Tiada insiden buruk selepas pengumuman calon PRU13 di Kelantan


KOTA BHARU: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata tiada insiden buruk berlaku selepas pengumuman senarai calon BN yang akan bertanding kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kelantan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) ini.

Beliau berkata, sejak senarai nama calon itu diumumkannya pada jam 12.30 tengah hari semalam, sehingga kini suasana cukup tenang kerana anggota dan pemimpin UMNO serta parti komponen BN lain di negeri ini, menunjukkan kesetiaan tinggi terhadap parti.
"Setakat ini saya bersyukur penerimaan anggota Umno walaupun ada segelintir yang tidak bersetuju tetapi mereka menyampaikan bantahan dengan penuh beradap dan tertib ... tetapi yang penting mereka setia kepada parti, mereka mahu kemenangan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Pendidikan Mara di perkarangan Stadium Sultan Muhammad ke IV di sini hari ini.

Semalam Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, mengisytiharkan BN akan meletakkan calon bertanding di semua 14 kerusi Parlimen dan 45 kerusi DUN, dengan menampilkan 25 calon muka baharu termasuk daripada tokoh profesional dan tokoh agama.

"Kita bincang soal calon ini sudah enam bulan, tempoh yang agak lama, kita ada banyak pertemuan dengan semua bahagian dari semasa ke semasa, berjumpa dengan individu tertentu termasuk mereka yang tidak dipilih sebagai calon, saya beritahu rezeki mereka tidak ada, mereka tahu lebih awal dan mereka setia kepada perjuangan parti," kata Mustapa.

Beliau berkata, sekiranya berlaku perbalahan yang menyebabkan keretakan dalam parti, ia akan menggagalkan usaha UMNO dan BN untuk memenangi pilihan raya umum ini dan seterusnya memerintah negeri ini.

Mengenai kemungkinan calon bebas akan bertanding di beberapa kerusi parlimen dan DUN di negeri ini, Mustapa berkata jentera pilihan raya BN akan bekerja bersungguh-sungguh untuk memenangkan calon BN dan dalam masa sama mereka tidak akan memperkecilkan cabaran parti pembangkang.
"Kita ada sasaran yang perlu kita capai untuk memerintah negeri ini, jentera BN akan bekerja habis-habisan bagi memenangi kesemua 14 kerusi parlimen dan 45 kerusi dewan undangan negeri," katanya.

Sementara itu, Mustapa berkata Karnival Pendidikan Mara tersebut banyak memberi manfaat kepada pelajar untuk mendapatkan peluang tajaan daripada agensi kerajaan tersebut bagi melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi. - BERNAMA

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana