Ahli PPBM dan Bekas Pimpinan Tuntut Pendaftar Pertubuhan Ambil Tindakan Segera

PUTRAJAYA – Lebih 1,000 ahli akar umbi PPBM yang disertai beberapa pemimpin dan bekas pimpinan kanan parti, hari ini berhimpun secara aman menuntut Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) mengambil tindakan segera terhadap parti berkenaan.

Perhimpunan di hadapan ibu pejabat ROS di Putrajaya itu bermula jam 2.30 petang tadi selepas ROS gagal memberi kata putus berhubung lebih 400 aduan yang dikemukakan ahli PPBM berkaitan perlanggaran perlembagaan parti dan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) yang dijalankan tanpa melibatkan perwakilan cawangan dan bahagian parti itu.

“Kami hadir seperti kami maklumkan, kami telah memberi masa kepada ROS untuk mengambil tindakan, malangnya sehingga hari ini tiada sebarang tindakan.

“Jadi kami di sini untuk menunjukkan kemarahan kami kenapa ROS masih berdiam diri,” kata ahli PPBM yang juga bekas Exco Armada, Muhammad Hafiz Azhar.

ROS sebelum ini mengesahkan telah menerima aduan ahli akar umbi dan pemimpin PPBM berhubung perlanggaran perlembagaan parti dan kegagalan mengadakan mesyuarat agung tahunan.

“Pendaftaran PPBM sepatutnya kes mudah dalam memastikan sayap pemudanya atau ARMADA terkandung dalam perlembagaan parti, namun semakan lanjut mendapati wujud aduan daripada peringkat akar umbi dan bekas ahli parti bahawa mesyuarat agung tahunan tidak dianjurkan pada semua peringkat.

“Setakat ini, ada 430 aduan atas meja saya yang belum diteliti ROS,” kata Ketua Pengarah ROS, Surayati Ibrahim.

Sementara itu, pengasas PPBM yang juga bekas Setiausaha Kerja PPBM, Kamarul Azman Habibur Rahman menjelaskan himpunan aman itu diadakan bagi mendesak ROS memberi kata putus terhadap kedudukan PPBM.

“Jika PPBM langgar peraturan, tidak boleh dibiar begitu sahaja, jangan kerana PPBM diketuai Mahathir (Tun Dr. Mahathir Mohamad) senang sahaja mereka langgar, ini ketidakadilan,” katanya.

Tahun lalu, ROS memberi amaran membatalkan pendaftaran PPBM apabila kepimpinan parti itu gagal mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) seperti ditetapkan perlembagaan parti.

Pemimpin PPBM mendakwa telah mengadakan AGM berkenaan namun siasatan ROS mendapati mesyuarat itu yang hanya dihadiri seramai 12 pemimpin parti tidak menepati syarat untuk diiktiraf sebagai AGM.

“Pihak ROS telah meneliti minit Mesyuarat Agung Khas PPBM 2016 dan mendapati hanya 12 orang ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM yang direkodkan hadir.

“Dalam mesyuarat yang sama juga mereka menetapkan untuk membuat pindaan Perlembagaan PPBM, sedangkan dalam Fasal 28 perlembagaan parti itu sendiri menyebut bahawa sebarang pindaan perlu dipersetujui tidak kurang daripada dua pertiga perwakilan yang hadir dalam perhimpunan agung tahunan atau perhimpunan agung khas,” kata Ketua Pengarah ROS berkaitan isu tersebut November tahun lalu.

Susulan itu PPBM segera mengadakan AGM pada 30 Disember 2017 bagi mengelakkan pendaftaran parti dibatalkan dengan pelbagai syarat meminta ROS memberi keistimewaan dan melonggarkan peraturan kepada parti itu. – SuaraTV

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana