Dr Mahathir dedah sebab sebenar PAS keluar BN tahun 1978


Tun Dr Mahathir Mohamad berkata tiada penipuan yang dilakukan oleh Umno berhubung dakwaan bahawa PAS telah ditipu oleh Umno semasa parti itu berada dalam Barisan Nasional (BN).
Bekas perdana menteri itu berkata Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dilaporkan telah menjelaskan kenapa PAS tidak boleh bersama Umno dalam usaha untuk menyatupadukan orang Melayu.

"Katanya PAS telah ditipu oleh Umno semasa PAS berada dalam BN. Bagaimana Umno menipu PAS tidak dijelaskan dengan terang," katanya dalam entri terbaharu dalam blog beliau di www.chedet.cc Rabu.

Katanya perpecahan dalam PAS bukan kerana Umno dan kekalahan parti itu pada pilihan raya negeri Kelantan pada Mac 1978 menyebabkan ia keluar daripada BN.

"Perpecahan dalam PAS bukan kerana Umno tetapi kerana Datuk Mohd Nasir (Menteri Besar Kelantan ketika itu) mencabar kepimpinan Datuk Asri Muda (Presiden PAS ketika itu). Kekalahan PAS menyebabkan PAS keluar dari BN. Tidak ada penipuan oleh Umno," katanya.

Dr Mahathir memberitahu bahawa beliau adalah menteri dalam kabinet Tun Hussein Onn ketika PAS keluar dari BN, begitu juga berada dalam kabinet Tun Abdul Razak Hussein bersama Datuk Asri Muda dan Hassan Adli (Timbalan Yang Dipertua Agung PAS ketika itu) semasa PAS menyertai BN.

"Datuk Asri diberi jawatan Menteri Tanah dan Galian. Ini bermakna beliau bertanggungjawab terhadap FELDA.

"Selepas beberapa bulan PAS menyertai BN, anggota Umno Johor mengadu kepada Tun Razak bahawa Datuk Asri giat mempromosikan PAS di kalangan peserta FELDA. Saya berada di sisi Tun pada ketika itu," katanya.

Katanya secara kebetulan hampir semua peserta FELDA terdiri daripada penyokong kuat Umno dan selepas Asri bertanggungjawab ke atas FELDA, hampir semua peserta FELDA menjadi penyokong kuat PAS dan menolak Umno.

"Pada waktu itu timbul sengketa antara Asri sebagai ketua PAS dengan Mohd Nasir yang sebagai Menteri Besar untuk menggantikan Asri. Mohd Nasir mendakwa beliau telah mengesan banyak penyelewengan yang dilakukan oleh Asri semasa menjadi Menteri Besar Kelantan," katanya.

Sementara itu dalam satu temubual dengan Bernama Dr Mahathir  berkata ada golongan muda terlalu taksub dan percaya bahawa hanya perubahan dalam pemerintahan negara akan dapat mengubah keadaan hidup mereka.

Bekas perdana menteri itu berkata golongan ini ingin melihat perubahan pentadbiran kerajaan semata-mata kerana percaya janji-janji pembangkang.

"Apa jua yang dikatakan oleh Barisan Nasional (BN) nampak tidak berkesan. Walaupun benar dan nyata tapi nampak tidak berkesan kerana mereka taksub dengan kepercayaan bahawa hanya perubahan pemerintahan akan membawa kepada perubahan dalam kehidupan mereka, sebab itu keadaan sekarang berbeza dengan suatu masa dulu," kata beliau dalam temu bual dengan Bernama di pejabat beliau di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini.

Katanya ketika Malaysia tidak banyak pembangunan dan masih dianggap negara membangun, setiap perubahan akan dihargai, berbeza dengan orang muda sekarang yang lahir semasa negara sudah mencapai banyak kemajuan yang ketara.

Menurutnya generasi sekarang tidak mengalami keadaan negara miskin, terhad dalam peluang pekerjaan, peluang pelajaran, peluang menjadi ahli profesional dan sebagainya; menjadikan mereka tidak begitu menghargai kemajuan semasa.

"Bila kita anggap sesuatu itu sebagai perkara biasa, kita tidak begitu menghargainya. Kita menghargainya bila kita mendapat sesuatu yang tidak kita pernah dapat, tapi mereka dilahirkan di zaman negara sudah capai banyak kemajuan dan bagi merek, ini memang keadaan biasa, dengan itu mereka tidak menghargainya," katanya.

Dr Mahathir berkata golongan sekarang juga dilihat terlalu terdedah dengan pengaruh barat, umpamanya berhubung prinsip kebebasan, mengakibatkan mereka berpendapat keadaan sekarang masih belum cukup bebas, masih lagi tersekat dalam banyak perkara.

Beliau mengakui memang banyak yang perlu dilakukan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memenangi hati golongan muda dalam tempoh masa yang semakin suntuk, ketika bahang pilihan raya sudah terlalu hampir.

(Berdasarkan statistik suku ketiga Daftar Pemilih 2012 Suruhanjaya Pilihanraya, sejumlah 13.1 juta pemilih berdaftar layak mengundi pada pilihan raya umum ke-13, dan daripada jumlah itu 18.07 peratus atau 2.37 juta pengundi terdiri daripada kumpulan umur antara 21 dan 29 tahun manakala 22.8 peratus atau hampir tiga juta terdiri daripada kumpulan umur antara 30 dan 39 tahun).

Dr Mahthir berkata sejak pilihan raya umum lepas, kepimpinan Najib dilihat berusaha gigih untuk meraih kembali kepercayaan pengundi, dan sedikit sebanyak beliau kelihatan berjaya.

Katanya Najib sudah tidak punyai banyak masa, semasa beliau bertungkus lumus bekerja keras untuk mendekati rakyat seramai mungkin, beliau juga berhadapan dengan pelbagai tuntutan daripada banyak pihak.

"Masa saya (masih perdana menteri) dulu orang tidak tahu bila ada election (pilihan raya), jadi dengan itu, sebelum mereka buat tuntutan itu ini, kita sudah adakan election (pilihan raya). Tapi bila kita tunggu sampai saat terakhir yang mana kita terpaksa bubar Parlimen, tidak ada unsur kejutan lagi, semakin hampir pilihan raya, semakin banyak tuntutan diterima," katanya.

Mengenai konsep 1Malaysia, Dr Mahathir berkata ia sememangnya baik dan ia memerlukan sambutan daripada semua kaum.

Katanya kesejahteraan dan keharmonian negara selama ini ialah hasil persetujuan antara kaum untuk berkongsi kuasa, sekaligus menjauhkan keadaan huru-hara.

"...dengan itu negara dapat dimajukan, kalau hari ini masing-masing kaum hendakkan semua yang mereka tuntut, ini akan sebabkan ada kaum yang tidak puas hati, maka kestabilan negara tergugat.

"(Dan) kemajuan tidak tercapai, ekonomi tidak akan tumbuh dan kita semua tidak akan dapat nikmat pembangunan. Ini patut semua kaum faham," katanya.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana