Sokongan masyarakat Cina Johor terhadap BN utuh - Shahrir


 KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Johor Bharu, Tan Sri Shahrir Samad melancarkan perang psikologi terhadap Pakatan Rakyat (PR) menjelang Pilihan Raya Umum ke - 13 (PRU13) apabila menjangkakan isu agama dan sentimen perkauman masyarakat Cina di negeri itu akan dimainkan pemimpin mereka.

Malah, anak kelahiran Pahang itu yang memulakan karier politik awalnya di Johor sejak 1973 itu menempelak Naib Pengerusi PAS, Salahuddin Ayub baru-baru ini apabila mendakwa PR akan merampas tujuh hingga sembilan kerusi parlimen.

Beliau yang disifatkan sebagai pemimpin paling lantang bersuara di Dewan Rakyat itu secara sinis menegur pemimpin PR supaya membatalkan sahaja hasrat sekiranya ingin menjadikan isu tersebut sebagai modal bagi meraih sokongan serta undi masyarakat Cina di Johor.

Katanya, ini kerana budaya toleransi sudah lama wujud sejak beratus tahun dahulu antara kerajaan Barisan Nasional (BN) dan masyarakat Cina di negeri itu.

"Masyarakat Cina di Johor istimewa dibandingkan dengan negeri lain kerana mereka memperolehi sistem pendidikan sekolah rendah dan menengah yang sudah berusia 100 tahun, contohnya sistem pendidikan Sekolah Rendah dan Menengah Foon Yew yang lebih lama usianya dari Merdeka dan tidak pernah diusik.

"Pada sambutan perayaan Chingay yang ke 142 di Johor Bharu awal tahun ini Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) telah mengumumkan ia akan dijadikan sebagai Warisan Kebudayaan Kebangsaan dan berita itu amat menggembirakan masyarakat Cina," katanya ditemui pemberita di lobi parlimen, semalam.

Mengulas lanjut kenyataan Salahuddin itu, Shahrir berkata ramalan Pakatan dibuat hanya berdasarkan keputusan pada pilihan raya umum 2008 lalu.

"Walaupun Johor tak terkena dengan tsunami politik, kita tetap terkena tempiasnya, tetapi kerana kedudukan politik kita agak kuat, ia tidaklah membawa kepada kekalahan, kecuali bagi kawasan Parlimen Bakri.

"Apa yang dibawa oleh pembangkang sebenarnya berasaskan pada anggapan bahawa pengundi Cina akan menyebelahi mereka, saya rasa kita boleh bertahan. Johor berbeza dengan negeri lain.

"Masyarakat Cina di sini agak istimewa kerana mereka mempunyai pelbagai perkara yang boleh dibanggakan antaranya sistem pendidikan sekolah Jenis Kebangsaan dan Menengah Cina (Foon Yew) yang usianya lebih lama dari Merdeka dan 'Southern College' yang bertaraf universiti," tambahnya.

Justeru, Shahrir menegaskan pembangkang ketandusan isu yang boleh diputarbelitkan di Johor.

"DAP sebagai parti terkuat dalam Pakatan, berfahaman sekular yang bermakna mereka tidak menyokong duit kerajaan dibelanjakan untuk tujuan agama.

"Jadi kalau Pakatan bercadang dan mengambil alih kepimpinan negeri Johor, satu dilema yang mereka akan hadapi ialah di segi falsafah politik DAP yang bertentangan dengan apa yang dilakukan di Johor sekarang," soalnya.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana