Anifah kecewa campur tangan menteri lain dalam kementeriannya

Isu ini asalnya adalah mengenai hu ha Duta China ke Malaysia Dr Huang Huikang (gambar) dipanggil mengadap oleh Wisma Putra.
Arahan tersebut dikeluarkan oleh Timbalan Menteri Luar Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican kerana Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman di luar negara.

Tapi ada kenyataan dari menteri lain yang dakwa arahan Wisma Putra panggil Duta China itu sudah dibatalkan.

Dalam kenyataannya malam Isnin, kata Anifah, arahan tersebut tidak pernah dibatalkan.

Menurutnya Duta Besar China dipanggil ke Wisma Putra bertujuan meminta beliau mengesahkan sama ada kenyataannya yang dikeluarkan semasa lawatan ke Jalan Petaling baru-baru ini telah disalah tafsir.

Anifah berkata, perkara memanggil duta merupakan amalan biasa.

"Ini selaras dengan Artikel 41, Vienna Convention on Diplomatic Relations 1961," katanya.

"Wisma Putra telah membuat perkara yang sama dengan Duta Amerika Syarikat, Duta Vatican dan Duta Singapura pada masa lalu," kata beliau.

Anifah menjelaskan, sebagai sebuah negara berdaulat Malaysia juga perlu menyampaikan pendiriannya kepada China dengan jelas.

"Dalam perkara ini setelah berbincang dengan Perdana Menteri, saya membuat keputusan untuk memanggil Duta China untuk hadir ke Wisma Putra bagi memberi penjelasan," katanya.

Tambahnya, beliau berpandangan isu tersebut tidak perlu dibawa ke peringkat menteri kerana sebagai amalan biasa ia ditangani di peringkat pegawai kanan Wisma Putra sahaja.

Pada masa yang sama, Anifah melahirkan rasa dukacita kerana beberapa menteri Kabinet mengambil beberapa tindakan dan membuat kenyataan akhbar tanpa merujuk kepada beliau terlebih dahulu.

"Untuk makluman, saya tidak pernah sekali pun membatalkan arahan saya memanggil Duta China ke Wisma Putra bagi memberi penjelasan beliau," katanya.

Jelas Anifah, perkara tersebut dapat diselesaikan dengan baik oleh Wisma Putra tanpa campur tangan menteri-menteri lain.

"Sebaliknya, campur tangan mereka (menteri-menteri lain) telah memberikan persepsi yang negatif di kaca mata orang ramai.

"Saya berharap perkara sebegini tidak akan berulang," tambah beliau.

Pada Isnin Duta China itu mengadakan pertemuan dengan Pemangku Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Putrajaya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Bernama melaporkan Dr Huang Huikang berkata Malaysia adalah rakan strategik komprehensif bagi China.

Sambil menyifatkan Malaysia sebagai rakan yang boleh diharapkan dan boleh dipercayai, Dr Huang berkata kedua-dua negara telah bersama-sama melalui pelbagai cabaran yang dihadapi satu sama lain.

"Kita bersama-sama mengharungi krisis kewangan Asia pada tahun 1997 dan krisis kewangan antarabangsa pada 2008, gempa bumi Wenchuan, kemalangan tragis MH370 dan banjir besar di Pantai Timur Malaysia.

"Kita saling memberi sokongan pada masa sesetengah pihak cuba meremehkan kekuatan dan melemahkan semangat kita. Kita sentiasa bersama-sama mengharungi saat-saat yang sukar," katanya ketika berucap merasmikan sambutan ulang tahun ke-66 Penubuhan Republik Rakyat China pada Isnin.

Beliau juga mengucapkan terima kasih berikutan sokongan negara rakan, termasuk Malaysia, untuk China menjadi bandar tuan rumah pertama bagi temasya Olimpik musim sejuk dan musim panas pada 2022.

"Saya amat gembira dengan keputusan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa yang dibuat di Kuala Lumpur pada 31 Julai, dan taman ski hasil pelaburan ahli perniagaan Cina Malaysia akan menjadi venue utama sukan salji bagi Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022," katanya.

Dr Huang juga berkata China amat sedar tentang tanggungjawab antarabangsanya dan akan terus menyumbang sebanyak yang boleh untuk membina keharmonian dan kemakmuran di dunia.

Kira-kira 500 tetamu menghadiri majlis itu, antaranya Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II Datuk Seri Ong Ka Chuan, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamad dan Duta Khas Malaysia ke China Tan Sri Ong Ka Ting.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana