Selepas tiga tahun, GST selamatkan bilion ringgit ketirisan SST

Setelah tiga tahun Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan, ia terbukti berjaya mengatasi masalah ketirisan berbilion ringgit yang sebelum ini memberi kesan terhadap kerancakan pembangunan ekonomi negara.
 
Sejak diperkenalkan pada April 2015 bagi menggantikan sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), GST dilihat mampu menyelamatkan rakyat dan negara daripada terus menjadi mangsa kerakusan pihak-pihak yang mengaut keuntungan yang memanipulasi SST dengan tidak mengisytiharkan cukai mereka sebelum ini.
 
Hasil kutipan GST pada tahun lalu yang berjumlah lebih RM40 bilion dikembalikan kepada rakyat menerusi pelbagai projek termasuk menaik taraf infrastruktur serta penambahbaikan sistem pengangkutan awam dalam membangunkan negara.
 
Langkah memperkenalkan GST yang turut dilaksanakan di 167 negara, diakui adalah langkah tepat diambil kerajaan dalam mengembangkan ekonomi negara, malah model yang digunakan Malaysia turut menarik minat kerajaan Arab Saudi untuk melaksanakan sistem cukai tersebut.
 
Menurut penganalisis Prof Dr Mohd Fuad Mat Jali, hasil kutipan cukai berkenaan telah banyak membawa manfaat kepada rakyat dan digunakan kerajaan untuk program seperti Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) yang menawarkan barangan pada harga berpatutan dalam usaha mengurangkan kos sara hidup rakyat serta menyediakan jalinan kemudahan awam yang murah dan mudah seperti LRT dan MRT.
 
Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berkata rakyat juga sudah mula memahami bahawa GST sebenarnya banyak membantu ekonomi negara dan meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat.
 
Ini kerana hasil pendapatan daripada cukai GST dikira sama seperti kutipan cukai-cukai lain kerajaan termasuk cukai korporat, cukai pendapatan, duti, pendapatan petroleum dan dividen yang diterima, yang bermaksud kesemua hasil pendapatan tersebut dimasukkan ke dalam dana yang disatukan ketika kerajaan membuat pembentangan bajet tahunan.
 
Keseluruhan hasil pendapatan kerajaan dibelanjakan untuk keselamatan dan pertahanan negara, infrastruktur dan kemudahan awam, pertanian dan perindustrian, kesihatan, membantu golongan yang memerlukan, sekolah dan universiti, pembangunan dan banyak lagi.
 
Penggunaan dana yang telah disatukan (termasuk hasil GST) dibuat secara terperinci oleh kerajaan dalam pembentangan belanjawan tahunan di Parlimen setiap tahun, yang kemudiannya diaudit oleh Ketua Audit Negara.
 
Mohd Fuad berkata jika ada dalam kalangan rakyat yang masih kurang jelas mengenai pelaksanaan sistem cukai ini, ia boleh diterangkan menerusi sesi penerangan atau taklimat oleh agensi-agensi kerajaan dan turut dibantu persatuan pengguna berkaitan.
 
"Menerusi sesi penerangan yang dilaksanakan, ramai faham bahawa ada pihak yang memanipulasi isu GST terutama peniaga yang menaikkan harga barangan jualan dengan mendakwa ia disebabkan GST. Untuk mengatasi hal ini, agensi kerajaan terlibat disarankan memperbanyakkan aktiviti penguatkuasaan dan lebih banyak turun padang.
 
"Kalau tak cukup anggota penguat kuasa, boleh ambil graduan yang masih belum bekerja untuk menjadi 'Rakan GST' dan buat pemeriksaan di kompleks-kompleks beli-belah bagi tangani isu ini," katanya kepada Bernama.
 
Dekan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Prof Dr Shazali Abu Mansor pula berkata salah faham mengenai GST biasanya berpunca daripada tindakan peniaga yang mengambil jalan mudah dengan mengatakan GST penyebab harga barangan naik sebagai jawapan mudah apabila ditanya pengguna kenapa harga barang mahal.
 
Justeru, katanya rakyat perlu diberi penerangan yang lebih mudah mengenai punca kenaikan harga barang dan kepentingan sebenar GST, agar ia tidak terus-terusan dimanipulasi dan dijadikan alat untuk memburuk-burukkan usaha kerajaan dalam meningkatkan ekonomi negara dalam jangka masa panjang.
 
Selain itu, katanya aktiviti penguatkuasaan perlu dilakukan secara berterusan bagi memastikan tiada peniaga yang menaikkan harga barang sewenang-wenangnya.
 
Sementara itu, Timbalan Presiden Pertubuhan Mesra Pengguna Malaysia (PMPM) Azlin Othman berkata kenaikan harga barang dan perkhidmatan bukanlah disebabkan GST semata-mata kerana terdapat beberapa faktor lain yang mempengaruhi dan menyumbang kepada masalah kos sara diri yang semakin meningkat seperti pertukaran mata wang asing, kos pengangkutan dan aspek pemasaran yang lain.
 
"GST adalah cukai penggunaan yang bertujuan untuk memperkemaskan sistem pencukaian di setiap peringkat rantaian bekalan daripada pengeluar atau pembekal perkhidmatan sehingga kepada pengguna akhir.
 
"Ini adalah salah satu inisiatif kerajaan bagi mengurangkan pelbagai jenis cukai yang dikenakan terhadap pengguna kepada satu jenis cukai sahaja dengan kadar enam peratus daripada keseluruhan harga barangan dan perkhidmatan yang perlu dibayar pengguna," katanya.
 
Beliau berkata PMPM sentiasa bekerjasama dengan agensi kerajaan yang terbabit untuk menyalurkan maklumat tepat kepada pengguna berkenaan GST dalam program-program berbentuk kepenggunaan yang diadakan.
 
Bagi Presiden Persatuan Perlindungan Pengguna Malaysia (PPPM) Datuk Mohd Firdaus Abdullah pula, walaupun GST telah terbukti membantu ekonomi negara sejak dilaksanakan April 2015, masih ada pihak tidak bertanggungjawab bertindak mengelirukan orang ramai tentang sistem cukai itu.
 
"Ia satu sistem cukai yang adil dan saksama kerana manfaat daripada GST dikembalikan kepada rakyat khususnya golongan sasar. Pihak persatuan akan terus mengadakan sesi penerangan bagi menjelaskan mengenai sistem cukai ini agar semua pengguna faham dan tidak mudah diperdaya pihak yang tidak bertanggungjawab,"katanya.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana