ANALISA PRESTASI BN : JANGKAAN MEMENANGI PILIHAN RAYA DENGAN DUA PERTIGA MAJORITI


Seperti artikel sebelum ini, penulis ingin memulakan analisa dengan trend sokongan serta prestasi parti Kerajaan, bemula dari Perikatan dan kemudiannya Barisan Nasional (BN) sejak merdeka serta jangkaan dalam PRU pada kali ini.

Di bawah adalah jadual dan graf yang berkaitan.

Untuk PRU 2018, penulis menjangkakan Barisan Nasional akan berjaya mendapat 150 kerusi iaitu lebih daripada 2/3 majoriti dalam Parlimen (bersamaan 67.57% kerusi). Namun begitu, undi popular yang diperolehi berlegar di sekitar 50%. Manakala ramalan undi popular bagi pembangkang:

PAS : 13%
DAP : 14.5%
PKR : 9%
PPBM : 5%
PAN : 3%
WARISAN : 1%
Calon bebas dan lain-lain parti : 2%
Undi rosak : 2.5%

Berikut adalah hujah kenapa Barisan Nasional akan memenangi PRU kali ini.

HUJAH PERTAMA : KEMANTAPAN STRATEGI BARISAN NASIONAL
Barisan Nasional kelihatan lebih bersedia menghadapi PRU kali ini. Walaupun bukan lagi winnable candidate menjadi keutamaan, tapi pemilihan calon yang mampu mendapat sokongan tempatan serta melicinkan pergerakan jentera di peringkat akar umbi telah berjaya menampakkan hasilnya. Tindakan Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Jalil yang tidak bertanding serta turun ke kawasan-kawasan juga menjadi pemangkin kepada kemantapan gerak kerja Wanita UMNO. Parti-parti komponen juga lebih bersemangat dan memberikan komitmen yang tinggi dalam berkempen. Gabungan calon yang berpengalaman serta calon baharu yang muda di kawasan sasaran milik pembangkang melihatkan serangan yang lebih dinamik yang memungkinkan kawasan tersebut dirampas. Calon dari UMNO dan parti komponen yang lain melaksanakan kempen secara bersama dan bersepadu turut mengukuhkan gerak kerja di kawasan. Walaupun gerak kerja yang mantap, namun peratus undi popular tidak dapat meningkat secara mendadak kerana faktor pertambahan kawasan bandar dan semi -urban (pinggir bandar) selepas persempadanan tahun 2003. Hal ini disebabkan oleh sentimen pengundi bandar dan semi-urban yang anti establishment kerana mereka telah pun mendapat manfaat daripada pembangunan negara. Golongan ini sukar dipujuk dan mereka sering menyalahkan Kerajaan dalam pelbagai hal. Pengundi bukan Melayu walau tidak menunjukkan perubahan sokongan secara mendadak, namun lebih terbuka menerima kempen dari calon dan jentera BN.


HUJAH KEDUA : UNDI PEMBANGKANG BERPECAH
Perpecahan undi pembangkang memberikan peluang untuk BN memenangi beberapa kerusi marginal (kerusi yang mana jumlah majoritinya tipis). Mengikut Pakatan Harapan (PH), terdapat 31 kerusi marginal yang mereka sasarkan dalam PRU kali ini. Namun, selepas penamaan calon, didapati pertembungan 3 penjuru memberikan kelebihan kepada BN. Ini kerana selepas persempadanan semula dan pertambahan pengundi baharu, kerusi marginal ini kebanyakannya menunjukkan peningkatan pengundi Melayu yang signifikan. Peningkatan undi Melayu menyebabkan peningkatan peluang bagi BN dan PAS dan kurang kelebihan kepada PH. Selain kawasan marginal, beberapa kubu kuat PH seperti Gombak, Permatang Pauh, Kuala Langat, Batu, Lembah Pantai dan kawasan yang baharu dimenangi pada PRU yang lepas seperti Sepang, Iskandar Puteri juga bakal terancam dengan perubahan demografi pengundi yang menunjukkan penambahan pengundi Melayu yang signifikan. Jika masih tidak faham kenapa perpecahan pembangkang menguntungkan BN, mungkin anda perlu lihat apa yang berlaku dalam PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar.


HUJAH KETIGA : JENTERA PAKATAN HARAPAN TIDAK CUKUP BERSEDIA
Ketika ini, jentera paling kuat dalam PH adalah DAP dan PKR pula semakin merudum. Pembahagian kerusi yang tidak mengikut kehendak akar umbi menyebabkan beberapa kawasan PKR mengalami masalah. Sebagai parti yang baharu, PPBM dan PAN kurang menyerlah dalam jentera meraih undi. Mereka lebih kepada program-program besar yang menggunakan nama Tun Mahathir dan Nik Omar.


HUJAH KEEMPAT : PAKATAN HARAPAN LETAK BUKAN WINNABLE CANDIDATE
Dari segi strategi meletakkan calon, DAP lebih terkehadapan berbanding parti-parti lain dalam PH. Pemimpin-pemimpin utama dalam PKR yang tidak melaksanakan tugas dengan baik telah mula mencari kawasan yang lebih selamat seperti DS Wan Azizah dan Nurul Izzah. Azmin Ali pula menggunakan PRU untuk mencatur strategi menghadapi pemilihan parti. PPBM dan PAN pula lebih kepada meletakkan calon tangkap muat. Mereka hanya memastikan pemimpin utama parti mereka seperti Tun Mahathir, TS Muhyiddin, Mukhriz dan Mat Sabu selamat. Lain-lain calon lebih kepada melepaskan batok di tangga dan menjadi pengacau antara BN dan PAS.


HUJAH KELIMA : POLITIK MATANG MEMATIKAN LANGKAH JAHAT PAKATAN
Ramai yang mengakui bahawa pilihan raya kali ini lebih 'aman' berbanding sebelum ini. Kematangan pengundi dalam menapis dan menganalisa maklumat menyebabkan propaganda jahat yang memainkan sentimen dan emosi sukar mendapat tempat. Walaupun masih ada yang cuba menyebarkan maklumat palsu seperti selepas penamaan calon dan fitnah pengundi Bangla masih tersebar, namun kurang berkesan. Tindakan SPR menubuhkan Akademi Pilihan Raya serta berkempen secara aktif mendidik pengundi juga membuahkan hasil dengan kurangnya tuduhan-tuduhan jahat yang menyerang suruhanjaya tersebut. Akta Antiberita Tidak Benar 2018 juga membantu negara menyekat penyebaran propaganda yang tidak bertanggung jawab. Hasilnya, PH yang sebelum ini bersenjatakan fitnah dan adu domba telah mati akal. Mereka gagal menghasut secara massa seperti tahun 2008 dan 2013. Yang tetap dan berpencen menerima hasutan adalah zombi-zombi politik PH yang tidak sedar diperbodohkan oleh pemimpin mereka. Akibatnya, pengundi kelabu yang sebelum ini mengundi mereka mungkin tidak keluar mengundi. Ada juga pengundi-pengundi PH yang menganjurkan supaya membuat undi rosak kerana protes terhadap kepimpinan PH akan mengurangkan lagi sokonga PH.


HUJAH KEENAM : SOKONGAN SILENT MAJORITY
Faktor ini jarang dibincangkan oleh mana-mana pengkaji politik tanah air atau pun diforumkan oleh mana-mana pihak. Jika diselusuri pada PRU 2008 dan 2013, seolah-olah pembangkang akan menang besar dan BN pula menjadi pembangkang berdasarkan propaganda, mainan media propembangkang dan desakan dalam media sosial. Sebaliknya berlaku, BN masih lagi menjadi kerajaan. Ini kerana walaupun lebih senyap dalam media sosial atau kedai kopi, penyokong senyap BN masih lagi tidak terpengaruh dengan pembangkang dan mengundi BN. Golongan ini walaupun bukan ahli parti, tetapi sekumpulan pengundi yang memilih keadaan yang lebih stabil dan percaya bahawa Kerajaan masih utuh, kukuh, berfungsi dengan baik serta tidak bangkrap. Walaupun terkesan dengan kos sara hidup yang meningkat, tetapi mereka tidak menyalahkan orang lain sebaliknya mempersediakan diri dan keluarga untuk mengurus perbelanjaan dengan lebih baik. Dalam PRU kali ini, golongan ini masih lagi senyap dan tidak menunjukkan sokongan secara terbuka tetapi tetap akan mengundi atas apa yang mereka percaya di pihak yang benar.


KESIMPULAN
Analisa ini dibuat berdasarkan rekod trend pengundian terdahulu. Dari segi pemerhatian, peratus undi popular yang diperolehi oleh pembangkang pada 2013 iaitu sebanyak 50.87 merupakan had syiling kepada jumlah sokongan pembangkang. Ini kerana pada ketika itu, pakatan pembangkang yang kuat dengan dua parti teras (PAS dan DAP) serta PKR yang telah lebih 10 tahun dalam politik negara. Gabungan pembangkang ketika ini disertai oleh dua parti mentah (baru kali pertama menyertai politik). Walaupun diketuai oleh otai seperti Tun Mahathir dan Mat Sabu, namun dari segi struktur dan jentera parti tidak seperti parti asal mereka iaitu UMNO dan PAS. Atas sebab ini, pengurangan sokongan kepada pembangkang akan memberikan tambahan kepada BN dan membantu BN mencapai undi popular 50%. Ia juga berdasarkan jumlah keluar mengundi 85%.


PENUTUP
Sekiranya PH kalah dalam PRU kali ini, mereka perlu menyalahkan diri mereka sendiri kerana tidak bersedia secara total serta menolak PAS keluar dari pakatan. Jangan pula selepas mereka menuduh SPR atau mewujudkan drama seperti black out dan sebagainya selepas tewas. Analisa di atas adalah berdasarkan 6 hari berkempen. Berkemungkinan peratus di atas akan berubah berdasarkan peratus keluar mengundi. Sekiranya peratus keluar mengundi sama atau lebih daripada PRU 2013 (84.84%) maka analisa ini kekal. Sekiranya peratus keluar mengundi menurun, maka berkemungkinan undi popular BN akan naik serta pertambahan satu atau dua kerusi lagi.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana