Haji Hadi Buat Azmin Ali Tidak Senang Duduk

PAKAR ‘putar’ dalam pakatan pembangkang terpaksalah kerja lebih masa cari idea yang lebih kreatif bagaimana nak tibai dua burung serentak dengan seketul batu.
Nampaknya makin hari makin rumit mereka hendak jual temberang yang tidak logik bahawa BN dan PAS sedang berkepit untuk hadapi pilihanraya umum ke-14.

Ramai yang sedar ia cuma taktik perang saraf untuk mencetuskan rasa curiga di kalangan ahli kedua parti dan mengelirukan rakyat.

Jadi jangan hairan kalau dengar Tun Dr. Mahathir Mohamad berulang-ulang kali pada ceramahnya di serata tempat mendakwa PAS sengaja hendak kacau daun wujudkan pertandingan tiga penjuru bagi memenangkan BN nanti.

Siapa tahu mungkin untung nasib temberang ini akan mewujudkan pergeseran dalaman kedua parti dan mereka dapat pancing undi untuk pakatan pembangkang.

Entah apa agaknya bos pakatan pembangkang itu sekarang hendak putar lagi bila mendengar apa kata Datuk Seri Haji Hadi Awang dalam sidang akhbar di pelancaran jentera PAS Selangor untuk PRU14 pada Himpunan Fastaqim 2.4 di Shah Alam pada Ahad.

Presiden PAS itu sendiri jawab dakwaan konon beliau dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berpakat bagi membolehkan PAS terus kekal perintah Kelantan selepas PRU14.

“Dakwaan itu tidak benar. Kalau bincang dengan UMNO mengenai isu Palestin, Rohingya boleh lah.

“Tapi kalau pasal pilihan raya, kita lawan UMNO (BN),” katanya.

Seperti juga BN yang hendak mempertahankan kerajaan pada PRU14…PAS juga menaruh cita-cita sendiri untuk melangkah ke Putrajaya.

Malah kata Haji Hadi partinya meletakkan calon di setiap kerusi Parlimen serta kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan menentang calon BN.

Sebelum ini Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapha Mohamed juga menafikan ada pakatan dengan PAS seumpama itu dan wujud pergeseran dalam UMNO pasal itu.

Beliau menegaskan BN sendiri sedia untuk berentap untuk menawan Kelantan.

Semasa sidang akhbar itu Haji Hadi memberitahu PAS akan bertanding lebih daripada 130 kerusi Parlimen pada PRU14 bagi membolehkannya membentuk kerajaan jika menang.

Pada PRU13, PAS bertanding 73 kerusi Parlimen dan menang 21 daripadanya.

Terkini, PAS hanya tinggal 15 Ahli Parlimen sahaja.

Enam daripada 21`kerusi kini disandang anggota Parlimen Parti Amanah Negara (PAN), parti serpihan PAS, manakala kerusi Parlimen Pokok Sena juga terlepas apabila penyandangnya Datuk Mahfuz Omar mengumumkan keluar parti itu baru-baru ini.

Presiden PAS itu kata partinya perlu bertanding sekurang-kurangnya lebih daripada jumlah majoriti mudah iaitu daripada 222 kerusi Parlimen yang dipertandingkan.

“Kemungkinan (bertanding) 130 lebih (kerusi Parlimen), sekurang-kurangnya majoriti mudah.

“PAS mahu membentuk kerajaan ataupun menyertai pembentukan kerajaan, bukan lagi sebagai pembangkang yang lemah,” katanya.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali mungkin tidak sedap badan mendengar pendirian terkini Haji Hadi.

Sewaktu krisis Langkah Kajang PKR singkir Tan Sri Khalid Ibrahim dulu hasil dokongan PAS beliau tiba-tiba dapat jadi Menteri Besar.

Namun kini PAS seperti juga BN berhasrat untuk tawan Selangor.

Kata Haji Hadi PAS juga bertekad mahu merampas Selangor pada PRU14 bagi menjadi contoh kepada negeri-negeri lain.

“Selangor perlu menjadi contoh, kita harap rakyat Selangor mesti memilih kepimpinan Islam,” katanya.

PAS Selangor dikatakan sasar sekurang-kurangnya 42 daripada 56 kerusi DUN di negeri itu, termasuk di kawasan diwakili Azmin di Bukit Antarabangsa dan Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail di Kajang.

Pada pilihan raya umum 2013, PAS meletakkan 21 calon negeri di Selangor dan memenangi 15 kerusi.

Namun kini tinggal 13 sahaja bila dua wakil rakyatnya kawasan Hulu Kelang, Saari Sungib dan Morib Hasnul Baharuddin lompat masuk PAN.

PAS dikatakan mempunyai jaringan dan pengaruh yang boleh tahan di kawasan DUN Bukit Antarabangsa dan kawasan Parlimen Gombak yang diwakili Azmin.

Atas sebab itu semakin rancak desas desus berlegar Menteri Besar Selangor itu sedang mengintai kawasan yang lebih selamat untuk beliau berteduh. 

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana