Khairy Nekad Ubah Persepsi Belia Terhadap Kerajaan


KUALA LUMPUR 26 Mei - Menteri Belia dan Sukan,  Khairy Jamaluddin menyifatkan jawatan yang disandangnya sebagai amanah yang mempunyai cabaran besar dalam mendekati golongan muda dan membentuk persepsi positif mereka terhadap kerajaan.
 
"Ini satu amanah cukup besar dan kali ini portfolio ini saya lihat amat berat sekali terutama untuk mendekati generasi muda dan membentuk persepsi yang lebih positif terhadap kerajaan serta membawa suara generasi muda ke dalam kerajaan," katanya kepada pemberita.
 
Beliau ditemui selepas Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia oleh Menteri dan Timbalan Menteri Persekutuan di Istana Negara di sini pagi tadi, lapor Bernama.Mengenai pembaharuan yang mahu dibuat dalam kementeriannya, Khairy Jamaluddin berkata ia masih terlalu awal untuk bercakap mengenainya.
 
Bagaimanapun berdasarkan tugasnya yang dibahagikan kepada hal ehwal belia dan sukan, beliau berkata beliau akan memfokus kepada usaha membentuk generasi muda yang cintakan negara dan mencuba sebaik mungkin untuk mengangkat martabat sukan bola sepak negara ke peringkat dunia.
   
"Semalam dalam media sosial, semua meminta pasukan Harimau Malaya supaya layak ke Piala Dunia. Saya tidak tahu nak buat macam mana dalam tempoh masa yang singkat. Walaupun harapan mereka tinggi, saya anggap ini satu cabaran untuk saya menggalas tugas dan harapan ini," katanya.
 
Beliau berkata beliau akan membawa pendekatan tersendiri mengikut perspektif dirinya sendiri sebagai golongan muda bagi melaksanakan perubahan terhadap program Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
 
"Saya tidak tahu dari segi perbezaan untuk masa sekarang tetapi mungkin saya datang daripada generasi yang berbeza daripada menteri-menteri sebelum ini. Mungkin perspektif saya berbeza sikit, jadi saya melihat melalui perspektif ini yang lebih muda mungkin saya dapat bawa sedikit perubahan kepada program-program dalam KBS," katanya.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana