Zuraida mahu selesai isu senarai calon 'tak sah' PKR...Tumbang Lah PKR Nanti

SHAH ALAM: Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin mendedahkan wujudnya senarai calon parti itu untuk pilihan raya umum ke 14 yang tidak mengikut proses pemilihan yang ditetapkan.

Beliau menjelaskan pertemuannya dengan presiden parti Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail semalam adalah untuk meleraikan sebarang kecelaruan bersabit isu itu.

Dalam pertemuan di kediaman Wan Azizah itu, Zuraida yang timbalan pengerusi PKR Selangor, menegaskan senarai calon yang tidak mengikut prosedur itu menimbulkan keresahan di kalangan akar umbi PKR.

"Saya hadir mesyuarat itu atas kebimbangan tersebarnya senarai calon  yang tidak melalui proses aturan yang ditetapkan oleh parti.

"Ia mendatangkan kebimbangan dan ketidakpastian dikalangan akar umbi parti," kata Zuraida.

Zuraida menafikan pertemuan itu bertujuan membuat perjanjian mengenai pemilihan calon di Selangor.

Beliau mengatakan perbincangan itu turut melibatkan pemimpin PKR  lain termasuk Baru Bian dari Sarawak dan Mohd Nur Manuty dari Perak.

“Pertemuan itu bukan sekadar mengenai pemilihan calon di Selangor sahaja,” tambah beliau.

Zuraida berkata perbincangan dengan Wan Azizah berjalan baik dan “saya terkejut dengan paparan dan maklumat kurang bermutu mengenai perbincangan itu.”

PKR dilaporkan berkrisis sehingga menyebabkan naib presiden parti Tian Chua memberi amaran kepada pucuk pimpinan PKR untuk tidak mengubah senarai calon yang sudah di saring.

Tian mendedahkan wujud pihak tertentu yang mahu beliau bertanding di Johor dan tidak mempertahankan kerusi parlimen Batu yang disandangnya selama dua penggal.

Beliau menggesa Wan Azizah dan suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk tidak tunduk kepada tekanan pihak tertentu yang cuba melobi calon-calon tertentu untuk dipilih bertanding.

ADUN Rawang Gan Pei Ne turut mendedahkan beliau digugur pada saat akhir kerana pucuk pimpinan PKR dipengaruhi dengan surat layang menuduh beliau menyalah guna duit rakyat.

Mengikut laporan media,  Wan Azizah enggan bersetuju dengan pemilihan beberapa calon yang dikatakan daripada kem timbalan presiden parti Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Krisis pemilhan calon itu dilihat sebagai pertembungan antara kem Azmin dan naib presiden parti Rafizi Ramli yang dilihat rapat dengan Wan Azizah.

Otai Reformis yang merangkumi penyokong tegar Anwar, semalam membidas Zuraida, Azmin, dan apa yang disifatkan sebagai pasukan 'Kartel' mereka.

“Pemilihan calon bagi DUN negeri dan parlimen yang diputuskan oleh presiden parti tidak perlu dipertikaikan lagi, khususnya dari kumpulan pendesak ketua wanita dan pasukan timbalan presiden yang dilabelkan Kartel.

“Otai Reformis 1998 dan aktivis-aktivis parti PKR menentang keras ugutan dan penentangan terhadap keputusan presiden,”  kata setiausaha kumpulan aktivis itu, Shaiful Ariffin.
Share on Google Plus

About Melayu Berwawasan

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
Post a Comment