Pilih dengan fikiran waras - Pak Lah

KUALA LUMPUR: Memilih mereka yang sekian lama berlainan fahaman politik tetapi berganding bahu semata-mata untuk meraih kuasa, bukanlah satu pilihan yang waras.

Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, berkata kerajaan yang kuat dan stabil hanya boleh wujud menerusi pemimpin yang benar-benar dapat bekerjasama untuk kebaikan rakyat.

Katanya, pengundi perlu membuat pilihan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) atas kewarasan fikiran, disamping mengambil kira kemampuan mengekalkan kesinambungan kestabilan politik, dasar dan pentadbiran ekonomi yang baik.

"Ini bukan suatu perjudian mempertaruhkan nasib, ataupun menukar haluan semata-mata kerana tidak puas hati dengan beberapa isu.

"Tiada semuanya yang 100 peratus sempurna. Nilai segala janji yang diberi secara terperinci, apa yang benar-benar dapat dikotakan (berbanding) daripada apa yang manis di bibir saja.

"Timbangkan semuanya secara keseluruhan dan fikirkanlah masak-masak dan secara waras," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Abdullah berkata, kejayaan Malaysia mencapai pembangunan pesat sejak kemerdekaan lebih 60 tahun lalu, banyak bergantung kepada kestabilan politik yang dikecapi selama ini, dengan kepimpinan yang mampu bekerjasama dan berkongsi aspirasi serta cita-cita yang sama untuk negara.

"Penggubalan dan kesinambungan dasar yang kukuh dan konsisten, pentadbiran ekonomi yang baik serta struktur pemerintahan yang jelas, selain peralihan kuasa dalam Perikatan dan Barisan Nasional (BN) daripada satu Perdana Menteri ke satu Perdana Menteri secara stabil, juga menentukan kesinambungan kemajuan Malaysia selama ini.

"Sama ada ekonomi negara akan terus makmur seperti dikecapi selama ini, masa depan generasi muda dan tua terus cerah dan negara terus selamat, aman dan makmur atau mundur dipinggirkan, bakal ditentukan pada 9 Mei nanti," katanya.

Bekas Perdana Menteri itu turut mengingatkan calon yang bertanding pada PRU-14, untuk mengutamakan rakyat dan bukan agenda atau cita-cita politik seseorang.

Katanya, calon dan parti bertanding perlu menjiwai erti demokrasi secara rasional dan bukan berasaskan emosi dan kemarahan.

"Kita menawarkan diri bukan semata-mata untuk meraih, merampas atau mengekalkan kuasa memerintah, tetapi untuk diberi peluang berbakti kepada rakyat dan negara.

"Semua calon mesti cukup berwibawa dan berhemah tinggi dalam menawarkan diri, dasar atau ideologi masing-masing untuk penilaian rakyat, bukan tuduh menuduh membakar kemarahan rakyat semata-mata untuk meraih sokongan," katanya.
Share on Google Plus

About Melayu Berwawasan

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
Post a Comment