AHMAD SAID ‘KEMBALI’ KEPADA UMNO
Selepas tiga tahun, bekas menteri besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said akhirnya kembali untuk merasmikan mesyuarat agung cawangan berkelompok Umno Bahagian Kemaman di sini, pada Sabtu malam.
Ahmad, selaku Ketua Umno Bahagian Kemaman, sebelum ini hanya mewakilkan kepada timbalannya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, untuk merasmikan mesyuarat bahagian itu.
Ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian itu, beliau melahirkan kesyukuran kerana masih mendapat sokongan kuat daripada perwakilan berkelompok yang masih mahu beliau menerajui bahagian itu.
Beliau turut menegaskan akan terus bekerja keras memastikan kemenangan Umno di negeri itu khususnya di Parlimen Kemaman pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
“Ketika berucap tadi, saya tanya ahli Umno Kemaman, mahu saya masih berada dalam Umno atau di pihak pembangkang, ternyata mereka masih mahu saya memimpin Umno Bahagian Kemaman.
“Inilah amanah dan suara perwakilan untuk kita memastikan Umno tidak kalah lagi pada pilihan raya akan datang,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal.
Ditanya mengenai pujian Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengenai dirinya yang terus menyokong kepimpinan Umno Terengganu yang kini dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman meskipun terdapat perselisihan faham sebelum ini, beliau berkata:
“Prinsip saya mudah sahaja, jika orang berlembut dengan saya, saya akan lebih baik dengan mereka dan begitulah sebaliknya,” katanya.
Mengulas mengenai senarai calon PRU14, Ahmad berkata beliau mahu Umno Bahagian Kemaman memilih sendiri calon sesuai untuk memastikan kemenangan parti itu.
“Kami akan berbincang dahulu, bila sudah ada senarai saya akan usahakan untuk menyerahkannya sendiri kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak),” katanya.
Comments