HARAKAH: DIKTATOR DEMI KUASA TUN M

SUNGGUH melucukan sekali bila melihat bagaimana sejak akhir-akhir ini Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad merangkap Pengerusi Pakatan Harapan yang dinobatkan sebagai bakal Perdana Menteri Malaysia (PM) jika Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), berusaha keras menafikan bahawa beliau adalah seorang diktator sewaktu beliau menjawat jawatan PM dari tahun 1981 ke tahun 2003.

Bahawa Tun Dr Mahathir telah menulis catatan bagi menafikan perkara ini, di bawah tajuk “The Dictator”, di dalam blog beliau pada 17 Ogos 2017 dan beliau telah sekali lagi menulis satu catatan yang jauh lebih panjang bagi menafikan perkara ini, juga di bawah tajuk “The Dictator”, di dalam blog beliau pada 17 Januari 2018 jelas menunjukkan usaha beliau bagi meyakinkan rakyat Malaysia bahawa beliau bukanlah seorang diktator menemui kegagalan.

Bahawa Tun Dr Mahathir adalah seorang diktator bukan sahaja dinyatakan oleh para pemimpin parti pembangkang yang menerima layanan teruk daripada beliau sepanjang pemerintahan beliau sebagai PM, tetapi juga oleh para pemimpin yang pernah berdamping rapat dengan beliau di dalam Umno dan di dalam kerajaan, termasuklah Tun Musa Hitam, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Di dalam buku beliau bertajuk “Frankly Speaking” terbitan Pelanduk Publications (M) Sdn Bhd pada 2016 contohnya, Tun Musa menulis mengenai corak pemerintahan authoritarian Tun Dr Mahathir yang beliau sifatkan sebagai satu kegagalan yang amat sangat (“an abject failure”), di mana Tun Dr Mahathir dikatakan mengelilingkan diri dengan “yes men”, mempunyai pandangan tetap mengenai sesuatu serta membenci perbincangan dan perdebatan. 

Bahawa Tun Dr Mahathir adalah seorang diktator juga disebut oleh pelbagai tokoh lain seperti bekas Setiausaha Majlis Peguam Malaysia, Tommy Thomas, di dalam buku beliau bertajuk “Abuse Of Power” terbitan SIRD pada 2016 yang menyifatkan Tun Dr Mahathir sebagai “a very authoritarian leader who did not brook dissent”, begitu juga dengan Barry Wain yang, di dalam buku beliau bertajuk “Malaysian Maverick” terbitan Palgrave MacMillan pada 2009, malah menyifatkan Tun Dr Mahathir sebagai “an uncrowned king”.   

Bahawa Tun Dr Mahathir adalah seorang diktator juga telah dihuraikan secara panjang lebar di dalam beberapa buah tesis kedoktoran yang dihasilkan oleh cendekiawan rakyat Malaysia, bahkan oleh cendekiawan bukan rakyat Malaysia dari beberapa buah universiti ternama di dunia, sekali gus menyebabkan dakwaan bahawa beliau bukanlah seorang diktator perlu dikemukakan oleh cendekiawan lain melalui tesis kedoktoran lain untuk dilihat berwibawa.

Antara tesis kedoktoran tersebut adalah tesis Tan Sri Dr Rais Yatim bertajuk “The Rule Of Law And Executive Power In Malaysia: A Study Of Executive Supremacy” dari King’s College, London, pada 1994 dan tesis In-Won Hwang bertajuk “Changing Conflict Configurations And Regime Maintenance In Malaysian Politics: From Consociational Bargaining To Mahathir's Dominance” dari Australian National University, Canberra, pada 2001.

Tun Dr Mahathir sendiri mengakui pada 27 Mac 2016 bahawa beliau adalah seorang diktator tetapi ia tidak mendatangkan masalah kerana rakyat Malaysia kononnya tidak berdemonstrasi terhadap beliau. Beliau sebelumnya mengakui pada 18 Oktober 2010 bahawa beliau “enjoyed” dengan dakwaan bahawa Malaysia telah diperintah oleh seorang diktator selama 22 tahun kerana sekurang-kurangnya beliau fikir Malaysia telah mencapai kemajuan.

Bagaimanapun, berbanding memperkatakan segala rekod pemerintahan beliau yang sudah sedia diketahui umum, mungkin adalah lebih baik untuk kita meneliti kembali segala ucapan, kenyataan dan tulisan Tun Dr Mahathir sebelum ini yang menunjukkan bahawa, bagi beliau, sistem authoritarian adalah lebih baik berbanding sistem demokrasi, sekali gus menyebabkan beliau sepatutnya berbangga dengan gelaran diktator kerana ia selari dengan pemikiran beliau.

Di dalam ucapan beliau di “The Second Lecture Of The Ho Rih Hwa Public Lecture Series”
 di Singapura pada 11 Oktober 2004, Tun Dr Mahathir mendakwa demokrasi tidak akan menghasilkan kerajaan yang kuat dan memuji para pemimpin authoritarian Asia terdahulu, iaitu “The Meiji Emperor of Japan, the Kings of Siam, Chiang Kai Shek of Taiwan, Deng Xiao Peng of China, Park Chung Hee of South Korea” kerana memajukan negara mereka.

Di dalam kenyataan beliau selepas menyampaikan ucapan bertajuk “Political Stability And Sustainability As A Key Success Factor In Developing Malaysia” di Putrajaya pada 12 April 2006, Tun Dr Mahathir mendakwa seorang diktator yang baik
(“a benevolent dictator”) adalah jalan penyelesaian untuk mengembalikan kestabilan di negara Iraq kerana demokrasi dikatakan gagal kerana membawa ketidakstabilan dan melambatkan pembangunan ekonomi.

Di dalam ucapan beliau di forum “The Creation Of The Global Citizen: Media Liberalisation And The New Political Realities” di Kuala Lumpur pada 18 Oktober 2010, Tun Dr Mahathir mendakwa demokrasi adalah satu ideologi yang gagal dan memuji sistem authoritarian yang diguna pakai oleh negara China yang telah membawa kemajuan sehingga menjadikan negara itu antara negara terkaya di dunia walaupun tanpa kewujudan“freedom, liberty and equality”.

Di dalam buku beliau bertajuk “A Doctor In The House” terbitan MPH Group Publishing Sdn Bhd pada 2011, Tun Dr Mahathir menyebut tidak boleh berlaku pemisahan kuasa penuh antara Legislatif, Eksekutif dan Kehakiman dalam demokrasi  kerana ia akan menyebabkan negara dibawa ke pelbagai arah. Kata beliau, mesti wujud persefahaman dan penyelarasan antara ketiga-tiga badan ini di mana setiap badan mesti tahu batasan kepada domain mereka.

Di dalam kenyataan beliau selepas menyampaikan ucapan pada “HT Leadership Summit 2011” di New Delhi pada 3 Disember 2011, Tun Dr Mahathir mendakwa negara India boleh menjadi setanding dengan negara China dari segi pembangunan jika ia menjadi “kurang demokratik”. Kata beliau, demokrasi tidak sentiasa menjamin kestabilan dan kemakmuran kerana ada waktunya demokrasi boleh melumpuhkan proses pembuatan keputusan.

Di dalam ucapan beliau “The University Santo Tomas' Special Convocation And Conferment Of Honorary Professorship And The  Neo-Centennial Lecture” di Manila pada 11 Jun 2012, Tun Dr Mahathir mendakwa demokrasi tidak menyebabkan rakyat menikmati satu kehidupan yang lebih baik berbanding waktu mereka berada di bawah pemerintahan autokratik kerana demokrasi akan menghasilkan satu kebuntuan (“would result in a stalemate”).

Malah, di dalam tulisan beliau di blog beliau pada 29 April 2014 sekalipun, Tun Dr Mahathir mendakwa demokrasi selalu gagal untuk membekalkan negara-negara dengan tadbir-urus baik (“has often failed to provide countries with good governance”) dan bahawa kebebasan bersuara, kebebasan media, demonstrasi dan mogok mesti disekat pada kadar yang tertentu (“free speech, free press, demonstrations and strikes must be circumscribed to some degree”).

Oleh itu tidak sepatutnyalah Tun Dr Mahathir membuat sesuatu perkara yang sia-sia dengan cuba menepis dakwaan bahawa beliau adalah seorang diktator yang mungkin akan menjadi seorang diktator kembali jika beliau diberi peluang untuk menjawat jawatan Perdana Menteri Malaysia semula kerana, selain daripada segala rekod pemerintahan beliau, segala ucapan, kenyataan dan tulisan beliau sebelum ini menunjukkan bahawa, bagi beliau, seorang diktator/autokrat memang jauh lebih baik berbanding seorang demokrat.

Bila Tun Dr Mahathir sendiri berpandangan bahawa seorang diktator/autokrat memang jauh lebih baik berbanding seorang demokrat, maka sepatutnya tiada sebablah untuk beliau marah-marah bila beliau dipanggil sebagai seorang diktator/autokrat malah beliau sepatutnya kekal dengan prinsip beliau mengenai kebaikan sistem authoritarian dan keterukan sistem demokrasi malah beliau sepatutnya berbangga bahawa beliau seorang diktator/autokrat.

Bagaimanapun, jika Tun Dr Mahathir kekal dengan prinsip beliau mengenai kebaikan sistem authoritarian dan keterukan sistem demokrasi serta berbangga bahawa beliau seorang diktator/autokrat, maka apa pula yang akan terjadi dengan segala janji Pakatan Harapan untuk mendemokratikkan dengan sepenuhnya negara Malaysia jika ia memenangi PRU14? Tak mengapa, demi kuasa, boleh lupa segala apa yang diucap, dinyata dan ditulis dulu. - HARAKAHDAILY

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana