43 PAKAR DUNIA PUJI TAHAP EKONOMI MALAYSIA

Empat puluh tiga anggota Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) yang menyertai sesi soal jawab di Kajian Semula Dasar Perdagangan (TPR) Malaysia Ke-7 di Switzerland, memuji negara ini berikutan pencapaian ekonomi, perdagangan berhemat serta dasar ekonominya yang mengagumkan.

Malaysia juga dipuji kerana secara aktif meneruskan keterbukaan perdagangan melalui reformasi sepihak, pengaturan perdagangan serantau dan dua hala serta pembuatan peraturan pelbagai hala.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata, eksesais empat tahunan pada 14-16 Februari ini menyaksikan penyertaan pasukan antara kementerian yang diketuai Setiausaha Agungnya, Datuk Seri J. Jayasiri.

TPR adalah eksesais yang dimandatkan Perjanjian WTO untuk memastikan ketelusan dasar dan langkah perdagangan.

Semua 164 anggota WTO perlu menjalani proses TPR dan kekerapan kajian semula setiap negara berubah mengikut penguasaan perdagangan dunia.

TPR Ke-7 Malaysia telah dijalankan untuk tempoh kajian 2014 hingga 2017 dan dipengerusikan oleh Duta Besar Juan Carlos Gonzalez, Wakil Tetap Colombia ke WTO. Perwakilan Tetap Peru ke WTO berkhidmat sebagai pembincang.

Menurut MITI, anggota juga menyedari bahawa kepelbagaian ekonomi yang berjaya serta pembaharuan ekonomi Malaysia telah menyumbang kepada pertumbuhan yang berterusan walaupun menghadapi pelbagai cabaran luaran.

“Langkah berani untuk merasionalisasikan subsidi minyak dan gula antara lain menunjukkan kesediaan Malaysia untuk bergerak ke arah mekanisme berorientasikan pasaran.

“Inisiatif mesra perniagaan seperti penambahbaikan kepada Akta Syarikat, juga dialu-alukan kerana ia menyebabkan pengurangan kos menjalankan perniagaan,” kata MITI.

TPR Ke-7 menyaksikan Malaysia menerima 476 soalan bertulis daripada 27 ahli, termasuk Argentina, Brazil, Chile, China, Kesatuan Eropah, Jepun, Singapura, Ukraine dan Amerika Syarikat.

Soalan terbabit meliputi pelbagai perkara, termasuk Hak Harta Intelek dan dasar persaingan, rejim pelaburan asing, prosedur pelesenan import, struktur tarif import, langkah-langkah kebersihan dan fitosanitari, sektor perkhidmatan khususnya untuk sub-sektor kewangan dan tenaga, dan e-dagang.

Malaysia berkongsi dengan ahli-ahli WTO pembangunan ekonomi dan pembaharuan yang telah berlaku sepanjang tempoh yang dikaji.

Penyertaan 43 anggota WTO dalam proses soal jawab dan jawapan mencatat rekod tertinggi untuk Malaysia, berbanding TPR pertama pada 1993.

Walaupun anggota menyedari usaha yang mengagumkan oleh Malaysia, MITI berkata, penambahbaikan juga dicadangkan mengenai pelbagai isu, seperti keperluan untuk mematuhi Perjanjian Penilaian Kastam, pemberitahuan tepat pada masa mengenai pelbagai program sokongan pertanian negara serta rejim pelesenan import.

Penambahbaikan ini akan memastikan ketelusan, selaras dengan komitmen Malaysia dalam WTO, tambahnya.

Selain itu, sejajar dengan usaha menangani isu-isu baru muncul di WTO, Malaysia menyatakan kesanggupan untuk bertukar-tukar pendapat dan berkongsi pengalaman di perusahaan mikro, kecil dan sederhana dan e-dagang.

Sementara itu, Jayasiri dalam ucapan penutupnya di TPR, mengesahkan komitmen Malaysia terhadap sistem perdagangan pelbagai hala dengan menekankan usaha berterusan Malaysia dalam menangani isu-isu semasa serta bidang baru yang menarik perhatian WTO.

“Di samping itu, Malaysia memberikan jaminan bahawa peraturan dan prinsip WTO akan sentiasa dipatuhi dalam rundingan kita untuk pengaturan perdagangan bebas,” katanya. – BERNAMA

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana