PM tibai manifesto Pakatan di himpunan bersama 14,000 usahawan bumiputra...

Mungkin ramai tidak sedar.Kalau begini halnya apa sangat yang kaum bumiputra boleh harap hendak bergantung nasib pada pakatan pembangkang.

Senang cakap lu fikirlah sendiri.Jadi kena faham-fahamlah mengapa pakatan pembangkang tidak boleh cakap banyak pasal agenda bumiputra.Cuba tengok siapa ‘ tauke besar’ yang pegang majoriti undi dan kuasa politik mereka.

Ada berani PPBM,PKR dan PAN nak jolok DAP?

Sikap pakatan pembangkang terhadap agenda bumiputra ini telah disentuh Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapan beliau di depan 14,000 usahawan bumiputra dari seluruh negara yang berhimpun di Stadium Xiata Bukit Jalil petang Jumaat.

Perdana Menteri yang teruja melihat kehadiran begitu ramai usahawan di himpunan itu memberitahu ini adalah hasil penelitian terhadap manifesto pakatan itu.

“Saya telah meneliti manifesto pihak di sebelah sana. Manifesto mereka ini, mengandungi 60 janji, ENAM PULUH JANJI.TETAPI, hanya SATU janji yang menyebut perkataan ‘ekonomi Bumiputera’. Janji nombor 30.

“Saya belek lagi janji ini – ianya tidak ada mengandungi apa-apa kandungan substantif untuk menegakkan..., meneguhkan pembangunan ekonomi Bumiputera secara tuntas mahupun tegas.

“Paling kuat tuan-tuan dan puan-puan, mereka hanya berjanji membentangkan laporan di Parlimen mengenai jumlah pegangan ekuiti Melayu dan Bumiputera. Itu sahaja. Apa yang kaum Bumiputera dapat dari perbuatan ini?

“Yang lain-lain dalam janji itu, dah semua kami Kerajaan Barisan Nasional buat. Itu lah tuan-tuan dan puan-puan, betapa ambil mudahnya pihak di sebelah sana memandang Agenda Bumiputera,”katanya.

Serentak dengan itu Perdana Menteri menegaskan kerajaan Barisan Nasional akan tatap mendukung dasar memberi bantuan dan inisiatif kepada kaum Bumiputera.Di mana sahaja berada, di serata pelusuk negara bertuah ini, dari Perlis hinggalah ke Sabah.

“Adalah hasrat tinggi saya... agar kesemua penduduk negara ini... di mana sahaja... berpeluang menikmati kehidupan yang aman lagi selesa. InsyaAllah termakbul!

“Dengan sokongan padu yang tidak berbelah bagi dari saudara saudari semua..., dari tuan-tuan semua..., Saya akan terus mempertahankan Agenda Bumiputera Nasional... demi kesejahteraan kita bersama..., dari generasi ini ke generasi-generasi hadapan.

“Dengan berkat rahmat Allah S.W.T jua, saya berjanji Agenda Bumiputera Nasional tidak akan berganjak sebagai tiang tunggak dasar negara kita Malaysia ini,”katanya.

Pada majlis itu Najib telah mengumumkan 11 inisiatif baru untuk membantu perkasa usahawan bumiputra bernilai RM2.9 billion.

Katanya beliau amat memahami para usahawan yang memerlukan sokongan Kerajaan.

“Maka..., untuk mengukuhkan lagi tiang sokongan Kerajaan Barisan Nasional kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana, terutamanya para usahawan Bumiputera.... hari ini saya berbesar hati mengumumkan sebelas insentif baharu... yang membawa nilai 2.90 bilion ringgit,”katanya.

BERIKUT IALAH UCAPAN PENUH DATUK SERI NAJIB TUN RAZAK:

1. Alhamdulillah, segala puji dan syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah kurniaNya, dapat kita bersama-sama berkumpul meraikan usahawan-usahawan kecil dan sederhana Bumiputera dari seluruh negara, sebesar-besarnya seperti hari ini.

2. Saya amat terharu dimaklumkan oleh Datuk Hafsah sebentar tadi, berada di dalam stadium sekarang ini ada seramai lebih 10,000 orang, terdiri daripada para usahawan, wakil-wakil kementerian, agensi, dan NGO yang datang dari jauh dan dekat menyemarakkan lagi semangat keusahawan Bumiputera di stadium ini.

3. Di sini, saya mengucapkan terima kasih kepada SME Corp Malaysia dan TERAJU kerana sudi menzahirkan hasrat saya berjumpa dengan saudara-saudari, para usahawan Bumiputera sekalian.

4. Pertama-tamanya, saya ucapkan tahniah kepada para usahawan PKS Bumiputera yang telah berjaya menyumbangkan hampir 40% kepada kegiatan ekonomi negara (KDNK). Ini adalah suatu kejayaan yang membanggakan dan wajib diraikan di dalam suasana yang meriah lagi ceria, seperti yang sedia ada.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

5. Adalah dasar asas Kerajaan UMNO dan Barisan Nasional untuk membela nasib ekonomi kaum Bumiputera. Kesungguhan kami dalam perjuangan keramat ini bermula dengan Dasar Ekonomi Baru yang digubal hampir 50 tahun lalu, sehingga kini, tidak luput mahupun pudar, membawa kepada pelancaran Transformasi Kesejahteraan Bumiputera (TKB) yang saya umumkan tahun lepas.

6. Sejak saya mula diberi amanah memikul tanggungjawab sebagai Perdana Menteri pada tahun 2009, saya bertekad meneruskan warisan murni ayahanda saya, Allahyarham Tun Abdul Razak, Bapa Dasar Ekonomi Baru atau DEB.

7. Sesungguhnya, hasrat Kerajaan membangunkan kedudukan ekonomi Bumiputera bermula lagi sebelum lahirnya DEB, dengan tertubuhnya Majlis Amanah Rakyat atau MARA pada tahun 1966. Jasa MARA kepada kaum Bumiputera amatlah besar, di dalam bidang pendidikan, perniagaan dan latihan kemahiran.

8. Di bawah naungan Kerajaan Pusat, terdapat 13 agensi utama dipertanggungjawabkan untuk membangunkan ekonomi Bumiputera. Setakat ini, jumlah dana yang telah diagihkan oleh Kerajaan Pusat kepada para usahawan Bumiputera melalui kesemua agensi adalah sebanyak 77 bilion ringgit. Antaranya, Amanah Ikhtiar Malaysia sebanyak 19 bilion ringgit, TEKUN Nasional sebanyak 5 bilion ringgit dan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad hampir 3 bilion ringgit.

Tuan-tuan dan Puan-Puan sekalian,

9. Sememangnya, Kerajaan Barisan Nasional sentiasa prihatin di dalam pembangunan ekonomi Bumiputera. Perjuangan jihad ini saya teruskan, walau apa jua cabaran mendatang, kerana itulah tanggungjawab saya sebagai Ketua Kerajaan Barisan Nasional.

10. Baru sahaja sebentar tadi, kita bangga menyaksikan empat orang usahawan Bumiputera yang telah berjaya dalam perniagaan masing-masing, menerima anugerah sebagai pengiktirafan Kerajaan terhadap pencapaian cemerlang mereka. Adalah tidak keterlaluan jika saya mengatakan bahawa kejayaan mereka bermula juga dengan bantuan yang diterima dari Kerajaan.

11. Kini, mereka tersenyum gembira menjadi ikon usahawan PKS Bumiputera, menjadi sumber inspirasi kepada seluruh peniaga dan peniagawati perusahaan kecil dan sederhana di negara ini. Tahniah saya ucapkan!

12. Di sini, saya ingin ceritakan kisah kejayaan pemenang anugerah Usahawan Belia Bumiputera , iaitu Saudari Nur Liyana Abd Malek yang mengusahakan pembuatan aneka snek rumpai laut dan rempah ratus. Bukan calang-calang perniagaannya, syarikat beliau telah berjaya menembusi pasaran Jepun, Korea dan Arab Saudi.

13. Sungguhpun usia semuda beliau, jualan tahunan syarikat Saudari Liyana telah mencecah 320 ribu ringgit setahun. Cik Liyana memulakan perniagaannya dengan bantuan kewangan sebanyak 15 ribu ringgit dari geran Tunas Usahawan Belia Bumiputera atau TUBE di bawah SME Corp dan pinjaman sebanyak 48 ribu ringgit dari Agro Bank.

14. Sesungguhnya, Saudari Nur Liyana dan pemenang-pemenang anugerah sebentar tadi merupakan hanya segelintir daripada jumlah mereka yang telah menerima pelbagai bantuan dari segi kewangan dan latihan daripada Kerajaan Pusat, sepertimana ramai lagi di luar sana, termasuklah, saya percaya, usahawan-usahawan yang hadir di sini juga.


Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

15. Saya tidak akan berganjak mendokong Agenda Bumiputera sebagai rukun Agenda Nasional. Inilah janji saya.

Di peringkat awal pentadbiran saya, saya menubuhkan agensi TERAJU, dan saya memberi mandat kepada TERAJU untuk memacu dan menyelaraskan Agenda Bumiputera Nasional, bertujuan meningkatkan penguasaan Bumiputera di dalam ekonomi negara.

16. Inisiatif-inisiatif dan program di bawah TERAJU telah mewujudkan banyak peluang perniagaan, antaranya program Carve-Out & Compete di mana jumlah nilai projek-projek yang dianugerahkan kepada kontraktor-kontraktor Bumiputera mencecah 67 bilion ringgit.

17. Sebagai contoh, syarikat Huls Transmission Sdn Bhd, memperolehi beberapa pakej MRT Jajaran 1 dan 2 serta LRT Jajaran 3 yang berjumlah melebihi 100 juta ringgit. Ini membuktikan keupayaan dan kemampuan syarikat Bumiputera untuk menyiapkan kerja-kerja dalam tempoh masa yang ditetapkan dengan kualiti pembuatan setanding dengan syarikat antarabangsa. Siapa kata syarikat kontraktor Bumiputera tidak berkemampuan membuat kerja berskala besar?

18. Bukan sahaja kita perlu memberi peluang kepada syarikat-syarikat Bumiputera yang besar-besar. Saya juga telah mengarahkan MRT Corp memastikan sekurang-kurangnya 50% daripada ruang perniagaan di stesen MRT disewakan kepada Bumiputera. Setakat ini, 21 ruang niaga telah dianugerahkan kepada peniaga Bumiputera atau bersamaan 51% daripada jumlah keseluruhan ruang niaga di stesen-stesen bertingkat MRT Sungai Buloh-Kajang. InsyaAllah, MRT Corp akan membuka lebih banyak ruang niaga untuk disewa di stesen-stesen Jajaran 2 dan 3.

19. Bagi program Dana Mudahcara pula, bantuan kewangan yang telah dikeluarkan setakat ini telah melebihi 1.7 bilion ringgit. Antara penerima dana ini, Tuan Haji Zakaria Bin Jusoh memperolehi bantuan sebanyak 9.7 juta ringgit bagi mengusahakan pembangunan fasiliti kilang pemakanan dan minuman dengan fokus mengeluarkan minuman halal bagi pasaran luar seperti Indonesia dan China. Dengan ini, pendapatan MGV Industries melonjak dari 10 juta ringgit pada tahun 2014 kepada 17 juta ringgit pada tahun 2017.

20. Menyebut tentang pendidikan pula, Kerajaan tidak pernah mengenepikan pelajar Bumiputera yang berpotensi. Seperti kisah adik Mohd Najmi Bin Zakaria dari Johor yang merupakan anak kepada seorang buruh pembinaan manakala ibunya bekerja sebagai tukang cuci.

21. Adik Najmi telah menerima biasiswa Tunas Geliga di bawah tajaan Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera di MRSM Pontian. Baru-baru ini, adik Najmi telah mendapat keputusan cemerlang 9A dalam SPM 2017. Kini, beliau ingin mengejar impian menjadi seorang jurutera. Sama-sama kita doakan agar cita-cita adik Najmi akan tercapai. Dan tahniah saya ucapkan.

22. Inilah matlamat utama Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera dalam memberi fokus khas kepada pelajar Bumiputera dari keluarga dalam kelompok B40. Setiap anak-anak berhak untuk mendapat akses kepada pendidikan. Selagi boleh kita akan sedaya upaya bantu anak-anak ini.

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

23. Saya telah berkecimpung di dalam bidang politik selama lebih 40 tahun. Saya masih ingat semasa saya memegang jawatan sebagai Menteri Besar Pahang di mana keadaan para peniaga kecil dan sederhana Bumiputera amatlah berbeza dari apa yang ada sekarang ini.

24. Dahulunya, jumlah kaum Bumiputera yang berniaga teramatlah kecil dan kaum Bumiputera hanya mampu berniaga di bazaar, pasar basah dan pasar-pasar minggu. Bukan itu sahaja, kuasa membeli kaum Bumiputera tersangatlah kecil, selari dengan tahap penguasaan Bumiputera dalam ekonomi negara pada masa itu.

25. Alhamdulillah, sekarang kita dapat lihat keadaan yang ketara berbeza. Kita boleh menyaksikan kejayaan beberapa usahawan Bumiputera yang telah jauh mencipta nama di dalam bidang perniagaan. Turut hadir hari ini, usahawan-usahawan pemilik jenama yang tidak asing lagi seperti Kumpulan Naza, Ramly Food Industries, Sate Kajang Hj Samuri, Fashion Valet, dan Siti Khadijah Apparel.

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

26. Di dalam dunia yang sentiasa di landa arus perubahan, kita harus mengambil sebarang peluang untuk berinovasi, menyesuaikan diri dan perniagaan kita mengikut pertukaran masa dan pasaran. Jika sekarang perniagaan kita bertumpu kepada pasaran tempatan, mungkin kita perlu mengembangkan sayap untuk memasuki pasaran antarabangsa.

27. Di atas hasrat inilah, saya telah meneraju pelaksanaan platform digital Zon Perdagangan Bebas Digital atau DFTZ bagi membolehkan usahawan kita menyertai dan meluaskan perniagaan merentasi sempadan.

28. Saya juga mahu nyatakan komitmen saya meletakkan agenda ekonomi  digital sebagai suatu teras utama untuk pembangunan masa hadapan usahawan Bumiputera. Di sini, saya meletakkan sasaran sebanyak 10,000 syarikat PKS menyertai platform DFTZ menjelang penghujung tahun 2018. Justeru, saya menyeru para usahawan PKS Bumiputera menyahut cabaran memenuhi sasaran tersebut.


Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

29. Saya amat memahami para usahawan yang memerlukan sokongan Kerajaan. Maka..., untuk mengukuhkan lagi tiang sokongan Kerajaan Barisan Nasional kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana, terutamanya para usahawan Bumiputera.... hari ini saya berbesar hati mengumumkan sebelas insentif baharu... yang membawa nilai 2.90 bilion ringgit.

30. Pertama: Insentif untuk Penyenaraian Syarikat PKS di pasaran LEAP atau LIVE dengan peruntukan 50 juta ringgit. Untuk tujuan ini, geran bersamaan atau matching grant berjumlah 500 ribu ringgit akan diberikan kepada setiap syarikat yang berjaya disenarai dan dimasukkan di dalam Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP) di bawah SME Corp.

31. Kedua: Insentif Program Local to Global Corporation Ascend 800 atau LGC 800 dengan peruntukan berjumlah 40 juta ringgit. Insentif ini memanfaatkan 80 syarikat PKS Bumiputera berprestasi tinggi dalam bentuk pinjaman mudah sehingga 500 ribu bagi setiap syarikat untuk mentransformasi perniagaan masing-masing.

32. Ketiga: Dana Insentif bagi Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) sebanyak 60 juta ringgit bagi tahun 2019 untuk mempersiap dan melatih 3,000 belia Bumiputera.

33. Keempat: Galakan Elaun Peningkatan Eksport bagi SME dilanjutkan untuk tempoh 2 tahun lagi, iaitu sehingga tahun 2020.

34. Kelima: Inisatif pelaksanaan WIRA eDagang DFTZ dengan peruntukan 50 juta ringgit untuk 10,000 PKS Bumiputera dalam tempoh 3 tahun. Inisiatif yang akan diuruskan bersama oleh MDEC, SME Corp dan MATRADE ini bertujuan mengglobalkan syarikat Bumiputera berasaskan e-Commerce.

35. Keenam: Insentif SpeedMeUp dengan peruntukan 50 juta ringgit di bawah SME Corp. Di bawah insentif ini, syarikat start-up Bumiputera akan dibantu dengan geran bersamaan atau matching grant  sehingga 250,000 ringgit untuk memulakan operasi perniagaan.

36. Ketujuh: Dana sebanyak 500 juta ringgit akan disediakan bagi mempergiatkan pembangunan usahawan Bumiputera dalam Industri Peruncitan dan Pengedaran, yang mana, 200 juta ringgit diperuntukkan oleh Kerajaan dan 300 juta ringgit lagi adalah daripada Perbadanan Usahawan Nasional (PUNB).

37. Kelapan: MARA akan melanjutkan Skim Pembiayaan Kontrak Ekspres (SPiKE) berjumlah 50 juta ringgit, memanfaatkan 3,000 orang Bumiputera.

MARA juga akan memperuntukkan Skim Pembiayaan Mudah Jaya (SPiM) berjumlah 50 juta ringgit kepada usahawan mikro dan kecil.

38. Kesembilan: Memperkasa TERAJU dengan memberi mandat untuk menjadi penyelaras tunggal bagi semua dasar dan program berkaitan Bumiputera di setiap peringkat Kementerian, agensi, koridor dan syarikat GLC.

39. Kesepuluh dan Kesebelas: Sebanyak 50 juta ringgit akan diperuntukkan di bawah Dana Insentif Pelaburan bagi melonjak pemilikan ekuiti Bumiputera yang terlibat dalam sektor strategik terpilih.
?
Dan..., dengan amat sukacitanya, saya mengumumkan..., pelanjutan program Dana Mudahcara Bumiputera Fasa Kedua dengan..., peruntukan lanjutan..., sebanyak 2 bilion ringgit mulai tahun ini.


Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

40. Jika diperhatikan, sekian lama kita lihat banyak persatuan dan dewan perniagaan Bumiputera di negara ini. Alhamdulillah, badan-badan ini memainkan peranan penting dalam merancakkan peranan dan penglibatan Bumiputera dalam bidang ekonomi negara.

41. Hari ini, saya teruja bertemu dengan 34 buah persatuan Bumiputera yang datangnya dari seluruh Malaysia. Namun, tidak terdapat satu pun persatuan khusus untuk usahawan PKS Bumiputera, menjadi konduit kepada Kerajaan mengenengahkan isu-isu khusus PKS Bumiputera.

42. Sehubungan itu, saya umumkan penubuhan Persatuan Bumiputera SME Malaysia atau ringkasnya BumiSME sebagai platform yang menyatukan semua PKS daripada pelbagai latar belakang dan industri.

43. Di sini saya juga mengumumkan Yang Berbahagia Tan Sri Mohamed Al Amin Hj. Abdul Majid sebagai Pengerusi Jawatankuasa Sementara (Protem) Persatuan BumiSME ini.

44. Selanjutnya, dana awalan berjumlah 10 juta ringgit akan disalurkan menerusi SME Corp. Malaysia. Dengan dana ini, saya mengamanahkan Persatuan BumiSME menganjurkan sebuah Pesta Mega Tahunan Ekspo dan Jualan PKS Bumiputera Negara.

45. Di Ekspo ini, para usahawan dari seluruh pelusuk Malaysia dapat mempamer dan menjual produk dan perkhidmatan mereka secara besar-besaran, sama ada perniagaan B2B (Business to Business) mahupun B2C (Business to Consumer). Saya sungguh teruja dengan idea Ekspo ini, kerana inilah kali pertama acara sebesar ini akan diadakan.

46. Saya juga telah beritahu Tan Sri Al Amin untuk melangsungkan Ekspo ini dalam tahun ini juga. Boleh tak, Tan Sri?

47. InsyaAllah, saya akan datang melawat Ekspo ini untuk melihat sendiri usaha perniagaan tuan-tuan dan puan-puan sekalian.

48. Dengan bantuan dan inisiatif yang diumumkan hari ini, besar harapan saya industri kecil dan sederhana Bumiputera ditingkatkan ke suatu tahap yang lebih tinggi, menjana sumbangan yang lebih besar kepada ekonomi negara, dan tidak kurang penting juga, meningkatkan lagi pendapatan para pengusaha, demi kesejahteraan keluarga, masyarakat dan negara, InsyaAllah.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

49. Saya telah meneliti manifesto pihak di sebelah sana. Manifesto mereka ini, mengandungi 60 janji, ENAM PULUH JANJI.

TETAPI, hanya SATU janji yang menyebut perkataan ‘ekonomi Bumiputera’. Janji nombor 30.

50. Saya belek lagi janji ini – ianya tidak ada mengandungi apa-apa kandungan substantif untuk menegakkan..., meneguhkan pembangunan ekonomi Bumiputera secara tuntas mahupun tegas.

51. Paling kuat tuan-tuan dan puan-puan, mereka hanya berjanji membentangkan laporan di Parlimen mengenai jumlah pegangan ekuiti Melayu dan Bumiputera. Itu sahaja. Apa yang kaum Bumiputera dapat dari perbuatan ini?

52. Yang lain-lain dalam janji itu, dah semua kami Kerajaan Barisan Nasional buat. Itu lah tuan-tuan dan puan-puan, betapa ambil mudahnya pihak di sebelah sana memandang Agenda Bumiputera.


Tuan-tuan dan Puan-puan,

53. Kerajaan Barisan Nasional akan tatap mendukung dasar memberi bantuan dan inisiatif kepada kaum Bumiputera,

Di mana sahaja berada, di serata pelusuk negara bertuah ini, dari Perlis hinggalah ke Sabah.

Adalah hasrat tinggi saya... agar kesemua penduduk negara ini... di mana sahaja... berpeluang menikmati kehidupan yang aman lagi selesa. InsyaAllah termakbul!

54. Dengan sokongan padu yang tidak berbelah bagi dari saudara saudari semua..., dari tuan-tuan semua..., Saya akan terus mempertahankan Agenda Bumiputera Nasional... demi kesejahteraan kita bersama..., dari generasi ini ke generasi-generasi hadapan.

Dengan berkat rahmat Allah S.W.T jua, saya berjanji Agenda Bumiputera Nasional tidak akan berganjak sebagai tiang tunggak dasar negara kita Malaysia ini.

55. Sebagai penutup kalam, saya menjemput semua berikrar untuk terus istiqamah menjunjung Agenda Bumiputera Nasional, untuk kini dan selama-lamanya.

Pokoknya,…
Apapun aral yang datang melintang,…
Apapun badai tiba menghentam,…

Selagi pentadbiran ini terus diberi mandat, untung nasib BUMIPUTERA PASTI TATAP DIBELA!

Bumiputeraku,… Hebat! Hebat! Hebat!
Bumiputeraku,… Hebat! Hebat! Hebat!

Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Sekian, terima kasih.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana