Alamak....Boikot bayar bil air tiga bulan

KUALA KRAI - Boikot bayar bil air antara tindakan bakal diambil sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berpusat di Kampung Rahmat, dekat sini, jika pihak terbabit gagal menyelesaikan masalah gangguan bekalan air bersih di daerah ini.

Tindakan itu diumumkan pada himpunan aman bagi penyerahan memorandum isu air dan pelancaran kempen ‘A untuk Air’ di hadapan pejabat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) cawangan daerah ini, di sini, semalam.

Himpunan ‘Bakpo Air Takdok Sokmo’ anjuran Persatuan Belia Taat Ikhlas Generasi Erat (PBTiger) dihadiri sekitar 100 orang dalam kalangan anggota NGO itu dan penduduk terlibat masalah air.

Program bermula jam 10 pagi sebelum peserta bersurai kira-kira sejam kemudian itu diakhiri dengan penyerahan memorandum isu air kepada Pengurus AKSB, Nik Mohd Izani Fadzir.

Boikot jika gagal tunai dua tuntutan

Timbalan Presiden PBTiger, Mohd Jahiman Hassan berkata, tindakan boikot akan dilancarkan sekiranya AKSB gagal menunaikan dua daripada tiga tuntutan dalam kempen A untuk Air.

Bagi tuntutan pertama katanya, AKSB dituntut mengatasi masalah gangguan air sehingga benar-benar selesai dan keduanya, memastikan air terawat dibekalkan menepati piawaian termasuk dari segi bersih dan jernih.

“Jika AKSB gagal menyelesaikan dua tuntutan ini sehingga akhir Julai depan, kita akan jalankan kempen boikot bayar bil air untuk tempoh tiga bulan iaitu Ogos, September dan Oktober.

“Sebagai rakyat dan pengguna, kita sudah merasa kesan daripada masalah gangguan air dan dengan cara boikot bayar bil selama tiga bulan ini, kita nak tengok kesannya pula kepada AKSB,” katanya.

Bagi tuntutan ketiga katanya, PBTiger meminta AKSB memberikan air percuma bagi 20 meter padu pertama kepada rakyat seperti dilakukan kerajaan Selangor atas dasar kedua-dua negeri itu di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat (PR).

Minta campur tangan istana, kerajaan negeri

Mohd Jahiman berkata, menerusi kempen A untuk Air, PBTiger juga akan menghantar memorandum kepada Istana Kelantan sekiranya masalah gangguan bekalan air bersih masih berterusan.

“Kita pilih hari ini (semalam) untuk lancar kempen A pun sebagai simbolik sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong kerana jika masalah air ini tidak dapat diselesaikan AKSB dan kerajaan negeri, kita akan minta campur tangan sultan,” katanya.

Menurutnya, kepimpinan kerajaan negeri patut lebih bertanggungjawab menyelesaikan masalah itu sebagai balasan balik kepada rakyat yang memilih mereka pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13) lalu.

“Hidup rakyat amat susah disebabkan masalah gangguan air yang kerap berlaku dan berlarutan sudah lama, malah makin teruk selepas PRU 13, jadi inilah masanya untuk kerajaan negeri pula bantu rakyat,” katanya.

Kecewa wakil rakyat tak hadir

Dalam pada itu, Mohd Jahiman melahirkan rasa dukacita apabila tiada seorang pun wakil rakyat yang turut dijemput hadir ke himpunan itu datang atau sekurang-kurangnya menghantar wakil.

Katanya, tujuan himpunan itu diadakan pun antara lain bagi membuka mata kepimpinan kerajaan negeri yang disifatkan ‘tidur’ kerana tidak nampak masalah rakyat di kampung.

“Kita panggil (jemput) dua wakil rakyat hadir tetapi seorang pun tak datang, seolah-olah mereka lepas tangan sedangkan air ini keperluan asas rakyat, bukan isu politik.

“Kita juga nak tahu mungkin ada masalah dalaman kerana dua hari menjelang pelancaran kempen hari ini, bekalan air kembali pulih dan masalah sejak sekian lama dapat pula diselesaikan dalam masa singkat,” katanya.

AKSB tingkatkan pengeluaran loji air

Sementara itu, Nik Mohd Izani berkata, masalah gangguan air di beberapa kawasan di daerah ini selesai beberapa hari lalu apabila AKSB berjaya meningkatkan kapasiti pengeluaran loji rawatan airnya dengan penggunaan pam air baru.

“Kapasiti pengeluaran loji sudah ditingkatkan dan bekalan air di beberapa kawasan sudah kembali normal cuma sekarang kita usaha nak hantar bekalan air ke kawasan bermasalah lain,” katanya.

Menurutnya, kemampuan meningkatkan kapasiti loji itu bukan secara kebetulan tetapi hasil perancangan berterusan AKSB untuk memperbaiki mutu perkhidmatannya kepada rakyat.

“Usaha menyelesaikan masalah ini bukan makan masa sehari dua tetapi dirancang sejak dari tahun lepas dan dari segi usaha menambah bekalan air, kita jangka satu hingga dua tahun lagi akan selesai,” katanya.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana