MAHKAMAH LONDON TOLAK RAYUAN SARAWAK REPORT UNTUK BATAL SAMAN PAS

PETALING JAYA: Mahkamah Tinggi di London menolak permohonan Clare Rewcastle-Brown untuk membatalkan saman fitnah difailkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang antara lain atas alasan menakut-nakutkan saksi.

Peguam PAS, Wan Rohimi Wan Daud dalam catatan di Facebooknya berkata, mahkamah turut mengarahkan editor Sarawak Report (SR) itu membayar kos £28,900 (RM156,000) kepada plaintif, Hadi.

“TGHH (Tok Guru Haji Hadi) menang semua 5 permohonan interlokutori! Sarawak Report diperintah membayar keseluruhan kos £28,900,” katanya.

Sementara itu, setiausaha politik Hadi, Ahmad Samsuri Mokhtar menyambut baik berita itu dan berkata, PAS akan mengeluarkan satu kenyataan hari ini.

SR berkata, hakim buat sementara waktu menetapkan perbicaraan selama 12 hari mulai April tahun depan.

Katanya, hakim berpendapat ada banyak masalah bertindih dan saling berkaitan yang perlu ditentukan, termasuk sama ada Hadi mempunyai alasan untuk membawa kes itu pada mulanya.

SR memfailkan permohonan pembatalan saman fitnah itu disebabkan perbicaraan libel berkos tinggi di UK.

Sehingga kini, katanya, ia mengeluarkan £200,000 (RM1,079,542) untuk perbelanjaan pra-perbicaraan, manakala Hadi pula sudah membayar £305,250 (RM1,647,651).

FMT pada 14 April lalu melaporkan Rewcastle-Brown dalam permohonan membatalkan saman fitnah itu, mengadu Hadi memutarbelitkan makna kata-katanya untuk tujuan politik tersembunyi partinya, bukan untuk mempertahankan reputasi sendiri.

Pada masa sama, Hadi memohon mengeluarkan sebahagian besar hujah pembelaan Rewcastle-Brown. Jika dikekalkan, kes pembelaan akan menyebabkan lebih banyak pendedahan di pihak PAS.

Tidak jelas sama ada Hadi berjaya mengeluarkan hujah pembelaan SR.

Hadi memfailkan saman fitnah itu di Mahkamah Tinggi London susulan satu artikel ditulis Rewcastle-Brown yang disiarkan SR pada6 Ogos 2017.

Artikel 8 perenggan itu mendakwa RM90 juta “dipercayai” dimasukkan ke akaun pimpinan tertinggi PAS bagi mempengaruhi mereka menyokong Umno dan Barisan Nasional.

Dalam hujah pembelaannya April lalu, Rewcastle-Brown berkata, pemimpin PAS itu tidak dinamakan atau dikenal pasti menerusi mana-mana kenyataan dalam artikel itu.

Katanya, saman Hadi adalah pencerobohan terhadap haknya dan hak kebebasan bersuara orang awam, terutama untuk membincangkan hal politik.

Rewcastle-Brown menambah Hadi memfailkan saman bukan untuk menjaga imej dirinya, tetapi untuk tujuan tidak sah melindungi reputasi PAS dan tujuan politik parti itu serta sekutu politiknya, iaitu Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau mendakwa kenyataan dalam artikelnya berkepentingan awam.

Dalam tuntutan balasnya yang difailkan 11 Oktober 2017, Rewcastle-Brown mendakwa Hadi berkomplot dengan Najib atau ejennya untuk mengeksploitasi kes itu demi kepentingan mereka.

“Mereka mahu mencemarkan nama baik saya dan Sarawak Report dalam kempen sah kami untuk menyingkirkan Najib daripada jawatannya dan membawanya ke muka pengadilan kerana dakwaan salah laku rasuah dan jenayah,” katanya dalam kertas mahkamah yang dilihat oleh FMT.

Rewcastle-Brown turut mendakwa Hadi, sama ada menerusi dirinya atau ejennya, terbabit dalam penerbitan satu siri artikel yang menyerang, memfitnah dan mengganggunya di laman web The Third Force dan Malaysia Today.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana