UGUTAN KELUAR PITA RAKAMAN: HUSAM ULANGI TAKTIK LAPUK TUN DR MAHATHIR?

Dalam ucapan beliau pada Ceramah Perdana Sempena Pelancaran Pakatan Harapan Parlimen Bachok di Pejabat AMANAH Bachok malam tadi, 9 Februari 2018, Naib Presiden AMANAH, Haji Husam Musa, mengeluarkan ugutan untuk menyiarkan rakaman ucapan sulit seorang pemimpin PAS yang mengakui kononnya “PAS secara senyap telah bekerjasama dengan UMNO dan telah menerima wang daripada UMNO” menjelang Pilihan Raya Umum Kali Ke-14 ini.

Kata Haji Husam: “Saya dulu mengatakan PAS bekerjasama dengan UMNO, sekarang nampak PAS nak bertanding sendiri, jadi apakah yang saya katakan dulu salah? Insya Allah, kalau Parlimen dibubarkan, saya yakin akan ada rakaman pengakuan seorang pemimpin PAS dalam sebuah pertemuan sulit bahawa PAS secara senyap telah bekerjasama dengan UMNO dan telah menerima wang daripada UMNO, termasuk bagi Pilihan Raya Sarawak yang lepas, PAS telah menerima wang daripada UMNO, ini ada rakamannya yang saya kira akan tersiar apabila tiba masanya.”

Ugutan Haji Husam ini mengingatkan saya kepada perkara sama yang dilakukan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Presiden UMNO waktu itu terhadap Presiden S46 waktu itu, iaitu Tengku Razaleigh Hamzah, dan rakan kerjasama S46 di dalam Angkatan Perpaduan Ummah waktu itu, iaitu PAS, menjelang Pilihan Raya Umum Kali Ke-8 pada 21 Oktober 1990.

Ia berlaku bila Tun Dr Mahathir mengumumkan, pada 21 September 1990, bahawa beliau memiliki satu pita rakaman ucapan sulit Tengku Razaleigh, di dalam satu perjumpaan para pemimpin S46 di kediaman Tengku Razaleigh di Kuala Lumpur, yang menyebut rancangan Tengku Razaleigh untuk “membunuh” PAS, di samping menghidupkan kembali UMNO asal, setelah pakatan pembangkang memenangi Pilihan Raya Umum Kali Ke-8.

Tunggu punya tunggu, akhirnya sampai ke sudah pita rakaman ucapan sulit Tengku Razaleigh ini gagal untuk didedahkan oleh Tun Dr Mahathir walaupun setelah beliau dicabar untuk berbuat demikian oleh pelbagai pihak, khususnya oleh Presiden PAS waktu itu, Almarhum Datuk Fadzil Mohd Noor, dan oleh Tengku Razaleigh sendiri.

Ugutan sebegini adalah cubaan paling mudah untuk memberikan persepsi negatif terhadap lawan politik kerana ia tidak memerlukan apa-apa pengeluaran modal atau hanya memerlukan pengeluaran modal yang sangat minimal.

Munasabah jika Haji Husam selaku Pengerusi Pakatan Harapan Kelantan mengguna pakai taktik sama yang pernah dibuat oleh boss beliau di dalam Pakatan Harapan kerana Pengerusi Pakatan Harapan ialah Tun Dr Mahathir.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana