Guan Eng hadir di mahkamah, penyokong kecoh

GEORGETOWN: Pekarangan Kompleks Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, di sini, sedikit kecoh selepas sekumpulan penyokong Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang hadir untuk mendengar pengurusan kes rasuahnya hari ini, melakukan provokasi. Bagaimanapun, kekecohan yang hampir menimbulkan pergaduhan itu dapat dikawal polis. Pekarangan Kompleks Mahkamah Tinggi Pulau Pinang itu mula dipenuhi kira-kira 100 penyokong Guan Eng sejak jam 7.30 pagi. Guan Eng, 56, tiba di situ menaiki kenderaan rasmi kerajaan negeri pada jam 9.14 pagi. Pada 30 Jun lalu, Mahkamah Tinggi di sini membenarkan Guan Eng diikat jamin RM1 juta dengan seorang penjamin atas dua pertuduhan rasuah berhubung penukaran zon pertanian kepada zon perumahan serta pembelian lot tanah dan banglo di bawah nilai pasaran.

Bagi pertuduhan pertama, Guan Eng didakwa sebagai penjawat awam iaitu Ketua Menteri Kerajaan Negeri Pulau Pinang, didapati menggunakan kedudukannya untuk suapan bagi dirinya dan isterinya, Betty Chew Gek Cheng, untuk meluluskan Permohonan Perlingkungan Semula daripada Zon Pertanian kepada Zon Perumahan Awam di Daerah Barat Daya Pulau Pinang kepada sebuah syarikat, Magnificient Emblem Sdn Bhd. Guan Eng didakwa melakukan kesalahan itu ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri Pulau Pinang di Bilik Gerakan, Tingkat 28, Bangunan KOMTAR di sini pada 18 Julai 2014. Dia didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Guan Eng didakwa mendapatkan untuk dirinya suatu barang berharga dengan suatu balasan yang diketahui tidak mencukupi, iaitu lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di alamat No 25, Jalan Pinhorn di sini daripada ahli perniagaan Phang Li Koon dengan harga RM2.8 juta. Sedangkan nilaian semasa hartanah itu adalah sebanyak RM4.27 juta yang mana tertuduh mengetahui bahawa Li Khoon mempunyai hubungan dengan kerja rasmi Guan Eng.Guan Eng didakwa melakukan kesalahan itu di No 25 Jalan Pinhorn, George Town di sini pada 28 Julai 2015. Bagi pertuduhan kedua itu, Guan Eng didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana