Mat Dan Terima Kejutan Dari TPM

KUALA NERUS – Jejaka Inggeris yang fasih berbahasa dialek Terengganu, Muhammad Kareef Daniel Abdullah atau lebih dikenali Mat Dan, hari ini menerima kejutan selepas Timbalan Perdana Menteri meluluskan statusnya sebagai Penduduk Tetap (PR) negara ini.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan perkara itu ketika berucap pada majlis perasmian pembukaan Ekspo Terengganu di Kompleks Sukan Negeri di sini, petang tadi.

Beliau berkata demikian ketika menyatakan rasa gembira terhadap kemajuan dan pembangunan yang terus dinikmati Terengganu, termasuk kejayaan memasarkan menu tradisional nasi dagang dan keropok lekor ke luar negara.

“Malah, kita juga ada ikon yang sudah terkenal di Terengganu, Mat Dan. Saya sudah luluskan Mat Dan jadi Penduduk Tetap Malaysia. Hebat Terengganu! ,” katanya.

Pengumuman Ahmad Zahid itu turut mendapat sorakan lebih 40,000 hadirin pada majlis berkenaan.

Beliau turut berseloroh memberi peringatan kepada Mat Dan supaya tidak ‘membuka cawangan’ dan setia dengan isterinya yang juga anak jati Terengganu.

Bercakap pada sidang media Ahmad Zahid berkata, Mat Dan memenuhi kriteria dan syarat sebelum diberi status sebagai PR.

“Kita sudah meneliti status keselamatan dan sumbangannya membantu mempromosi produk Terengganu serta kriteria lain,” katanya.

Sementara itu, Mat Dan atau nama Inggerisnya, Danial Tyler, 29, menyatakan rasa terkejut dan bersyukur dengan pengumuman mengejut Timbalan Perdana Menteri itu.

“Alhamdulillah saya sangat bersyukur dengan pengumuman ini dan sama sekali tidak menyangka.

“Memang menjadi impian saya untuk mendapat status ini kerana sejak datang ke Malaysia dan Terengganu pada 2009, saya sudah jatuh cinta dengan negara dan negeri penyu ini,” katanya yang ketika ini memegang visa perkahwinan. – BH

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana