Demonstrasi Jalanan & Sindrom Mahathir Mudah Lupa

Empat belas tahun lalu, Tun Dr Mahathir Mohamad yang ketika itu Presiden UMNO dalam ucapan pengulungannya ketika di Perhimpunan Agong UMNO 2001 telah membacakan sajak bertajuk ‘Melayu Mudah Lupa’.

Semasa membaca sajak tersebut, Tun Mahathir mengalirkan air mata sebak mengenang bangsanya yang dikatakannya mudah lupa sejarah lama.

Tak sedikit orang Melayu khususnya ahli dan penyokong UMNO turut sama berkongsi rasa sebak, baik yang berada di PWTC tika itu mahupun mereka yang mengikuti siaran langsung dari rumah.

Itu kisah 14 tahun dulu, ‘Melayu Mudah Lupa’.. sajak ingatan dari Tun Mahathir meminta bangsa Melayu jangan lupa sejarah lama tertindas dan digelarnya haprak di atas tanah air sendiri.

Semalam, lewat petang tanggal 29 Ogos 2015 sebaik menjejak kaki di himpunan Bersih 4.0 tanda sokongan kepada peserta dan penganjur demonstrasi jalanan itu, Tun Mahathir membuktikan memang benar ada Melayu yang mudah lupa. Siapa?

Tidak lain dan tidak bukan, Tun Mahathir sendiri.

Tun Mahathir sudah lupa, 22 tahun beliau menjadi Perdana Menteri dan Presiden UMNO, amat pantang baginya membiarkan aktiviti demonstrasi jalanan yang impaknya tidak baik untuk imej, ekonomi dan ketenteraman dalam negara.

Kalau Tun Mahathir lupa ucapan penentangannya terhadap aktiviti demonstrasi jalanan sewaktu zaman kegilaan reformasi 17 tahun dulu, biar penulis kongsikan kenyataan beliau yang baru berusia dua tiga tahun lepas.

“Hakikatnya, walaupun demonstrasi diterima dalam demokrasi, ia tidak boleh diguna dengan sewenang-wenangnya. Jauh daripada memberi manfaat kepada rakyat, ia menambah masalah kepada rakyat,” itu antara petikan kenyataan Tun Mahathir yang disiarkan dalam Utusan Malaysia bertarikh 4 Julai 2011.

Kenyataan itu menjelaskan pendirian Tun yang menentang demonstrasi jalanan yang Tun sendiri tahu lebih banyak buruk dari baiknya.

Tun tahu ia tidak membawa manfaat untuk rakyat, tapi petang semalam tanpa segan silu Tun hadir meraikan peserta Bersih 4.0 di Dataran Merdeka bagaikan memberi isyarat menyokong demonstrasi jalanan Bersih 4.0 diteruskan. Hipokrit jenis apakah ini?

Baru dua tahun lalu, dalam kenyataan disiarkan portal Sinar Harian bertarikh 23 Mei 2013, kata Tun;-

“Mereka akan mengadakan demonstrasi jalanan dan melakukan apa sahaja untuk menjatuhkan kerajaan, ia akan berulang-ulang.

“Keputusannya adalah ketidakstabilan kepada negara, tiada pembangunan dan kemiskinan akan bertambah. Negara mungkin akan meminjam wang dan akhirnya negara hilang kemerdekaan,” katanya.

Sudah lupakah Tun dengan kenyataan tersebut? Tun lupa bahayanya demonstrasi jalanan, Tun lupa betapa negatifnya impak demonstrasi jalanan, kini Tun sendiri menyokong penggunaan kuasa jalanan untuk menjayakan agenda peribadi sendiri untuk menjatuhkan pemimpin kerajaan dari parti yang pernah Tun dukung dulu.

Jika dulu Tun kata ‘Melayu Mudah Lupa’, maka realitinya sebenar hari ini ‘Mahathir Mudah Lupa’.

Malang dan amat dikesali sekali, sindrom ‘Mahathir Mudah Lupa’  itu tidak hanya memalukan tetapi juga merendahkan taraf Tun selaku seorang negarawan yang dulu berprinsip tegas kini sudah berubah menjadi sama seperti seorang politikus murahan, hipokrit dan opportunis.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana