Pemecatan Ahli Majlis PAS Mampu Retakkan Pakatan

KUALA LUMPUR 30 Sept. - Pemecatan Bendahari Pas Pulau Pinang, Iszuree Ibrahim daripada semua jawatankuasa tetap Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) boleh menimbulkan bibit-bibit perpecahan dalam pakatan pembangkang khususnya di Pulau Pinang.

Pensyarah Pusat Pengajian Antarabangsa, Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Mohd. Azizuddin Mohd. Sani berkata, hal demikian kerana tindakan drastik tersebut mampu menjejaskan hubungan Pas dalam pakatan pembangkang terutamanya dengan DAP.

Beliau berkata, kerajaan negeri seharusnya mengeluarkan surat tunjuk sebab atau mendapatkan penjelasan daripada Iszuree terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang tindakan yang boleh menjejaskan hubungan antara Pas dan DAP.

"Masalah ini mungkin tidak sebesar yang berlaku di negeri Selangor tetapi nampaknya bibit-bibit perpecahan sudah mula wujud di Pulau Pinang apabila Pas semakin dipinggirkan di negeri itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, Kerajaan DAP Pulau Pinang yang selama ini melaungkan prinsip cekap, telus dan akauntabiliti (CAT) sekali lagi dilihat bertindak membelakangkan prinsip berkenaan apabila menyingkirkan Iszuree daripada semua jawatankuasa tetap MPPP serta membekukan peruntukannya.

Tindakan itu difahamkan dibuat selepas Iszuree menegur kepemimpinan kerajaan negeri dalam isu perumahan di negeri itu ketika berucap di Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-60 di Batu Pahat, Johor minggu lalu.

Mengulas lanjut, Mohd. Azizuddin berkata, beliau menjangkakan DAP akan melantik wakil lain dalam Pas bagi mengisi kekosongan itu untuk menjaga hubungan mereka dengan parti itu yang mungkin terjejas.

Bagaimanapun katanya, jika DAP menawarkan jawatan tersebut kepada calon lain hanya akan meminggirkan lagi Pas dalam pakatan pembangkang.

"Ada kemungkinan DAP akan minta Pas calonkan ahli lain, yang sedikit sebanyak akan meminggirkan Pas sekurang-kurangnya di Pulau Pinang," jelasnya.

Tambah beliau, Pas perlu memikirkan semula hubungan parti itu dalam pakatan pembangkang yang dilihat tidak banyak memberi keuntungan kepada mereka.

"Pas perlu memberi tekanan kepada pakatan teratama DAP dengan mengkaji pendekatan politik baharu dalam pakatan," katanya.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

BAPA JHO LOW RUPANYA KRONI MAHATHIR…

Elakkan Ditipu Oleh Penjual Tayar Kereta, Anda WAJIB Tahu Maksud Kod Pada Tayar