Taska, tabika percuma jika...Barisan Nasional Menang Di Selangor

PETALING JAYA: Kira-kira 1,600 projek perumahan kos rendah dan sederhana seluruh Selangor akan menikmati kemudahan taska dan tabika percuma sekiranya Barisan Nasional (BN) mentadbir semula negeri ini selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar, berkata itu janji BN bagi terus membela rakyat.

Sebelum ini Noh berkata BN Selangor akan memberikan pendidikan percuma di semua sekolah rendah agama (SRA) jika Selangor kembali ditadbir Kerajaan Persekutuan.

"Keutamaan ini akan disediakan di projek perumahan strata (flat) kos rendah dan sederhana bagi membantu pasangan muda dalam kategori B40 meringankan beban menguruskan anak dan membolehkan mereka keluar bekerja dengan tenang.

"Justeru kita akan mewajibkan perumahan flat kos rendah dan sederhana menyediakan ruang untuk kemudahan taska dan tabika yang akan menggunakan konsep Taman Bimbingan Kanak-Kanak (TABIKA) kendalian Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dan Tabika Perpaduan yang lebih murah berbanding diusahakan pihak swasta," katanya.

Beliau berkata demikian selepas pelancaran Program Transformasi Sosial (PTS) Kejiranan Indah (My Beautiful Neighbourhood) Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) di Mentari Court Apartment, dekat Taman Sri Mentari, di sini.

Yang turut hadir, Pemimpin Tempatan Persekutuan, Datuk Yusoff HM Haniff dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pembangunan) Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Dr Mary Wong Lai Lin.

Terdahulu, Noh mengumumkan kelulusan peruntukan berjumlah RM3.1 juta menggantikan tangki air, RM2.8 juta kerja baik pulih bumbung dan RM300,000 membaik pulih surau di Mentari Court Apartment, sementara RM200,000 lagi bagi surau lain yang terletak di Jalan PJS 10.

Beliau berkata, kesejahteraan bandar bukan saja membabitkan infrastruktur tetapi kepada persekitaran serta kemudahan lain terutama pendidikan dan aspek kesihatan.

"Kerajaan juga meluluskan peruntukan RM10 juta untuk menangani wabak denggi dengan memasang perangkap nyamuk di 'kawasan panas' wabak denggi terutama di Selangor yang mencatatkan kes paling tinggi berbanding negeri lain.

"Bagaimanapun peringkat permulaan ini peruntukan RM1 juta diperuntukkan bagi memasang perangkap nyamuk berteknologi iaitu Integrated Mosquito Management (IMM) yang setakat ini sudah dipasang empat unit, akan ditambah 24 lagi di kawasan perumahan ini," katanya.
Share on Google Plus

About Melayu Berwawasan

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
Post a Comment