DAP mahu jadi parti dominan dalam Barisan Rakyat

Sehingga Ahad lalu (25 September 2016) DAP belum berselera untuk membincangkan usul Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) supaya semua parti pembangkang bertanding Pilihanraya Umum ke-14 menggunakan satu logo.

Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke enggan membuat sebarang kenyataan berhubung usaha menubuhkan pakatan politik baru yang digelar Barisan Rakyat.

“Saya tak nak ulas perkara ini dan kita belum bincangkan syor daripada Bersatu (PPBM),” katanya sambil menegaskan bahawa sebarang keputusan akan dibuat berdasarkan perbincangan bersama pimpinan DAP terlebih dahulu.

Bagaimanapun beliau juga tidak mahu memberitahu bila kepimpinan DAP akan bermesyuarat bagi membuat pendirian berhubung idea itu.

Sebaliknya, diantara yang pertama memberi reaksi menyokong syor Naib Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir itu ialah Parti Amanah Negara (Amanah).

Nampaknya Amanah yakin apa jua tindakan yang boleh mempersembahkan barisan pembangkang sebagai “bersatu dan sehati sejiwa” dalam cita-cita politik mereka pasti mampu memujuk rakyat mengundinya.

Sekaligus ia membayangkan betapa Amanah agak kurang yakin jika terpaksa menghadapi PRU 14 bersendirian. Ia memerlukan imej sebagai sebahagian daripada jentera pembangkang yang gah, untuk menempa kemenangan.

Maka Amanah sentiasa bersedia untuk memasuki gelanggang PRU 14  beriringan dengan PKR, DAP dan PPBM. Mungkin igauan kalah dalam pilihanraya negeri Sarawak Mei lalu dan kecundang dalam pilihanraya kecil parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar masih meninggalkan geruh dalam hati pimpinannya.

“Di pihak Amanah kita sedang menggembleng tenaga memastikan perkara ini berjaya. Dengan kehadiran Bersatu (PPBM) saya yakin kita makin kuat untuk menumbangkan BN,” katsa Timbalan Presidennya, Salahuddin Ayub.

Begitu juga dengan PKR. Ia berharap semua parti pembangkang turut menganggotai gabungan terbesar yang dicadangkan itu.

“Itu memang kita cadangkan sekian lama. Saya berterima kasih kepada Bersatu (PPBM) kerana mengambil sikap yang sama.

“Prinsip satu lawan satu boleh dikatakan telah dipersetujui semua parti pembngkang, mungkin kita boleh bersetuju dengan gabungan ini pula,” kata Naib Presiden PKR, Tian Chua.

Bagaimanapun wawasan PAS berhubung isu memperkasakan pembangkang ini agak berbeza walaupun ia akur prinsip ‘satu lawan satu’ mungkin berkesan mencapai impian menundukkan Umno-BN

Ini kerana menurut Naib Presidennya, Idris Ahmad, prinsip ‘satu lawan satu’ dan gabungan parti-parti pembangkang adalah dua perkara berbeza yang perlu difahami dengan jelas.

“Sama ada nak guna logo atau lambang lain itu perkara lain. Bentuk kerjasama ini tidak semestinya kita berada dalam satu gabungan,” katanya.

Demikian unjuran budaya politik matang dan sejahtera PAS. Ini kerana menurut Idris, penggunaan satu logo dan nama Barisan Rakyat bakal memberi implikasi kepada prestasi pembangkang sendiri.

“Kita tidak mempunyai banyak masa untuk perkenalkan lambang dan nama gabungan kerana kita akan berdepan dengan PRU tidak lama lagi.

“Saya percaya rakyat akan keliru. Macam mana nak kalahkan BN kalau rakyat keliru dengan kewujudan lambang dan nama baharu gabungan pembangkang ini,” katanya.

DAP saja tak mahu guna satu logo

Apabila melihat betapa terujanya dan positifnya  PKR dan Amanah serta persetujuan PAS menggunakan pendekatan ‘satu lawan satu’ (walaupun ia mengambil sikap berhati-hati) sikap politik DAP terus menjadi tanda tanya.

DAP kini lebih sibuk mahu merencatkan sebarang usaha persempadanan semula Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) dengan mengesyorkan supaya Selangor mengadakan pilihanraya negeri (PRN) mengejut.

Bagi DAP itu adalah satu usaha untuk mengekalkan persempadanan sedia ada yang telahpun hampir membawa kejayaan mutlak kepada pembangkang dalam PRU ke 13.

Bagaimanapun PKR tidak bersetuju dengan syor DAP sama seperti mana ia menolak cadangan DAP mahu mengadakan pilihanraya negeri mengejut di Pulau Pinang bagi menyelamatkan nama baik Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang menghadapi tuduhan rasuah.

PKR tidak bersetuju PRN itu diadakan kerana kurang yakin ia mampu mempertahankan semua kerusinya di negeri itu. Malah ia meminta DAP memberikannya kerusi ‘mudah menang’ jika mahu meneruskan rancangan itu.

DAP kurang senang dengan permintaan itu dan “membocorkan” permintaan PKR itu kepada umum. Bagaimanapun bimbang persilangan pendekatan itu melarat, DAP menarik balik usulnya itu.

Namun DAP kini menimbang melaksanakan juga PRN di Pulau Pinang; kali ini dengan motif tambahan – mempamerkan kekuatan pengaruh politiknya, meskipun tidak mendapat sokongan penuh PKR.

Langkah ini perlu bagi DAP kerana ia kurang selesa dengan idea penubuhan sebuah gabungan pembangkang yang berkemungkinan besar akan melarutkan pengaruh dan kedudukannya dalam politik Malaysia.

Jika menang besar dalam PRN Pulau Pinang, ia adalah isyarat jelas bahawa DAP mampu bersendirian dan, jika ia bersetuju menyertai Barisan Rakyat kemudian, ia adalah peluang untuk menjadi faktor dominan dalam barisan baru itu.

Jika DAP terus turut memberi persetujuan di peringkat ini, maka ia insaf bahawa parti-parti pembangkang sudah pasti masih dalam kepompong pemikiran lama, di mana hanya pemimpin Bumiputra-Melayu yang mengungguli Barisan Rakyat.

Bagaimanapun DAP percaya jika kemenangan besar dicapai dalam PRN Pulau Pinang ia akan membuka mata kerabat Barisan Rakyat betapa kepimpinan dan strategi politik DAP perlu diambil kira.

Ketika itu DAP mahu semua ahli pakatan baru itu untuk bukan sahaja menghormati kepimpinannya malah harus akur betapa dinamik dan utuhnya pemikiran dan kepimpinan politiknya.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana