angkat sumpah jawatan pada 24 Jun ini, perbuatan itu hanya merugikan mereka.

“Mereka mesti ingat kalau dalam tempoh enam bulan tak angkat sumpah ada peraturan yang boleh isytiharkan kerusi itu kosong dan pilihan raya kecil akan dilakukan.  Kalau dia masuk dewan, bentara akan halau,” katanya.

Mengenai peningkatan jumlah petisyen PRU13 yang difailkan berbanding pada pilihan raya umum terdahulu, beliau berkata, perkara itu bukti kesuburan sistem demokrasi di negara ini.

“Itu saluran yang betul bukan di atas jalan dengan berdemonstrasi, rakyat pun tak minat,” katanya yang juga Timbalan Ketua Whip BN.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana