Guan Eng Mengaku Tidak Bersalah Atas Dua Tuduhan Rasuah Libatkan Tanah Dan Banglo

GEORGE TOWN: Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng pada Khamis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini di atas dua pertuduhan rasuah berhubung penukaran zon pertanian kepada zon perumahan serta  pembelian lot tanah dan banglo di bawah nilai pasaran.

Bagi pertuduhan pertama Lim didakwa sebagai penjawat awam iaitu Ketua Menteri Kerajaan Negeri Pulau Pinang, telah menggunakan kedudukannya untuk suapan bagi dirinya dan isterinya Betty Chew Gek Cheng, meluluskan Permohonan Perlingkungan Semula daripada Zon Pertanian kepada Zon Perumahan Awam di Daerah Barat Daya Pulau Pinang kepada sebuah syarikat, Magnificient Emblem Sdn Bhd.

Lim, 56, didakwa melakukan kesalahan itu ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri Pulau Pinang di Bilik Gerakan, Tingkat 28, Bangunan Komtar, George Town di sini pada 18 Julai 2014.

Dia didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Lim didakwa sebagai penjawat awam iaitu Ketua Menteri Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mendapatkan untuk dirinya suatu barang berharga dengan suatu balasan yang diketahui tidak mencukupi, iaitu lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di alamat No 25, Jalan Pinhorn, George Town di sini daripada ahli perniagaan Phang Li Koon dengan harga RM2.8 juta.

Sedangkan nilaian semasa hartanah itu adalah sebanyak RM4.27 juta yang mana tertuduh mengetahui bahawa Phang mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasminya (Lim).

Lim didakwa melakukan kesalahan itu di No 25 Jalan Pinhorn, George Town di sini pada 28 Julai 2015.

Bagi pertuduhan kedua itu Lim didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu bekas pemilik banglo itu Phang Li Koon turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersubahat dengan Lim bagi mendapatkan untuk diri Lim lot tanah dan rumah itu di tempat dan tarikh sama.

Phang, 44, didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 165 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana