Kaji semula kelemahan Umno-BN, kata Mahathir


KUALA LUMPUR: Umno-Barisan Nasional (BN) perlu komited mengkaji semula aspek yang menjadi punca yang melemahkan parti itu, tegas mantan Perdana Menteri,Tun Mahathir Mohamad

Katanya, semua ahli dalam Umno-BN perlu muhasabah diri sendiri agar dapat menilai aspek-aspek kelemahan dalam parti yang menjadi punca sokongan kaum tertentu berubah.
"Kita semua kena muhasabah tanya diri sendiri pasal apa kita tidak sekuat dahulu, mengapa kita tidak dapat sokongan daripada pihak-pihak tertentu.

"Terutama perpecahan di kalangan Melayu mengapa ia boleh berlaku, semua ini kita kena kaji," katanya kepada wartawan setelah ditemui selepas majlis sambutan Ulang Tahun Umno ke-67 di PWTC malam tadi.

Tun Mahathir selain itu menambah,  sokongan rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum perlu lebih diperkukuhkan semula supaya  Umno-BN dapat terus menyambung legasi pemerintahan dalam negara untuk kebaikan masa depan rakyat.

"Kita kena tahu apa masalahnya,mengapa bertindak demikian,  kalau kita tahu sebabnya mungkin kita dapat cara mengembalikan keadaan seperti dulu,"jelasnya.
Pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) akan turut menghadiri majlis sambutan itu.

Umno kekal tonggak BN apabila menjadi penyumbang terbesar kerusi Parlimen kepada parti gabungan itu pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13). Walau bagaimanapun parti komponennya MCA dilihat mendapat keputusan yang kurang memberangsangkan.

Umno menyumbang 88 daripada 133 kerusi yang dimenangi BN. Umno bertanding 120 kerusi pada pilihan raya umum ini yang mana angka tersebut menunjukkan peningkatan bagi Umno berbanding PRU12 apabila parti tersebut memenangi 79 kerusi Parlimen daripada 117 yang ditandingi.

Sependapat dengan ayahnya, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah Datuk Mukhriz Mahathir berkata, Umno-BN perlu terus berusaha agar terus menjadi parti yang cemerlang dan kekal sebagai parti yang relevan kepada rakyat.

Beliau yang juga kini menyandang jawatan sebagai Menteri Besar Kedah menjelaskan bahawa kaedah pendekatan kepada rakyat perlu terus dinilai dan ditambahbaik tanpa mementingkan keputusan pada pilihan raya baru-baru ini cemerlang atau sebaliknya.

"Yang penting bagi kita adalah mencari hikmah di sebalik mesej perdana menteri kemudian memperbaharui pendekatan kita sambil mengukuhkan perjuangan kita.

"Kita kena memahami sedalam-dalam mungkin apa yang tersurat dan tersirat daripada keputusan pilihan raya ini. Gerak kerja kita juga perlu dipinda mengikut kesesuaian supaya rakyat terus menyokong kita," ujar beliau.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana