"Anwar patut bertanding jawatan Presiden"


SHAH ALAM: Pengasas PKR, Ng Lum Yong menggesa supaya Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding jawatan Presiden pada pemilihan parti itu nanti.

Menurut beliau, kredibiliti Anwar lebih utuh sekiranya beliau memegang jawatan sah dalam parti. Justeru mampu menyelesaikan konflik dalaman PKR memandangkan kini wujud beberapa puak dalam parti itu yang mahu berkuasa.

Bahkan kata Ng, jawatan Ketua Umum yang disandang Anwar kini bertentangan dengan perlembagaan parti dan Pendaftar Pertubuhan (ROS) boleh bertindak tegas mengenai perkara itu.

"Ketua Umum tidak ada dalam perlembagaan (parti). Kenapa mesti wujud jawatan Ketua Umum (sedangkan) Presiden dah cukup? Oleh itu saya syorkan Anwar Ibrahim bertanding Presiden, jangan takut nak bertanding," katanya.

"Saya tak faham ROS hanya diamkan dan tidak ambil tindakan. Ia tak ada dalam struktur perlembagaan," kata beliau kepada Antarapos.

Melihat kepada konflik dalaman parti yang semakin meruncing melibatkan pimpinan atasan PKR, gesaan untuk parti itu melakukan pemilihan parti lebih awal dilihat sebagai satu keperluan.

Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail dalam sidang media hari ini berkata parti itu mempertimbangkan untuk menangguh pemilihan parti yang sepatutnya diadakan sebelum November tahun ini.

Katanya parti mempunyai pilihan untuk menangguhkan pemilihan sejajar dengan peruntukan dalam perlembagaan. Beliau berkata parti akan terlebih dahulu memberi respon terhadap keperluan.

Sehubungan dengan itu Ng berkata, pemilihan parti kali ini adalah platform yang sesuai untuk Anwar dan PKR menterjemahkan ketelusan pemilihan yang dicanang pembangkang sehingga mengadakan sesi perhimpunan bantahan seluruh negara.

"Kenapa nak menangguh pemilihan parti? Oleh itu mesti ada sebab. Kerana saya nampak lepas PRU13 banyak percanggahan berlaku, dari segi calon, strategi PKR dan tidak terima keputusan PRU13.

"Oleh itu sekarang Anwar sebut PRU13 ini tak telus, oleh itu dia mesti buktikan parti dia dan pemilihan parti dia tak ada masalah, dan beri contoh yang mampu jalankan kerja yang lebih baik dari Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)," ujar beliau lagi.

Pada pemilihan parti yang dijalankan tahun 2010 yang lalu, ia dicemari kekecohan dan insiden tumbuk menumbuk, baling kerusi dan kertas undi dibuang di atas jalan raya apabila perwakilan tidak berpuas hati dengan cara pemilihan tersebut dijalankan.

Setakat ini pembangkang telah menganjurkan perhimpunan di Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Johor, dan Perak bagi menyemai keraguan terhadap kredibiliti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengendalikan pilihan raya umum, 5 Mei lalu.

Pakatan Rakyat (PKR-PAS-DAP) hanya menang 89 kerusi berbanding 133 kerusi Parlimen yang diperolehi BN.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana