PAS digesa timbang kerjasama dengan Umno


KUALA LUMPUR: Ahli-ahli PAS di peringkat akar umbi menggesa kepimpinan parti yang berteraskan Islam itu supaya memikirkan dengan lebih serius ruang untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak termasuk Umno di dalam memartabatkan Islam.Selain itu, mereka turut menggesa kepimpinan parti supaya mengkaji semula kerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP di dalam Pakatan Rakyat (Pakatan) memandangkan kedua-dua parti ini didakwa telah memesongkan perjuangan asal PAS sekaligus menentang hudud.Perkara tersebut dimanifestasikan sebagai salah satu daripada 11 Resolusi yang diputuskan secara sebulat suara oleh ahli-ahli PAS yang hadir pada wacana ‘Mengembalikan PAS ke Landasan Asal’, hari ini.
Salah seorang penganjur, Norman Toha, menjelaskan penganjuran wacana tersebut bertujuan untuk mendapatkan input daripada ahli-ahli PAS di peringkat akar umbi yang tidak berpeluang untuk menyatakan pandangan mereka terhadap perkembangan yang berlaku di dalam parti.“Tujuan dia (wacana) tidak lain tidak bukan untuk kita mendapatkan input daripada ‘grassroot’ (akar umbi) tentang sedikit kecelaruan yang berlaku di kalangan ahli di peringkat bawahan ini. Mereka mengadu kepada kita, mereka tidak mendapat ruang untuk memberikan pandangan-pandangan tentang pemerhatian mereka terhadap apa yang berlaku hari ini.“Kita sudah mendapat pembentangan pandangan daripada ahli panel yang kita kemukakan..begitu juga pandangan-pandangan daripada yang hadir dan kita sudah mendapatkan satu resolusi kepada wacana ini yang saya rasakan sesuatu yang baik.
“Intipatinya tidak lain tidak bukan supaya PAS ini untuk terus wujud sebagai sebuah gerakan Islam yang akan membimbing, membawa rakyat Malaysia khususnya umat Islam supaya kembali kepada Islam dan untuk menjaga kepentingan akidah yang mereka anuti pada hari ini. Dan harapan yang begitu tinggi diberikan kepada PAS ini supaya mereka rasakan itulah tempat bergantung mereka,” kata bekas Setiausaha PAS Selangor itu pada sidang media selepas program tersebut.
Tambahnya lagi, wacana tersebut adalah inisiatif beberapa ahli PAS yang bersimpati dengan ketidakpuasan hati segelintir ahli di peringkat akar umbi parti itu.Beliau turut tidak menolak kemungkinan resolusi yang dicapai itu akan dikemukakan kepada pimpinan parti untuk perhatian mereka.“Penganjur ini terdiri daripada beberapa ahli-ahli PAS yang simpati kepada rungutan-rungutan yang ada..antaranya adalah saya dan beberapa teman yang hadir hari ini. Maknanya ini inisiatif individu.“Mungkin kalau ada keperluan dan permintaan, kita akan ajukan resolusi ini kepada pimpinan tertinggi di peringkat parti kerana ini adalah pandangan daripada akar umbi, harapan kami kepada mereka,” katanya.
Mengulas mengenai cadangan kerjasama di antara PAS dan Umno, Norman menjelaskan yang pihaknya telah mengadakan kaji selidik sekitar Mac lalu di Selangor berhubung perkara tersebut.Katanya, daripada hasil kajian tersebut menunjukkan bahawa 70 peratus masyarakat Melayu di negeri itu mengharapkan satu kerjasama yang baik di antara kedua-dua parti majoriti Melayu dan Islam itu.
“Kalau mengikut ‘survey’ (kaji selidik) yang kita buat di awal tahun 2012, sekitar bulan tiga di peringkat negeri Selangor, mengatakan 70 peratus rakyat negeri Selangor mengharapkan satu kerjasama yang baik antara PAS dan Umno demi untuk mempertahankan Islam dan Melayu itu sendiri.“Rakyat Selangor, ada orang Melayu, Cina dan India..sebab mereka lihat kemelut ini. Tetapi majoriti, 70 peratus Melayu mengatakan kena difikirkan secara serius kerjasama di antara PAS dengan Umno di dalam keadaan kemelut yang berlaku ketika ini,” jelasnya.
Berikut adalah 11 Resolusi yang dicapai hasil daripada wacana tersebut:
1. PAS mesti mengembalikan kepimpinan ulama untuk menerajui PAS di seluruh peringkat
2. PAS mesti menentukan bahawa parti itu terus bergerak sebagai parti politik dan gerakan Islam
3. Agenda gerakan Islam mesti diutamakan melebihi ianya sebagai sebuah parti politik semata-mata
4. Setiap ahli PAS yang diberi peluang memegang jawatan dalam parti hendaklah terlebih dahulu diberi kefahaman yang jelas mengenai perjuangan PAS untuk menegakkan Islam dan melaksanakan hudud.
5. Pimpinan PAS mesti mencerminkan sifat menghormati pandangan dan cadangan ahli di peringkat akar umbi
6. PAS harus menimbangkan dengan serius ruang kerjasama sesama Islam dan Melayu termasuk dengan Umno
7. Dalam sistem tahalluf siyasi, PAS mesti menjadi parti peneraju, bukan mengikut telunjuk DAP dan PKR
8. Pimpinan PAS tidak seharusnya terlalu menyanjung pimpinan DAP dan PKR, dalam masa yang sama menghina pimpinan sesama Islam
9. PAS mesti segera mengkaji hubungannya dengan PKR dan DAP. Dan sekiranya perlu mengadakan Muktamar khas memandangkan pimpinan parti-parti tersebut telah menggelincirkan hala tuju PAS untuk menegakkan Islam dan melaksanakan hudud.
10. Hubungan pimpinan dan pengikut mestilah berdasarkan kepada kedua-dua prinsip iaitu ‘al-walak’, ‘wal-barrak’
11. Wacana yang diadakan hari ini hendaklah diadakan di peringkat negeri bagi memberi peluang kepada ahli dan penyokong-penyokong di peringkat negeri untuk menyertai wacana yang seperti ini untuk memberikan input.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana