KEMBALILAH KE TIKAR SEJADAH, BUKAN KERUSI PM

Agak kalut keadaan sentimen di dalam Pakatan Harapan apabila dilaporkan ramai yang membantah pemilihan seorang warga emas berusia 92 tahun sebagai calon Perdana Menteri mewakili gabungan DAP, PKR, PAN dan parti ‘cap bunga’ itu, baru-baru ini.

Bantahan dikatakan bukan saja datang dari pengundi dari saluran 1, 2 dan 3, malah saluran pengundi 4 lebih ramai yang mengancam untuk memboikot atau melakukan undi rosak pada Pilihan Raya Umum (PRU) 14 nanti. Pening kepala dibuatnya…

Maka bertalu-talulah portal pro-pembangkang menyiarkan kenyataan pemimpin Pakatan Harapan untuk menggesa penyokong mereka supaya tidak membuat undi rosak, sebaliknya patuh, taat dan setia kepada ‘calon pilihan’ itu.

Pada pandangan penulis, baru kini Pakatan Harapan tahu bahawa betapa majoriti rakyat di negara ini menolak kepimpinan warga emas yang ‘terlalu emas’ usianya dan terpalit dengan pelbagai skandal, kontroversi serta corak pentadbiran politiknya yang licik dan ‘mahazalim’.

Mungkin bagi rakyat di negara ini, mereka tidak mahu ‘pisang berbuah dua kali’. Bagi mereka, biarlah hanya sekali saja rakyat di negara ini derita diperintah ‘rejim mahafiraun’. Walaupun diakui berjasa, mereka mungkin sedar dia memang ‘bahaya’ untuk kembali berkuasa.

Ekoran itu, cepat-cepat pula ‘macai’ warga emas itu meniup propaganda. Kononnya dia masih mampu memandu kereta pada kelajuan 110 km/h, maka dia itu membuktikan dia juga sedia untuk ‘memandu’ negara sekali lagi?

Dangkal sungguh persamaan itu. Memandu kereta dengan kelajuan 110km/h menandakan dia masih sihat, waras, rasional, bijak, berpandangan jauh, hebat, ulung dan mampu menguasai pentadbiran sebuah negara? Di mana logiknya?

Apakah ‘macai’ itu fikir memandu kenderaan itu sama seperti menerajui negara? Tahukah dia betapa padat jadual bagi seorang yang berjawatan Perdana Menteri? Jika beliau bersin sekalipun, boleh bergegar bursa saham. Apatah lagi jika dikejarkan ke IJN, boleh runtuh ekonomi negara dibuatnya, bukan?

Dalam usaha memacu negara ke arah sebuah negara maju dan kompetitif, kita memerlukan seorang Perdana Menteri yang benar-benar berkemampuan. Apatah lagi di saat keadaan ekonomi dunia yang kurang stabil, kita perlukan pemimpin yang berlatar belakangkan pengetahuan ekonomi dengan baik.

Kita tidak perlukan seorang yang cepat panik menguruskan ekonomi negara dengan mengharapkan orang lain untuk ‘memandu’nya ketika dia teraba-raba mencari resolusi. Apatah lagi jika terpaksa meletakkan nasib ekonomi negara kepada tabung IMF atau individu bertanggungjawab terhadap skandal BNM, itu cari nahas namanya…

Rakyat di negara ini juga memerlukan Perdana Menteri yang sentiasa tahu mengemudi dan menentukan hala tuju yang mampu dicapai. Bukan yang hanya ‘syok sendiri’ meletakkan ‘wawasan’ mahu 70 juta warganegara dalam tempoh tertentu, tapi sasaran itu tidak realistik untuk dicapai.

DEB dulunya ketika mula diperkenalkan sememangnya sangat murni dan tepat untuk masa depan negara. Namun bila negara dipimpin mengikut olahan konsep ekonomi ‘kronisme’ dan ‘nepotisme’, maka tidak hairan jika hasrat serta semangat DEB itu menyimpang dari tujuan asalnya.

Dia mentadbir negara dalam satu tempoh jangkamasa yang panjang. Itu tidak menjadi masalah. Namun dia ‘drive’ mengikut citarasa peribadinya sahaja. Siapa melawan, dia akan ‘disejuk beku’, ‘dicantas’, ‘diISAkan’, ‘dimalukan’ atau ‘dihumban ke penjara’.

Mungkin selepas merasa segala nikmat, ‘rasa selamat’ dan sudah cukup ‘ranum’ untuk legasinya diteruskan oleh ‘waris’, maka barulah dia lepaskan jawatan. Bila sudah berusia ’emas’, takkanlah ada yang tergamak ‘balas dendam’ pada ‘orang tua’. Licik permainan itu, bukan?

Tapi dia perlu tahu bahawa hanya segelintir sahaja yang akan ‘termakan’ dengan helah politik ‘purba’nya itu. Gerakan itu ramai yang boleh membacanya lebih awal. Rakyat di negara ini majoritinya semakin celik dan tidak akan tertipu dengan taktik lapuk tersebut.

Justeru itu, penulis menyarankan supaya dia mengaku kalah lebih awal. Walaupun penulis sedar dia tidak akan berbuat demikian ekoran tahap egonya yang ‘mahatinggi’, namun sekurang-kurangnya penulis sempat cuba ‘menyedarkan’ dia selagi belum terlambat.

Jika tersesat ketika menghampiri penghujung lorong, dia masih punya sedikit masa untuk kembali berada di landasan yang betul, bukan kembali ke kerusi Perdana Menteri. Ambil wudhu’, perbanyakkanlah masa di tikar sejadah selagi belum tiba ‘masa’nya…

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana