BN tiada masalah dapat majoriti mudah pada PRU14...

Barisan Nasional (BN) dijangka tidak menghadapi masalah mendapat majoriti mudah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) berdasarkan rekod cemerlang gabungan 13 parti komponen itu dalam menyantuni aspirasi rakyat.

Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Mohd Fuad Mat Jali berkata dalam suhu politik sekarang ini, tidak mustahil Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mampu membawa kemenangan dua pertiga kepada BN.

"Sekarang ini BN berada pada kedudukan terbaik untuk menang PRU14 berikutan faktor seperti perpaduan yang makin ampuh dalam parti tonggaknya, UMNO, serta penolakan rakyat terhadap pembangkang terutama kepada calon perdana menteri pembangkang iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad," katanya kepada pemberita selepas membentangkan kertas kerja pada sesi persidangan Meja Bulat Pra-PRU14 bertajuk 'BN Kekal Atau...??' di Kuala Lumpur Khamis.

Sesi persidangan itu disertai ahli akademik daripada Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara, yang mengupas isu-isu penting menjelang PRU14.

Tiga sesi meja bulat diadakan pada persidangan sehari itu dengan membawa tajuk 'BN, PH dan PAS: Siapa atasi Siapa', 'Sabah dan Sarawak dalam PRU14: Antara Politik Pembangunan dan Perubahan Politik' dan 'BN vs PH vs PAS : Siapa Untung, Siapa Penentu'.

Mengulas lanjut, Mohd Fuad berkata kerajaan hari ini peka dengan keperluan rakyat terutama dari segi kenaikan kos sara hidup dengan mengambil langkah mengurangkan bebanan rakyat dengan program seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) serta menyediakan jalinan kemudahan awam yang murah dan mudah seperti LRT dan MRT.

"Bagi isu GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan), rakyat juga sudah mulai faham bahawa GST sebenarnya banyak membantu ekonomi negara. Menerusi sesi penerangan yang dilaksanakan, mereka faham bahawa ada pihak yang memanipulasi isu GST terutama peniaga yang menaikkan harga barangan jualan dengan mendakwa ia disebabkan GST.

"Untuk mengatasi hal ini, kerajaan disarankan memperbanyak aktiviti penguatkuasaan. Kalau tak cukup anggota, boleh ambil graduan yang masih belum bekerja untuk menjadi 'Rakan GST' dan buat pemeriksaan di kompleks-kompleks beli belah bagi tangani isu ini," katanya.

Beliau juga percaya KR1M 2.0 yang baru dilancarkan akan banyak membantu mengurangkan beban rakyat terutama golongan berpendapatan rendah, sekali gus membuktikan kerajaan peka dan ambil peduli dengan masalah rakyat serta menyediakan penyelesaian terhadap masalah dihadapi rakyat.

Mengulas lanjut mengenai peluang BN untuk menang PRU14, pensyarah itu berkata berdasarkan kajian yang dilaksanakan sekumpulan penyelidik UKM baru-baru ini, responden berpendapat faktor calon bakal menjadi penentu utama pilihan pengundi dalam membuat keputusan mengundi, selain faktor parti, manifesto serta isu.

Selain itu, seramai 6,000 responden daripada latar belakang dan umur yang ditemui di seluruh negara berkata mereka bersetuju sekiranya ada kerjasama politik antara UMNO dan PAS dalam PRU14.

"Berdasarkan kajian tersebut, sebanyak 75 peratus responden tidak menyokong Tun Dr Mahathir sebagai perdana menteri yang bakal dilantik sekiranya pembangkang menang PRU14. Ini kerana faktor umur Tun Dr Mahathir, beliau dilihat lebih liberal tetapi berpaling tadah daripada UMNO, khuatir dengan kedudukan Melayu dan agama akan terhakis serta Tun Dr Mahathir yang dilihat bersekongkol dengan DAP," katanya.

Sementara itu, ketika sesi meja bulat bertajuk BN, PH dan PAS: Siapa atasi Siapa yang turut disertai Prof Datuk Seri Dr Syed Arabi Idid dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Prof Dr Rohana Yusof (Universiti Utara Malaysia), mereka berpendapat BN tidak mempunyai masalah untuk kekal berkuasa selepas PRU14.

Prof Syed Arabi berkata keperihatinan kerajaan menangani kos sara hidup rakyat seperti pemberian BR1M menjadi antara faktor sokongan pengundi kepada BN manakala isu seperti GST akan menjadi pertimbangan pengundi membuat pilihan parti mana yang dipilih nanti.

Sementara itu, Prof Rohana berkata pilihan raya kali ini bergantung kepada faktor undi pemilih yang pertama kali mengundi.

"Golongan ini akan keluar mengundi namun, sukar untuk menjangkakan parti mana yang akan dipilih nanti. Mungkin pertimbangan mereka bergantung kepada isu setempat dan calon yang mewakili parti bertanding," katanya.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana