2017 tahun pemulihan bagi Ringgit...Alhamdulilah

2017 sememangnya merupakan tahun pemulihan bagi ringgit, yang menyaksikan ia kembali mengukuh secara perlahan-lahan disokong oleh pembangunan domestik positif dengan langkah-langkah berhemat yang diambil oleh Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengawal mata wang tempatan itu.

Berbanding tempoh kelam pada 2016, dagangan tahun ini agak cergas yang menyaksikan mata wang tempatan itu melantun semula dengan kukuh daripada paras terendahnya dalam tempoh 19 tahun mencatatkan pemulihan 10 peratus.


Ringgit memulakan dagangan tahun ini rendah dibuka pada 4.4900/4950 berbanding dolar AS pada 3 Jan, meneruskan momentum lemah 2016 disebabkan oleh spekulasi berlebihan dalam pasaran luar pesisir, dolar AS yang lebih kukuh serta keadaan geopolitik yang tidak menentu.

Prospek kenaikan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) yang menyebabkan pemegang asing bon Malaysia mengimbangi semula portfolio mereka yang membawa kepada aliran keluar modal, ditambah dengan permintaan kukuh terhadap dolar AS telah menyebabkan ringgit ditutup di paras terendahnya bagi 2017 pada 4.4960/4990 keesokan harinya.

Bagaimanapun, sejak daripada itu ringgit telah melantun semula apabila pemulihan harga minyak mentah, angka data eksport November 2016 Malaysia yang lebih baik daripada dijangkakan telah meyakinkan peniaga untuk membeli ringgit.

Menelusuri pergerakan mata wang itu, ringgit menjadi semakin stabil dalam suku pertama tahun ini berbanding suku akhir 2016, hasil daripada pelaksanaan langkah-langkah Jawatankuasa Pasaran Kewangan (FMC) BNM yang mengurangkan turun naik mata wang itu dalam pasaran pertukaran asing.

Hasilnya, mata wang tempatan itu meningkat sebanyak 1.3 peratus dalam Suku Pertama.

Aliran meningkat itu berterusan pada suku kedua, melonjak sebanyak 3.1 peratus, menjadikan ringgit sebagai mata wang yang mencatatkan prestasi terbaik di rantau ini semasa tempoh tersebut.

Sokongan datang daripada kelemahan berterusan dolar AS yang terjejas akibat daripada dasar tidak menentu negara itu serta aliran masuk bukan residen yang bertambah baik ke pasaran kewangan Malaysia dirangsang oleh keadaan makroekonomi domestik yang menggalakkan termasuk pertumbuhan kukuh keluaran dalam negara kasar (KDNK) dan prestasi baik eksport.

Perkembangan ekonomi yang positif di China membawa kepada prospek yang lebih baik bagi pertumbuhan eksport Malaysia, memberi harapan yang ekonomi dunia telah mencecah paras terendahnya dan mula pulih semula seiring dengan kestabilan harga minyak, telah mengekalkan minat risiko pelabur terhadap ringgit pada paras yang baik

Bagaimanapun, keadaan pasaran yang kembali tidak menentu dalam separuh kedua, iaitu, suku ketiga, peningkatan ketegangan geopolitik antara AS dan Korea Utara, telah menyebabkan ringgit menyusut semula, apabila mata wang selamat lebih menarik perhatian.

Mujurlah, dengan prospek positif terhadap ekonomi Malaysia yang dipacu oleh pertumbuhan bulis KDNK pada suku kedua dan prestasi kukuh eksport telah meningkatkan semula minat pelabur terhadap aset kewangan domestik.

Ringgit meningkat sebanyak 1.6 peratus dalam suku ketiga dan diniagakan di bawah paras 4.30.

Gabenor BNM, Tan Sri Muhammad Ibrahim berkata pengukuhan ringgit itu mencerminkan aktiviti ekonomi sebenar dan ia tidak lagi dipengaruhi oleh spekulasi.

Susulan pelaksanaan siri ketiga inisiatif FMC, antara lainnya, untuk melancarkan mudah tunai antara bank-bank berlesen dalam negara, terdapat petanda penambahbaikan menggalakkan dalam imbangan permintaan dan penawaran mata wang asing, yang membawa kepada pasaran pertukaran asing lebih cekap.

BNM berkata mudah tunai telah meningkat dalam pasaran dalam negara dan dapat memenuhi keperluan lindung nilai kedua-dua pemastautin dan bukan pemastautin.

Pada November, pendirian menyokong kadar faedah tinggi BNM bagi kadar dasar semalaman (OPR) susulan keputusan suku ketiga yang positif telah memberikan lagi sokongan kepada ringgit dan membantu mengimbangi kesan dolar AS tinggi.

Bank pusat pada 9 Nov mengekalkan OPR pada tiga peratus semasa mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetarinya terakhirnya bagi tahun ini, membayangkan kenaikan kadar akan dilaksanakan pada 2018, yang mana kebanyakan pakar ekonomi dan penganalisis percaya akan berlaku pada suku pertama.

Muhammad berkata bank pusat mungkin menimbang menyemak semula tahap akomodasi monetari ketika ini memandangkan kekuatan keadaan makroekonomi global dan domestik.

Bank pusat telah mengekalkan OPR pada tiga peratus sejak Julai 2016.

Semasa bulan terakhir 2017, ringgit bergerak dalan jajaran paras 4.00, mendapat rangsangan daripada unjuran eksport Oktober yang kukuh, kekukuhan harga minyak mentah dan jangkaan OPR tinggi.

Ringgit meneruskan aliran meningkatkan dan ditutup pada paras kedua terbaiknya tahun ini pada 4.0600/0650 pada 4 Dis, dalam keadaan belian asing tinggi dalam pasaran tempatan dan penurunan dolar AS selepas Rizab Persekutuan AS mengekalkan unjurannya mengetatkan monetari tahun depan.

Momentum meningkat itu mengukuh susulan prospek positif daripada agensi penarafan antarabangsa dan firma penyelidikan termasuk World Bank Group dan Moody\'s Investors Service, yang mengunjurkan ekonomi Malaysia mengakhiri 2017 dengan catatan positif dan menjangkakan prestasi kukuh bagi 2018.

Kenaikan itu, bagaimanapun, dijangka diimbangi oleh kekukuhan dolar AS disebabkan oleh peningkatan hasil perbendaharaan AS.

Ia memberikan cabaran kepada ringgit untuk mengakhiri tahun ini dengan catatan yang kukuh.

Bagaimanapun, penurunan dolar AS semasa minggu akhir dagangan bagi tahun ini ditambah dengan pemulihan harga komoditi terutamanya minyak mentah, minyak sawit mentah dan tembaga, serta peningkatan aliran masuk dana asing ke Malaysia dan prestasi kukuj pasaran ekuiti telah mengembalikan semula minat risiko terhadap ringgit.

Pada 29 Dis, unit tempatan mengakhiri hari akhir dagangan 2017 pada paras tertingginya bagi tahun ini pada 4.0440/0500 berbanding dolar AS daripada 4.4845/4875 pada 30 Dis, 2016.

Berbanding mata wang lain, unit tempatan mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0265/0323 daripada 3.1043/1085 pada 30 Dis tahun lepas, meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.5912/5968 daripada 3.8375/8411 dan naik berbanding pound British kepada 5.4602/4687 daripada 5.5213/5259.

Ringgit, bagaimanapun, susut berbanding euro kepada 4.8451/8535 tahun ke tahun daripada 4.7482/7523 sebelumnya.

Mengenai prospek bagi ringgit, para peniaga percaya mata wang tempatan itu berpotensi besar untuk terus meningkat daripada paras semasa memandangkan asas pendasar negara yang teguh, KDNK kukuh, paras fiskal yang bertambah baik, prospek kenaikan OPR dan pertumbuhan eksport yang memberangsangkan.

Mereka berpendapat unit tempatan itu akan bangkit kembali dan mencecah semula ke paras 3.00 berbanding dolar AS tahun depan.

Aliran masuk modal yang besar ke Malaysia susulan inisiatif Belt and Road China ditambah dengan jangkaan persekitaran ekonomi global yang bertambah baik serta harga minyak mentah stabil akan juga menjadi pemacu utama pada tahun depan.

Firma penyelidikan RHB Research Institute dan AmBank Research kedua-duanya menjangkakan bank pusat menimbang menyemak semula OPR dengan menaikkan sebanyak 25 mata asas pada Januari tahun depan daripada kadar tiga peratus sekarang dengan kadar-kadar dijangka normal pada 3.5 peratus.

UBS Investment Bank berpandangan OPR akan disemak semula dua kali tahun depan, pada Januari dan juga pada separuh kedua 2018.

Bagaimanapun, risiko-risiko seperti kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS boleh menjejaskan sentimen.

Mengenai perkembangan lain dalam industri kewangan/perbankan, tahun ini nampaknya tidak lari daripada kontroversi.

Sistem kewangan Malaysia menjadi tumpuan dunia selepas bekas Penolong Gabenor BNM Datuk Abdul Murad Khalid, pada Januari mendedahkan bank pusat mengalami kerugian urus niaga mata wang asing sebanyak US$10 bilion pada awal 1990-an.

Satu pasukan tugas khas untuk menyiasat perkara itu telah ditubuhkan pada Februari dan pada April Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dibentuk untuk membantu mendedahkan dengan lebih terperinci kerugian urus niaga mata wang asing pada era 1980-an dan 1990-an itu.

Tribunal lima orang yang dipengerusikan oleh Tan Sri Mohd Sidek Hassan, Pengerusi Petronas telah memanggil 25 saksi untuk memberi penerangan dan sejumlah 42 dokumen diterima dalam tempoh sembilan hari siasatan itu yang berakhir pada 19 Sept.

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, dua bekas menteri kewangan ? Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Daim Zainuddin, bekas gabenor BNM Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, serta bekas menteri kewangan kedua Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, merupakan antara saksi yang memberi keterangan semasa siasatan itu.

Nor Mohamed yang pernah menjadi penasihat BNM berkata kerugian itu merupakan ?kesilapan yang memberi pengajaran pahit kepada bank pusat.?

Pengajaran itu terbukti penting dalam membantu merangka dasar untuk mempertahankan negara daripada serangan mata wang semasa Krisis Kewangan Asia 1997/98, menyelamatkan negara daripada mengalami kerugian beratus-ratus bilion ringgit, katanya.

Beliau menjelaskan tidak seperti Indonesia, Thailand dan Korea Selatan, Malaysia dapat menangani krisis itu tanpa meminjam daripada Tabung Kewangan Antarabangsa, Bank Dunia dan pihak-pihak luar lain.

Laporan penuh RCI itu diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V pada 13 Okt.

Pada 30 Nov, suruhanjaya tersebut membentangkan laporan sebanyak 524 muka surat itu di Parlimen, mendedahkan bahawa terdapat elemen-elemen fakta dan maklumat tersembunyi berkaitan dengan kerugian urus niaga mata wang asing yang dialami bank pusat itu 30 tahun lalu serta kenyataan mengelirukan yang diberikan kepada Kabinet, Parlimen dan orang ramai.

Laporan itu mendapati BNM mengalami kerugian sebanyak RM31.5 bilion dalam urus niaga antara tahun 1992 dan 1994 dan mengesahkan bahawa Nor Mohamed bertanggungjawab ke atas operasi urus niaga pertukaran wang asing bank pusat pada masa itu.

RCI mencadangkan siasatan menyeluruh harus dijalankan oleh pihak polis, antara lainnya, menentukan sama ada Dr Mahathir mengizinkan tindakan menteri kewangan pada masa itu, Anwar, yang membawa kepada kerugian yang ditanggung bank pusat, dan mengesyorkan kedua-duanya disiasat atas kesalahan pecah amanah dan penipuan.

Suruhanjaya itu percaya Dr Mahathir "mungkin mengetahui lebih banyak lagi mengenai kerugian sebenar".

Bagaimanapun, bekas perdana menteri itu telah memfailkan saman untuk mengisytiharkan laporan RCI sebagai tidak sah kerana ia menyalahi undang-undang, tidak lengkap dan lemah kerana laporan itu tidak memasukkan nota prosiding dan dokumen undang-undang saksi.

Mengenai perkembangan lain dalam industri perbankan, BNM bersama-sama dengan Bank Indonesia dan Bank of Thailand telah melancarkan tiga rangka kerja penyelesaian mata wang tempatan yang bertujuan menggalakkan penggunaan meluas mata wang tempatan, termasuk ringgit, bagi memudahkan dan meningkatkan perdagangan di negara-negara ini.

BNM pada 14 Dis telah mengeluarkan draf pendedahan mengenai tuntutan kewajipan pelaporan mata wang digital atau mata wang kripto, urus niaga pertukaran di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001, satu langkah untuk menjadikannya telus di Malaysia

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana